Bukan sekadar segulung ijazah, GET-BS hargai perjuangan graduan pascasiswazah
PEKAN, 30 Oktober 2026 – Di sebalik kejayaan menggenggam segulung ijazah, tersimpan kisah pengorbanan, ketekunan dan perjuangan yang menjadi bukti bahawa kejayaan tidak hadir tanpa usaha dan kesungguhan.
Mengiktiraf perjalanan penuh cabaran itu, Fakulti Pengurusan Industri (FPI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) meraikan kejayaan graduan pascasiswazah menerusi penganjuran Hari Penghargaan GET-BS 2026 (GET-BS Appreciation Day 2026).
Majlis anjuran Pusat Pengajian Siswazah Kejuruteraan dan Perniagaan Teknologi (GET-BS) yang berlangsung di bangunan FPI itu menghimpunkan graduan peringkat Doktor Falsafah (PhD), Sarjana Sains (MSc), Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dan Sarjana Pengurusan Projek (MPM) sebagai penghargaan terhadap dedikasi serta pencapaian akademik mereka menjelang Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-21.
Bertemakan ‘Meraikan Perjalanan, Pencapaian dan Perkembangan Diri (Celebrating Your Journey, Achievement & Growth), majlis berkenaan bukan sekadar meraikan kejayaan akademik, malah menjadi wadah mengiktiraf ketabahan graduan dalam mengimbangi tuntutan pengajian, kerjaya serta tanggungjawab peribadi.
Dekan FPI, Dr. Hanafiah Ahmad, menyambut kehadiran para graduan bersama barisan pengurusan fakulti, termasuk Timbalan Dekan Akademik, Dr. Syed Rahamaddulla; Timbalan Dekan Penyelidikan dan Pengajian Siswazah, Profesor Madya Dr. Muhammad Ashraf Fauzi; serta Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar, Mejar Dr. Imaduddin Abidin.
Dalam ucapannya, Dr. Hanafiah mengiktiraf pencapaian graduan yang diraikan, merangkumi graduan mod penyelidikan dalam bidang PhD dan MSc serta graduan mod kerja kursus bagi program MBA dan MPM.
Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap pengorbanan dan cabaran yang ditempuhi para graduan sepanjang tempoh pengajian, khususnya dalam mengimbangi komitmen terhadap kerjaya, keluarga dan tuntutan akademik.
“Kejayaan tersebut mencerminkan ketabahan, disiplin dan kesungguhan graduan dalam membudayakan pembelajaran sepanjang hayat, sekali gus membuktikan bahawa usaha menimba ilmu tidak pernah terhenti walaupun berdepan pelbagai kekangan,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan para graduan agar tidak menganggap penamatan pengajian sebagai titik akhir perjalanan, sebaliknya menjadikannya permulaan kepada peluang lebih luas untuk meneroka inovasi, memimpin dengan integriti serta menyumbang kepada kemajuan industri dan kesejahteraan masyarakat.
Pada masa sama, beliau berharap hubungan yang terjalin antara graduan dengan GET-BS dan FPI akan terus diperkukuh menerusi jaringan alumni yang mampu membuka ruang kerjasama, perkongsian kepakaran dan pembangunan profesional pada masa hadapan.
Antara pengisian utama majlis ialah penyampaian tiga kategori anugerah khas sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademik, kepimpinan dan potensi graduan.
Anugerah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 2026 bagi kategori MBA diberikan kepada Nur Qinthara Asri, manakala kategori MPM diraih Ezuan Suhaili.
Sementara itu, Anugerah Kecemerlangan 2026 bagi kategori MBA diberikan kepada Sorfina Ahmad Nasruddin, manakala kategori MPM kepada Nurul Ashikin A Majid.
Anugerah Bintang Harapan 2026 pula, menyaksikan Himmatun Alia Abdul Halim menerima pengiktirafan bagi kategori MBA, manakala Muhammad Hilmi Rosaidi bagi kategori MPM.
Majlis turut diserikan dengan sesi penghargaan dan perkongsian pengalaman yang memberi peluang kepada para penerima anugerah serta wakil graduan MSc dan PhD berkongsi pengalaman, cabaran sepanjang pengajian dan penghargaan atas sokongan yang diterima.
Penganjuran Hari Penghargaan mencerminkan komitmen FPI dalam menghargai pencapaian graduan pascasiswazah, selain menyemai budaya kecemerlangan dan pembelajaran berterusan dalam kalangan komuniti akademik UMPSA.
Disediakan Oleh: Puteri Faszline Muhamad Tamyez, Fakulti Pengurusan Industri
- 5 views
Reports by: