UMPSA-Ningxia University cipta sejarah, 11 graduan perintis ijazah dual raih kejayaan
PEKAN, 1 November 2026 - Dalam memperkukuh agenda pengantarabangsaan dan memperluas peluang pendidikan bertaraf global, UMPSA mencatat satu lagi kejayaan melalui pelaksanaan program Ijazah Dual antara UMPSA dan Ningxia University, China, bagi program Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Pembuatan Termaju).
Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, tahun ini amat bermakna apabila kita meraikan kumpulan graduan pertama program Ijazah Dual ini, sekali gus membuktikan kejayaan kerjasama strategik kedua-dua universiti dalam melahirkan graduan yang mempunyai pendedahan antarabangsa, kompetensi teknologi dan keupayaan untuk bersaing dalam industri global.

“Lebih membanggakan, sehingga kini seramai 106 orang pelajar Ningxia University sedang mengikuti pengajian melalui program Ijazah Dual UMPSA-Ningxia University.
“Kejayaan ini mencerminkan komitmen UMPSA untuk terus memperluas jaringan akademik antarabangsa, menyediakan pengalaman pembelajaran merentas negara serta melahirkan graduan kejuruteraan dan teknologi yang berdaya saing di peringkat global,” ujarnya.
Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-21 menyaksikan seorang graduan, Gao Yuqi hadir menerima ijazah yang disampaikan Pro-Canselor UMPSA, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor dan wakil Presiden Ningxia University, Profesor Madya Dr. Jiang Xiaoxia pada hari pertama Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-21.
Gao Yuqi kini meneruskan pengajian pada peringkat Doktor Falsafah (PhD) melalui laluan pantas di Zhejiang University, China, yang merupakan antara universiti terkemuka di negara itu.
Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abd Wahit, Pusat Komunikasi Korporat
- 18 views
Reports by: