Skip to main content

Perpustakaan UMPSA pilihan utama penerima Hadiah Kecemerlangan Akademik Presiden Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) ulang kaji pelajaran

GAMBANG, 29 Oktober 2024 – Sepanjang empat tahun pengajian, hampir setiap hari, penerima Hadiah Kecemerlangan Akademik Presiden Lembaga Jurutera Malaysia (LJM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Khoo Zheng Hao, 24 menjadikan Perpustakaan UMPSA Kampus Gambang sebagai tempat utama beliau mengulang kaji pelajarannya. 

Pemegang Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Kimia dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) itu menerima anugerah tersebut di Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-19.

Menurut Khoo Zheng Hao, beliau menjadikan perpustakaan sebagai tempat untuk menyelesaikan semua tugasan akademik termasuklah mengulang kaji dan menyelesaikan tugasan serta projek. 

“Saya selalunya akan mencari ‘tempat khas’ untuk mengulang kaji dan Perpustakaan UMPSA dirasakan mempunyai persekitaran yang sesuai dan selesa. 

“Setiap hari Isnin hingga Jumaat saya akan ke perpustakaan dari pagi hingga malam, kadang-kadang saya akan berada di situ sehinggalah perpustakaan tutup.

“Secara keseluruhannya, kemudahan akademik dan pensyarah di UMPSA adalah sangat baik,” katanya. 

Hasil pengajaran dan pembelajaran (PdP) di UMPSA, beliau turut berjaya menemui punca utama masalah yang dihadapi oleh industri semikonduktor. 

“Hampir tiga tahun industri semikonduktor itu tidak menemui penyelesaian bagai masalah yang dihadapi mereka dan saya berjaya menemui punca masalah tersebut dalam masa sebulan sahaja. 

“Bukan itu sahaja, saya juga turut melampirkan bersama penyelesaian yang sesuai dan turut menghubungi seorang jurutera kanan dari China yang mempunyai pengalaman lebih daripada lapan tahun dalam industri semikonduktor bagi mengesah dan meluluskan penemuan saya itu.

“Sebelum itu, semasa saya mengikut latihan industri bagi Diploma Kejuruteraan Kimia, saya berjaya membangunkan produk baharu yang dinamakan emulsi untuk industri makanan untuk dikomersialkan,” ujarnya. 

Beliau akan melakukan percubaan dan kesilapan merupakan metodologi terbaik untuk menghasilkan emulsi dengan kestabilan tinggi. 

Katanya, beliau mengambil masa selama empat bulan untuk menghasilkan emulsi dengan terus berhubung dengan pembekal yang menyediakan bahan mentah untuk menjayakan produk tersebut. 

Kecemerlangan beliau terbukti apabila memperoleh Anugerah Dekan pada setiap semester dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.87. 

Anak kelahiran Ipoh, Perak itu turut memperoleh pingat emas dalam Pertandingan Reka Cipta, Kreatif dan Inovasi (CITREX) 2023 dan Triz Innovation. 

Beliau mempunyai minat yang mendalam dalam bidang nyanyian dan mengomposisikan muzik, selain turut aktif dalam Kelab Catur dan menjadi bendahari bermula tahun 2021 hingga 2024. 

Anak sulung kepada pasangan Khoo Yan Who, 53 yang bekerja sebagai kontraktor dan Yong Huey Meng, 52 yang bekerja sebagai kerani bank, menyifatkan terdapat dua nilai unik dalam pembelajaran dan kandungan kokurikulum di UMPSA. 

Ujarnya, pendekatan pembelajaran di UMPSA menekankan hubungan antara teori dan aplikasi praktikal bagi membolehkan pelajar memperoleh pengalaman yang relevan dengan industri.

“Program kokurikulum di UMPSA menawarkan pelbagai aktiviti, termasuk kepimpinan, sukarelawan dan pertandingan yang membantu membina kemahiran insaniah dan keperibadian pelajar. 

“Dalam kamus hidup saya, tiada perkataan ‘tidak boleh’ dan ‘tidak mampu’ kerana merasakan jika saya tidak mampu berbuat sesuatu, sebenarnya bukan saya tidak mampu, tetapi saya tidak mahu sahaja lakukan. 

“Saya berharap dapat mengekalkan disiplin diti dalam kehidupan, akademik dan kerjaya supaya dapat mencapai kejayaan yang lebih luar biasa dalam hidup ini,” katanya. 

Baginya kejayaan Hadiah Kecemerlangan Akademik ini hanyalah permulaan.

“Saya akan kekal merendah diri dan mempunyai sikap sentiasa ingin belajar untuk mencapai kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan serta mahu mengucapkan terima kasih kepada ibu, bapa, datuk dan nenek kerana sentiasa menyokong dari segi kewangan dan emosi. 

“Kadang-kadang, orang berfikir bahawa kejayaan seseorang adalah disebabkan oleh tekanan di belakang, tetapi bagi saya, ia adalah sebaliknya. 

“Mereka tidak menekan dalam pelajaran saya, tetapi mereka terus menggalak dan mengurangkan tekanan yang dihadapi. 

“Oleh itu, tidak kira betapa penatnya semasa belajar, saya dapat mengecas semula dan meneruskan pembelajaran dengan bertenaga,” ujarnya. 

Beliau kini adalah pelajar pascasiswazah kemasukan secara terus (fast tracking) di UMPSA. 

Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri