Tong Hui Shan terima Anugerah Kecemerlangan UMPSA Holdings
GAMBANG, 25 Oktober 2024 - “Ketika memulakan sesi pembelajaran pada semester pertama kira-kira empat tahun yang lalu, saya hampir berputus asa kerana terpaksa menjalani norma baharu belajar secara dalam talian akibat pandemik COVID-19 yang melanda dunia pada masa itu.
“Namun, saya bersyukur kerana mendung tersebut telah berlalu dan saya dapat menjalani kehidupan kampus yang normal.
“Ini sekali gus mengembalikan keceriaan dan semangat untuk saya terus berjaya di dalam pelajaran,” kata Tong Hui Shan, 24, graduan Majlis Konvokeyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-19, di sini, semalam.
Tong yang juga merupakan penerima Anugerah Kecemerlangan UMPSA Holdings berkata, selepas pandemic, beliau menyertai banyak kegiatan korikulum, antaranya Kelab Bahasa Jepun, bola tampar dan pasukan koir universiti.
Beliau merasakan penglibatan di dalam bidang korikulum bukan sahaja sekadar mengisi masa lapang, bahkan membantu mengembalikan keyakinan diri, mengasah bakat terpendam dan memupuk semangat berkumpulan dalam kalangan pelajar.
Ujarnya, pengalaman berada di UMPSA memberi pengalaman baharu di dalam hidupnya.
“Walaupun sibuk menyertai kegiatan korikulum, namun saya tetap mengutamakan pelajaran dan bersyukur kerana sering menerima Anugerah Dekan dan Pencapaian Akademik Terbaik.
“Selain itu, kemudahan yang terdapat di UMPSA dan tenaga pengajar yang mahir dalam bidang masing-masing turut membantu saya dan rakan-rakan yang lain untuk mendalami subjek yang diajarkan,” katanya lagi.
Tong merupakan graduan bagi program Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan Teknologi Bahan dari Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI) dan merangkul Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.92 dan melayakkan beliau menerima Ijazah Kelas Pertama.
Beliau kini menyambung pengajian peringkat ijazah doktor falsafah (Ph.D) di UMPSA dan berharap agar dapat mengembara ke seluruh dunia membawa penyelidikan yang memberi manfaat kepada pembangunan bangsa.
Disediakan oleh: Shalfarina Shahriman, Penerbit UMPSA