Skip to main content

Sanjay dan Devapriyaa pasangan suami isteri berkongsi pentas di Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-19

GAMBANG, 29 Oktober 2024 – Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-19 hari ini membawa detik manis buat pasangan suami isteri, Erik Sanjay a/l Gustian, 44, dan Devapriyaa a/p Supramania Das, 43, apabila kedua-duanya berjaya menamatkan pengajian Master Eksekutif Pengurusan Korporat.

Devapriyaa berkata mereka berusaha berkomunikasi dengan baik dan menetapkan jadual untuk pembelajaran dan waktu bersama. 

“Kami juga saling menyokong antara satu sama lain semasa dalam tempoh pengajian tanpa mengabaikan tanggungjawab terhadap rumah tangga,” ujarnya. 

Kejayaan ini bukan sahaja menjadi pencapaian peribadi bagi mereka, tetapi juga simbol ketabahan, sokongan, dan kerjasama yang luar biasa dalam menempuh cabaran kehidupan pengajian bersama.

Manakala menurut anak sulung mereka, Lesvin Erik Sanjay, beliau berasa sangat bangga dengan kejayaan kedua ibu bapanya.  

“Mereka telah berkerja keras dan tidak berputus asa untuk mencapai impian ini. 

“Malah, mereka berdua juga menjadi suri teladan kepada saya dan adik saya,” katanya. 

Ibu bapa kepada dua orang orang anak ini merancang untuk memanfaatkan ilmu yang diperoleh dalam kerjaya masing-masing dan memberi sumbangan kepada masyarakat. 

Dengan impian yang besar dan tekad yang kuat, mereka yakin akan mampu mencapai lebih banyak kejayaan bersama di masa hadapan.

Disediakan oleh: Mohammad Syafiq Syahmi Suhaimi, UMPSA Advanced
 

Reports by:
Admin UMP News