Sean Kendrick Soh terima Verein Deutscher Ingenieure Award (Association of German Engineers) kini sambung pelajaran di Oxford Brookes University, UK
GAMBANG, 26 Oktober 2024 – Mendapat keputusan yang cemerlang dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.78, penerima Verein Deutscher Ingenieure Award (Association of German Engineers), Sean Kendrick Soh, 24 berbangga dan bersyukur apabila berpeluang menyambungkan pelajaran dalam MSc Racing Engine Systems di Oxford Brookes University (OBU), United Kingdom.
Penerima Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Automotif - (Program Kerjasama dengan Karlsruhe University of Applied Sciences, Jerman) dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) turut menerima Hadiah Kecemerlangan Anak Sabah.
Menurut anak kelahiran Sabah itu, pencapaian terbesar beliau adalah peluang untuk belajar di Jerman melalui program dua ijazah yang memberinya pengalaman berharga dalam bidang Kejuruteraan.
“Selama di UMPSA, saya aktif terlibat dalam pelbagai aktiviti kokurikulum, termasuk sebagai Bendahari University Hochschule Community Club, mewakili fakulti dalam sukan boling dan terlibat dalam kerja sukarela.
“Pada pendapat saya, UMPSA adalah sebuah institusi yang memberi perhatian kepada penglibatan pelajar dan berusaha untuk menyesuaikan diri dengan perubahan zaman,” ujarnya.
Bapanya, Kenneth Soh Kim Wee, 65 tahun, seorang pesara dengan pengalaman luas sebagai pengacara profesional manakala ibunya, Leanne Ann Susau, 49, kini bertugas sebagai Ketua Strategi Komunikasi di Cagamas Berhad.
Beliau yang menerima Anugerah Dekan setiap semester turut aktif dalam sukan dan permainan video, serta mempunyai minat yang mendalam dalam sukan Formula 1 (F1).
“Sebab itulah, saya memilih untuk menyambung pelajaran dalam bidang ini selepas tamat pengajian di UMPSA kelak.
“Saya berharap suatu hari nanti, saya akan berpeluang bekerja dalam dunia sukan permotoran sebagai jurutera dan mengibarkan bendera Malaysia di sana,” katanya.
Beliau turut menitipkan nasihat kepada para pelajar UMPSA agar jangan pernah berputus asa dan lakukan sesuatu perkara itu dengan baik dan sempurna.
“Nasihat saya kepada para pelajar ijazah dual yang sedang menyambung pelajaran di UMPSA, anda perlu mengasah kemahiran bahasa dan sentiasa bersedia untuk menghadapi cabaran belajar di luar negara.
“Yang membuatkan sesebuah universiti itu berbeza adalah pelajar itu sendiri.
“Jadilah insan baik dan seorang yang terdidik kerana dunia memerlukan lebih banyak manusia yang baik daripada jurutera sahaja.
Disediakan Oleh: Hafizatulazlin Abdul Aziz, Pusat Komunikasi Korporat
- 109 views