Skip to main content

UMPSA pertama kali raikan graduasi ijazah dual dengan Kazakh National Agrarian Research University (KazNARU)

GAMBANG, 26 Oktober 2024 – Buat julung kalinya, Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-19 meraikan pelajar ijazah dual di antara UMPSA dengan Kazakh National Agrarian Research University (KazNARU), Kazakhstan. 

Penganugerahan ijazah itu telah disempurnakan oleh Pro-Canselor UMPSA, Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut hadir wakil Rektor Karlsruhe University of Applied Sciences, Jerman, Profesor Dr. -Ing. Maurice Kettner.

Mereka bertiga iaitu Lim Yeow Hong, 24 (UMPSA), Serikova Zhaniya, 24 (KazNARU), dan Akshimbayez Danil, 21 (KazNARU), 21 merupakan perintis kepada program ijazah dual tersebut. 

Program Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan Bioteknologi Industri dengan Kepujian, UMPSA dan Bachelor of Technics and Technology - Biotechnology KazNARU ini merupakan program ijazah dual sarjana muda pertama yang dijalankan di antara universiti awam (UA) di Malaysia dan institusi awam di Kazakhstan. 

UMPSA pertama kali raikan graduasi ijazah dual dengan Kazakh National Agrarian Research University (KazNARU)

Menurut Pengarah Pusat Kerjasama Strategik Akademik, Profesor Dr. Mohd Ruzaimi Mat Rejab, konvokesyen kali ini menyaksikan graduan sulung program Ijazah Dual Bioteknologi Industri kerjasama dengan KazNARU menamatkan pengajian dengan jayanya. 

“Tahniah Lim, Danil dan Zhaniya yang merupakan tiga graduan sulung program kerjasama bersama KazNARU yang memperoleh dua ijazah yang sangat bermakna dalam pengajian bioteknologi mereka.

 
“Kerjasama strategik dengan negara Kazakshtan menghasilkan model program kerjasama akademik 3+1 ini iaitu setiap pelajar program ini akan berada di host universiti selama setahun. 

“Selain mengikuti pembelajaran akademik, mereka juga akan mempelajari budaya dan bahasa yang berbeza,” ujarnya. 

Profesor Dr. Mohd Ruzaimi turut mengucapkan terima kasih atas kerjasama erat pengurusan Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI) dalam menjayakan program ini serta komitmen rakan kerjasama KazNARU yang telah berjaya menjadikan program ijazah dual UMPSA yang ketiga bergraduasi selepas kerjasama pertama dengan Karlsruhe University of Applied Sciences, Jerman dan yang kedua Reutlingen University, Jerman. 

“Alhamdulillah, mereka bertiga telah mendapat penempatan kerjaya sejurus tamat pengajian di dalam program ini, laris di pasaran. 

“Dengan perkembangan program ijazah dual yang dahulunya melibatkan universiti di negara Jerman yang kini berkembang ke negara Kazakhstan telah membuktikan bahawa komitmen UMPSA dalam mengadakan jalinan kerjasama peringkat antarabangsa dalam menyediakan ruang pembelajaran yang lebih meluas. 
  
“Selain itu, para pelajar juga berpeluang mendapat pengalaman belajar di luar negara melalui program ijazah dual,” katanya. 

Ujarnya lagi, peluang pembelajaran ini sudah pastinya menjadi nilai tambah kepada diri mereka terutamanya dalam memperluas perspektif global dan memahami serta mengadaptasi suasana yang berbeza dengan negara masing-masing.  

“Secara tidak langsung, para pelajar ini dilatih agar menjadi seorang yang lebih berdikari dan dapat mempraktikkan bahasa serta gaya hidup budaya asing di samping meningkatkan keyakinan diri mereka untuk menghadapi dunia pekerjaan yang semakin kompetitif,” katanya. 

Lim Yeow Hong yang menerima anugerah ijazah dual melahirkan ucapan terima kasih atas usaha kerjasama di antara dua universiti yang dihadirinya iaitu UMPSA dan KazNARU yang memberikan peluang dan pengalaman unik untuk merasai program ijazah dual serta menghadiri dua majlis konvokesyen dalam masa setahun. 

“Semoga semua pelajar yang sedang mengikuti pengajian untuk mengamalkan kehidupan sosial yang sihat seperti menghargai detik-detik kecil yang menggembirakan di tengah kesibukan mencari ilmu dan mengejar matlamat yang ingin dicapai dengan berusaha sebaik-baiknya.
  
“Ketabahan, kesedaran diri dan matlamat yang jelas boleh membawa kepada pencapaian yang diimpikan. 

“Kejayaan sebagai graduan baharu diharapkankan dapat memberi inspirasi kepada semua pelajar UMPSA,” katanya. 

Walaupun Serikova Zhaniya dan Akshimbayev Danil tidak dapat hadir pada Majlis Konvokesyen ini tetapi mereka tetap teruja dan gembira untuk rakan sepengajian mereka.  

Mereka juga telah diraikan dalam sebuah majlis prakonvokesyen sebelum mereka berangkat pulang ke negara mereka.  

Selain itu, dua orang graduan program ijazah dual KazNARU yang juga berpeluang mengikuti pembelajaran mereka di UMPSA telah berkongsi pengalaman mereka menjalani gaya pendidikan yang berbeza, selesa dan menarik melalui sebuah rakaman video Program Ijazah Dual UMPSA-KazNARU.
  
Mereka juga menyatakan mereka suka akan makanan Malaysia yang mempunyai pelbagai cita rasa. 

Ini jelas menunjukkan para pelajar juga berpeluang mempelajari dan mempraktikkan bahasa dan budaya asing ketika meneruskan pengajian di negara yang terlibat. 

Semoga perkembangan program akademik UMPSA dengan kerjasama institusi pengajian tinggi luar negara terus membawa nailai tambah dan impak positif kepada para graduan universiti ini. 

Disediakan Oleh: Jamilah Bebe Mohamad, Nurkarimah Yusof dan Rosnani Ismail, Pusat Bahasa Moden
 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri