Dari Kuantan ke Beijing, kecemerlangan Lim Zheng Sheng raih Anugerah Prihatin Komuniti PUSPANITA
GAMBANG, 8 November 2025 - Dilahirkan dan dibesarkan di Kuantan, Pahang, Lim Zheng Sheng, graduan Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Mekanikal dari Fakulti Kejuruteraan Teknologi, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), kini melangkah jauh menunaikan impian di Beijing, China.
Berusia 25 tahun, anak bongsu daripada dua orang adik-beradik ini merupakan individu aktif dan gemar berbasikal sebagai rutin kecergasan.
Aktiviti tersebut bukan sekadar hobi, tetapi ruang untuknya berfikir dan menenangkan minda selepas seharian bekerja.
Kini, Lim Zheng Sheng berkhidmat sebagai Jurutera Reka Bentuk dan Pembangunan (Mechanical Engineer) di Starflow Control Limited (SFCL), Beijing, dengan tumpuan kepada pembangunan dan reka bentuk peralatan industri kimia.
Ibunya, Lai Lean Huang, merupakan Matron yang telah bersara, manakala ayahnya, Lim Chee Siong, bekerja sebagai Pengurus Pemasaran.
Mereka berdua menjadi pendorong utama di sebalik kejayaannya hingga ke peringkat antarabangsa.
Sepanjang pengajian dalam Program Ijazah Dual UMPSA–Beijing Jiaotong University (BJTU), Zheng Sheng menonjol bukan sahaja dalam akademik tetapi juga dalam kepimpinan dan aktiviti pelajar antarabangsa.
Beliau diberi kepercayaan menjadi hos rasmi Majlis Anugerah Pelajar Antarabangsa Cemerlang dan Sambutan Tahun Baharu 2024 anjuran College of International Education (BJTU), serta menerima penghargaan khas atas kemahiran komunikasi serta pengendalian majlis secara profesional.
Zheng Sheng berjaya mengekalkan keputusan cemerlang dengan memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.79 dan menerima Anugerah Dekan bagi setiap semester di kedua-dua universiti, UMPSA- BJTU, sekali gus menjadi antara kriteria utama pemilihannya sebagai penerima Anugerah Prihatin Komuniti PUSPANITA.
Menurutnya, pengalaman belajar di UMPSA amat berharga kerana universiti menekankan pembelajaran berasaskan industri dengan keseimbangan antara teori dan amali.
“Pensyarah sangat berdedikasi dan mudah didekati.
“Kemudahan makmal moden dan sistem pembelajaran yang hands-on menjadikan pelajar UMPSA lebih bersedia untuk dunia pekerjaan sebenar.
“Pendekatan hands-on learning dan kolaborasi rapat antara universiti dan industri membantu membentuk graduan yang lebih kompeten, berdaya saing serta berkeyakinan,” ujarnya.
Baginya, kejayaan sebenar bukan sekadar memperoleh anugerah, tetapi dapat berdiri di hadapan pelajar antarabangsa sebagai wakil Malaysia.
Disiplin dalam kerja, rendah hati dalam pembelajaran, dan berani mencuba, itulah prinsip hidupnya.
Beliau turut berkongsi hasrat untuk menjadi jurutera profesional dalam bidang Teknologi Hijau dan Tenaga Bersih,
selain memperkukuh kerjasama industri dan akademik antara Malaysia dan China.
Antara cabaran utama yang dihadapi ialah penyesuaian terhadap budaya dan gaya pembelajaran baharu di luar negara sambil mengekalkan prestasi akademik yang tinggi.
Namun, pengalaman ini menjadikan beliau lebih matang, berdikari, dan tabah menghadapi tekanan.
Bagi Zheng Sheng, antara pengalaman paling bermakna ialah apabila berpeluang berucap dan berinteraksi di peringkat antarabangsa, membawa nama Malaysia di mata dunia.
“Ia mengukuhkan keyakinan diri dan rasa bangga sebagai rakyat Malaysia.
“Saya amat menghargai rakan-rakan dari Malaysia yang sentiasa menjadi sumber semangat dan sokongan sepanjang berada di luar negara.
“Persahabatan ini menjadi antara kenangan paling bermakna dalam perjalanan hidup saya,” katanya.
Sebagai penutup, Zheng Sheng berpesan kepada pelajar agar sentiasa mengurus masa dengan bijak dan seimbang antara akademik dan aktiviti luar.
“Tekun dan berani mencuba secara praktikal adalah ciri yang dihargai dalam dunia industri.
“Jangan hanya kejar gred, kejar juga pengalaman dan kematangan diri untuk menjadi graduan yang bersedia menghadapi masa depan,” tambahnya lagi.
Lim Zheng Sheng membuktikan bahawa disiplin, semangat, dan keberanian melangkah keluar dari zon selesa mampu membawa anak Malaysia berdiri megah di pentas dunia.
Disediakan Oleh: Ratna Wilis Haryati Mustapa, Perpustakaan UMPSA
- 156 views