Skip to main content

Pembelajaran dalam talian peluang raih kecemerlangan

GAMBANG, 21 Oktober 2023 - Jika sesetengah pelajar beranggapan metod pembelajaran secara dalam talian agak sukar memandangkan tidak dapat memberi perhatian sepenuhnya terhadapa pelajaran, namun berlainan pula dengan pemuda yang berusia 23 tahun ini. 

Wong Kah Quan, penerima Anugerah Verein Deutscher Ingenieure adalah pelajar bagi program dwi ijazah di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). 

Beliau meraih Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.76 bagi program Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Mekatronik.  

Katanya, pembelajaran dalam talian ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua tahun itu memberinya peluang untuk lebih fokus dan menumpukan perhatian yang sepenuhnya terhadap pelajaran. 

“Saya berpendapat belajar secara dalam talian ini dapat menjimatkan banyak masa tanpa perlu ke kuliah yang puratanya mengambill masa kira-kira 20 minit untuk berjalan kaki.  

“Apabila belajar secara dalam talian, saya terus berada di hadapan komputer dan mendengar apa yang disampaikan oleh pensyarah. 

“Sekiranya tidak faham, saya boleh bertanya terus kepada pensyarah dan mereka menerangkan secara one to one  sehingga saya dapat memahami apa yang mereka sampaikan,” kata anak kedua dari tiga beradik ini.  

Wong yang juga anak kepada pasangan mekanik dan suri rumah itu berkata, peluang keemasan itu dimanfaatkan sebaik mungkin apabila sering menelaah subjek tersebut terlebih dahulu sebelum kelas bermula bagi memudahkan beliau untuk memahami kandungan subjek yang akan dipelajari pada hari terbabit. 

Pembelajaran dalam talian peluang raih kecemerlangan

Selain itu, beliau yang turut berpeluang menghabiskan baki pengajian di semester lapan dan sembilan di Karlshure Universiti of Applied, Jerman merasa sangat bertuah kerana dapat menimba pengalaman belajar di luar negara. 

Katanya, ketika belajar di Jerman, beliau perlu berusaha dengan lebih lagi memandangkan penggunaan bahasa di sana menggunakan bahasa ibunda mereka.  

“Justeru, saya perlu menguasai bahasa tersebut dan saya gembira kerana berjaya juga menamatkan pelajaran dengan PNG yang cemerlang. 

“Buat masa ini, saya baharu sahaja selesai menghabiskan latihan industri di sebuah syarikat ternama di Pulau Pinang.  

“Saya berhasrat untuk mencari kerja terlebih dahulu supaya dapat menimba lebih banyak ilmu dan pengalaman dalam industri sebelum menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD),” ujarnya.  

Disediakan oleh: Shalfarina Shahriman, Penerbit UMPSA 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News