Abang hadir beri semangat kepada adik kembarnya terima ijazah
KUANTAN, 19 Mac 2022 - Meskipun suasana Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) Ke-15 diraikan dalam suasana sederhana ekoran negara masih lagi berhadapan dengan pandemik Covid-19 , namun riak gembira tetap terpancar di wajah para graduan.
Hal yang sama turut dirasai oleh penerima Ijazah Sarjana Muda Industri Bioteknologi, Amir Shahrom, 25, dan pasangan kembarnya, Amin Shahrom,, 25, yang turut berkongsi kegembiraan walaupun beliau dari universiti berlainan.
Amin yang menuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM) berkata, beliau teruja untuk menyaksikan kembarnya itu menerima ijazah memandangkan majlis konvokesyen di setiap universiti ditangguhkan selama dua tahun ekoran pandemik berkenaan.
"Walaupun giliran saya berkonvo pada bulan Jun akan datang di UiTM, namun saya tetap hadir bersama kedua ibu bapa bagi memberi semangat kepada adik kembar supaya dia dapat merasai suasana diraikan sebagai graduan pada hari ini," katanya ketika ditemui di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, di sini, semalam.
Amir yang melanjutkan pengajian selama tiga tahun setengah di Fakulti Sains dan Teknologi Industri berkata, ijazah ini adalah hadiah buat kedua ibu bapanya yang bertungkus-lumus membesarkan mereka.
"Saya berasa amat gembira kerana dapat menggembirakan mereka pada hari ini apatah lagi kepada ibu, Habibah Shaari, 55, yang sanggup berhenti kerja sejak kami dilahirkan hanya semata-mata untuk menumpukan perhatian menjaga kami.
"Alhamdulillah, saya dan kembar juga telah bekerja dan berharap agar sentiasa dapat membalas jasa kedua ibu bapa sehingga akhir hayat," katanya.
Disediakan oleh: Shalfarina Shahriman, Penerbit UMP
- 393 views