Daripada Sukarelawan kepada Jurutera, Muhammad Aiman buktikan kejayaan bermula dengan keberanian mencuba
PEKAN, 3 November 2026 – Kejayaan bukan sekadar diukur melalui pencapaian akademik, sebaliknya turut dinilai berdasarkan pengalaman, keberanian meneroka peluang dan keupayaan memberi manfaat kepada masyarakat.
Prinsip itulah yang menjadi pegangan Muhammad Aiman Rusdi, 24, graduan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Automotif) dengan Kepujian dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang berjaya menamatkan pengajian dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.66.
Anak kelima daripada tujuh beradik itu kini mengorak langkah dalam dunia kerjaya sebagai Jurutera Peralatan/Data di PROTON Tanjung Malim, Perak.
Mengimbau perjalanan sepanjang bergelar mahasiswa, Aiman menyifatkan UMPSA bukan sekadar tempat menimba ilmu, malah menjadi platform yang membentuk jati diri, menetapkan hala tuju kerjaya serta membuka ruang untuk mengenali kepelbagaian masyarakat.

Menerusi penglibatan di bawah Yayasan UMPSA, beliau berpeluang menyantuni pelbagai komuniti dan etnik di seluruh negara termasuk etnik Bajau Samah di Sabah, etnik Uma Ukit di Sarawak serta masyarakat Orang Asli di Pahang.
Pengalaman itu turut diperluas menerusi program Kembara Mobiliti ke Kashmir, India dan Melbourne, Australia yang memberinya peluang berinteraksi dengan masyarakat antarabangsa tanpa mengira latar belakang.
“Setiap perjalanan mengajarkan saya erti bersyukur, membuka mata saya melihat dunia dan menjadikan saya lebih prihatin terhadap masyarakat.
“Peluang yang diberikan kepada saya tidak saya sia-siakan, malah menjadi titik permulaan untuk saya lebih mengenali manusia,” ujarnya.
Kata Aiman, pemberian Biasiswa Yayasan pada semester kedua pengajian sarjana muda dapat dimanfaatkan bagi menampung yuran pengajian, keperluan pembelajaran serta perbelanjaan sepanjang berada di universiti.
“Biasiswa berkenaan bukan sekadar bantuan kewangan, sebaliknya amanah dan tanggungjawab untuk terus memberikan prestasi terbaik dalam akademik serta kokurikulum.
“Kepercayaan yang diberikan turut mendorong saya untuk menyumbang semula kepada universiti menerusi pengurusan program, promosi pendidikan dan penglibatan dalam aktiviti pembangunan sahsiah mahasiswa,” katanya.
Pengalaman kepimpinan beliau semakin menyerlah apabila diberi kepercayaan menerajui Kelab Sukarelawan Yayasan UMPSA bagi sesi 2024/2025.
Tanggungjawab tersebut merangkumi pengurusan Majlis Eksekutif, pencarian dana serta perancangan dan pelaksanaan program berimpak tinggi berteraskan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Hasil komitmen dan kerjasama seluruh pasukan, kelab berkenaan berjaya meraih Anugerah Mercu Sanjung (Berpasukan) dan Anugerah Kumpulan Sukarelawan Terbaik pada Malam Anugerah Mercu Sanjung 2025.
Aiman turut menerima Anugerah Tokoh Khidmat Komuniti pada Majlis Anugerah Mercu Sanjung 2024 sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya dalam bidang kesukarelawanan.
Mengakui bukan mudah untuk mengimbangi tanggungjawab sebagai mahasiswa dan pemimpin, beliau menjadikan disiplin serta pengurusan masa sebagai asas utama dalam memastikan setiap amanah dapat dilaksanakan dengan baik.
“Bagi saya, kepimpinan bukan sekadar melakukan semua perkara sendiri, tetapi tentang kerjasama, disiplin dan kebijaksanaan dalam mengatur langkah.
“Saya juga belajar untuk mempercayai kemampuan ahli pasukan dan mengagihkan tugas dengan sebaiknya,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan yang dikecapi bukan hasil usaha seorang individu semata-mata, sebaliknya lahir daripada sokongan dan kepercayaan seluruh pasukan yang sentiasa bersama-sama merealisasikan setiap perancangan.
Di sebalik pencapaian tersebut, ibu bapanya, Rusdi Rusli, 59 dan Linda Amran, 55 merupakan insan paling penting yang menjadi sumber kekuatan sepanjang perjalanan pendidikannya, khususnya ketika berdepan kekangan kewangan untuk meneruskan pengajian.
“Pengorbanan mereka dalam membesarkan saya menjadi pendorong untuk terus melakukan yang terbaik.
“Segala pencapaian yang saya kecapi hari ini bukan hasil usaha saya seorang, tetapi turut menjadi hasil sokongan dan doa yang dititipkan tanpa henti.
“Semoga segala keringat dan pengorbanan mereka diberikan ganjaran yang setimpal oleh Allah SWT dan saya berharap dapat memberikan kehidupan yang lebih baik kepada mereka sebagai tanda membalas jasa yang tidak ternilai,” katanya penuh syukur.
Berbekalkan pengalaman akademik, kepimpinan dan kesukarelawanan, Aiman kini berhasrat membina kerjaya yang mampan dalam industri automotif.
Pengalaman Work-Based Learning (WBL) selama setahun di PROTON Tanjung Malim turut menjadi asas penting dalam mempersiapkan dirinya untuk menghadapi alam pekerjaan sebenar.
Mengakhiri perkongsian, beliau menitipkan pesanan kepada mahasiswa agar tidak takut mencuba perkara baharu, sentiasa proaktif dan berani keluar daripada zon selesa.
“Jangan takut untuk melakukan kesilapan kerana setiap pengalaman merupakan peluang untuk memperbaiki diri. Namun, takutlah jika tiada kemajuan signifikan dalam diri yang boleh dinilai.
“Kita tidak perlu menunggu sehingga mahir untuk memulakan sesuatu, tetapi perlu mempunyai kesungguhan untuk belajar dan memberikan yang terbaik. Jangan hanya mengejar kejayaan untuk diri sendiri, sebaliknya berusahalah menjadi individu yang mampu memberikan manfaat kepada orang lain,” pesannya.
Berpegang pada ungkapan ‘It always seems impossible until it’s done’ oleh Nelson Mandela, perjalanan Aiman membuktikan bahawa keberanian mengambil peluang, kesungguhan memikul amanah dan keikhlasan menyumbang kepada masyarakat merupakan antara nilai penting dalam membentuk graduan yang bukan sahaja berjaya dalam kerjaya, malah mampu membawa perubahan positif kepada masyarakat dan negara.
Disediakan Oleh: Siti Nurfarmy Ibrahim, Pusat Komunikasi Korporat
- 23 views
Reports by: