Muhammad Uwais terima Anugerah Prihatin Komuniti Puspanita
GAMBANG, 27 Oktober 2024 – Menurut Muhammad Uwais Jainal Rasol, 21 tahun dia telah mencapai satu lagi kejayaan dalam hidupnya.
“Alhamdulillah, saya berjaya memperoleh Diploma Kejuruteraan Kimia dan Proses dan juga Anugerah Prihatin Komuniti Puspanita di Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-19.
“Saya mengakui bahawa pencapaian ini bukan hanya untuk diri saya tetapi juga untuk ibu bapa, pensyarah, dan rakan-rakannya yang sentiasa memberi sokongan pada saya selama ini,” ujarnya.
Walaupun awalnya bercita-cita untuk menjadi seorang arkitek, Uwais akhirnya memutuskan untuk meneruskan bidang Kejuruteraan Kimia setelah mendapat sokongan daripada keluarganya.
Dia menyatakan bahawa pengalamannya dalam subjek Kimia di sekolah menengah telah membangkitkan minatnya untuk menyelidik dan memahami lebih mendalam tentang bidang tersebut.
Namun, perjalanan Uwais tidaklah mudah. beliau terpaksa menghadapi cabaran pembelajaran secara dalam talian semasa wabak COVID-19 yang turut mengganggu kesihatannya.
Katanya, beliau tetap meneruskan pembelajaran walaupun dalam keadaan tidak sihat.
“Ternyata, pengalaman itu membakar semangat saya untuk belajar bersungguh-sungguh.
“Walaupun saya tidak mencapai 4.00 flat pada setiap semester, saya tetap bersyukur dengan pencapaian Anugerah Dekan.
“Saya percaya rezeki itu ada bagi mereka yang berusaha dan bersyukur,” ujarnya.
Uwais juga bertekad untuk meneruskan usaha dalam mengejar cita-citanya sebagai Jurutera Kimia di platform petroleum.
Pengalaman yang dilaluinya sepanjang pengajian di UMPSA telah membentuk jati dirinya untuk tidak berjuang sendirian, tetapi untuk bersama-sama mencapai kejayaan.
Disediakan oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat