5 graduan cemerlang UMPSA raih Anugerah Hadiah Kecemerlangan Yayasan Pahang
GAMBANG, 10 November 2025 – Lima graduan cemerlang Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mencipta sejarah tersendiri apabila terpilih sebagai penerima Anugerah Hadiah Kecemerlangan Yayasan Pahang sempena Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-20 yang berlangsung dengan penuh meriah di Dewan Kompleks Sukan, UMPSA Kampus Gambang.
Penganugerahan ini merupakan pengiktirafan kepada pelajar yang menunjukkan kecemerlangan menyeluruh dalam akademik, sahsiah, kepimpinan dan penglibatan kokurikulum sepanjang tempoh pengajian di UMPSA.
Penerima anugerah ini ialah Chiew Kah Heng, Lim Joey, Nurul Syazana Zainal Abidin, Sheikh Ibrahim Ismail dan Tan Wai How, masing-masing mewakili keunggulan dalam bidang Kejuruteraan, Sains Komputer dan Analitik Data, serta sahsiah dan kepimpinan pelajar.
Chiew Kah Heng, 24, yang berasal dari Kuantan, Pahang kini berkhidmat sebagai Jurutera Proses di Samsung SDI Energy Malaysia, Seremban.
Beliau merupakan graduan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Petroleum) dengan Kepujian dan memperoleh Purata Nilai Gred Terkumpul CGPA 3.65.
Chiew aktif dalam pelbagai aktiviti kokurikulum seperti Malam Kebudayaan Cina UMPSA, MonsoonSIM Championship dan Creation, Innovation, Technology & Research Exposition CITREX 2024.
Beliau menyifatkan kejayaannya sebagai hasil usaha berterusan dan dorongan keluarga, khususnya neneknya yang menjadi sumber inspirasi utama.
Prinsip hidupnya iaitu ‘with efforts comes accomplishment naturally”, menjadi panduan untuk terus melangkah ke hadapan.
“UMPSA banyak membentuk saya menjadi graduan yang berdaya saing melalui pendekatan pembelajaran berasaskan industri dan pensyarahnya sangat berdedikasi,” katanya.
Manakala graduan yang berasal dari Kuala Lumpur berusia 24 tahun dan dibesarkan di Pahang, Lim Joey merupakan antara mahasiswa UMPSA yang menyerlah dengan semangat belajar tinggi serta ketekunan dalam bidang pengajiannya.
Beliau menamatkan pengajian dalam Sarjana Muda Sains Gunaan Analitik Data dengan Kepujian memperoleh PNGK 3.78 dan kini bekerja dalam bidang data dan analitik.
Anak kedua daripada tiga orang adik-beradik, Lim Joey berpegang kepada prinsip ‘tiada hujan, tiada bunga’ yang melambangkan keyakinannya bahawa setiap cabaran merupakan langkah menuju kejayaan dan keindahan hasil daripada usaha yang gigih.
Sepanjang pengajian, Lim turut aktif sebagai Presiden Kelab Tarian Moden UMPSA, Exco Majlis Kebudayaan Cina, dan menerbitkan kertas penyelidikan dalam Jurnal Pemodelan Statistik dan Analitis (2024).
Beliau juga merupakan antara 30 Finalis Terbaik Bakat Inovasi Data Malaysia (MDIT) 2023 dan pernah menjalani latihan industri di CyberSecurity Malaysia.
Ujarnya, pensyarah dan rakan-rakan di UMPSA banyak membantu dirinya menjadi individu yang lebih yakin dan berdisiplin.
“Gabungan teori dan praktikal di universiti benar-benar mempersiapkan saya untuk dunia sebenar,” ujarnya.
Nurul Syazana Zainal Abidin, 23, berasal dari Kuantan pula merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) dengan Kepujian juga berjaya memperoleh PNGK 3.77 dan Anugerah Dekan bagi setiap semester.
Beliau aktif sebagai Eksekutif Kebajikan Pelajar Kelab Tunggang Kuda UMPSA dan menyertai pelbagai program antaranya CITREX 2025 dan telah memenangi pingat emas.
Selain itu, beliau turut aktif menyertai pelbagai program dan pertandingan antaranya International Competition and Exhibition on Computing Innovation (iCE-CInno) 2024, Hackathon X UMPSA Flutter Workshop serta Student Mobility Program ke Indonesia yang memberikan pengalaman berharga dalam mengenali budaya baharu dan menjalin persahabatan dengan pelajar dari universiti lain.
Graduan Fakulti Komputeran (FK) UMPSA ini menyifatkan kejayaannya hari ini sebagai hasil doa dan pengorbanan ibu bapa yang banyak memberi sokongan sepanjang tempoh pengajian.
“Cabaran utama saya ialah mengekalkan fokus dan disiplin dalam pelajaran, terutama semasa tempoh pandemik COVID-19 ketika perlu belajar secara dalam talian.
“Saya berharap dapat membina kerjaya dalam bidang Teknologi Maklumat dan terus berkembang menjadi seorang profesional yang memberi manfaat kepada masyarakat.
“Disiplin diri dan pengurusan masa yang baik adalah kunci kejayaan,” ujarnya.
Beliau turut menitipkan nasihat bahawa jangan mudah terpengaruh, kekal fokus, dan hargai setiap ilmu yang dikongsi oleh pensyarah.
Penerima seterusnya, Sheikh Ibrahim Ismail, yang merupakan anak sulung daripada tiga orang adik-beradik dan juga anak kepada pasangan Ismail Husin, pesara pemandu lori, dan Salina A. Ghani, seorang suri rumah, kini berkhidmat sebagai Jurutera Teknikal di China Communications Construction Company (CCCC) Sdn. Bhd.
Jelasnya, Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-20 ini amat bermakna baginya kerana ia merupakan majlis konvokesyen kedua yang saya hadiri pada tahun ini dan sebelumnya bergraduasi di Beijing, China sebagai graduan Program Ijazah Dual UMPSA–Beijing Jiaotong University (BJTU) dalam bidang Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dengan PNGK 3.65.
“Saya turut menyertai Program Teambuilding dan Pemantapan Kepimpinan Pelajar (TeSLE 2023) serta diberi peluang mempersembahkan Tarian Tradisional Melayu dalam program pertukaran budaya ASEAN Ladies Circle Tea Gathering 2023 di China.
“UMPSA komited memperkasakan mutu pendidikan melalui program akademik bertaraf global seperti Ijazah Dual UMPSA–BJTU yang membuka peluang kepada pelajar menimba ilmu di dua buah universiti antarabangsa.
“Pengalaman menuntut di luar negara turut mengajar saya tentang erti berdikari, toleransi budaya dan menghargai keharmonian beragama,” katanya.
Beliau berhasrat menjadi Jurutera Profesional (Ir.) dan menyumbang kepakaran dalam bidang Kejuruteraan Awam, khususnya dalam pembangunan infrastruktur Negeri Pahang.
“Setiap cabaran adalah peluang untuk belajar menjadi lebih kuat serta sentiasalah berdisiplin, berani mencuba dan jangan mudah berputus asa,” ujar beliau yang menjadikan prinsip tersebut sebagai pegangan hidupnya.
Tan Wai How, 24, berasal dari Kuantan pula merupakan anak sulung daripada lima orang adik-beradik.
Beliau adalah graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektronik (Sistem Komputer) dengan Kepujian dan memperoleh PNGK 3.93.
Beliau juga pernah menerima Anugerah Mahasiswa Cemerlang 2023/2024 dan kini berkhidmat sebagai Jurutera Pembangunan Perkakasan.
Tanpa ragu, insan paling besar sumbangannya dalam kejayaan seorang graduan cemerlang UMPSA ini ialah ibunya, Leong Pui Yi, 47, dan bapa, Tan Kok Liam, 49, yang sentiasa menjadi sumber semangat dan dorongan utama sepanjang perjalanan pengajian.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada para pensyarah dan rakan-rakan seperjuangan atas semangat kerjasama dalam menjadikan proses pembelajaran lebih bermakna, terutamanya dalam subjek Kejuruteraan yang mencabar.
Katanya, kunci kejayaan terletak pada keikhlasan dalam usaha dan sikap positif menghadapi cabaran.
Pada masa yang sama, beliau turut menitipkan nasihatnya kepada pelajar lain agar menghargai proses pembelajaran, mencari rakan sehaluan, dan menikmati setiap kenangan sepanjang perjalanan menuntut ilmu di UMPSA.
Ternyata, kejayaan lima graduan ini mencerminkan kualiti dan keunggulan pelajar UMPSA yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah seimbang dari segi kepimpinan, sahsiah dan kemahiran insaniah.
Pengiktirafan oleh Yayasan Pahang ini turut menjadi bukti bahawa UMPSA terus melahirkan graduan holistik, beretika dan berdaya saing global, selaras dengan aspirasi universiti untuk menjadi institusi teknologi terunggul berteraskan nilai.
Disediakan Oleh: Hafizatulazlin Abdul Aziz, Pusat Komunikasi Korporat
- 151 views