Skip to main content

Bengkel Celik Kos untuk Komuniti perkasa usahawan mikro dan kecil di Terengganu melalui pendekatan SULAM

KUALA TERENGGANU, 17 Mei 2025 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah melaksanakan Bengkel Celik Kos untuk Komuniti di Dewan Serbaguna, Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPUT), Kuala Terengganu sebagai sebahagian daripada inisiatif memperkasa usahawan mikro dan kecil dalam komuniti.

Program itu bertujuan untuk meningkatkan pemahaman dan kemahiran pengiraan kos dalam kalangan usahawan, khususnya usahawan dalam kategori Tier 3 (T3), iaitu kumpulan usahawan yang berada di peringkat asas atau awal dalam ekosistem keusahawanan. 

Seramai 26 orang peserta yang terdiri daripada usahawan mikro dan kecil serta pelajar telah menyertai bengkel ini yang memberi tumpuan kepada pemahaman konsep kos, pengiraan kos barang jualan, penetapan harga jualan yang tepat, serta penggunaan alat bantu seperti Microsoft Excel dalam merekod serta menganalisis data kos secara sistematik. 

Program itu turut melibatkan penglibatan aktif pelajar UMPSA yang mengikuti kursus Management Accounting (BPQ1213), ini adalah selaras dengan pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman dan khidmat komuniti iaitu SULAM (Service Learning Malaysia – University for Society), yang mengintegrasikan pembelajaran berasaskan kursus dengan perkhidmatan kepada komuniti, seperti yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015–2025 (Pendidikan Tinggi). 

Malah, bengkel ini turut mengaplikasikan pendekatan pendidikan berimpak tinggi (High-Impact Educational Practices) dengan menggabungkan elemen teori dan praktikal serta melibatkan pelajar secara langsung dalam aktiviti bersama komuniti usahawan.

Modul khas ‘Celik Kos untuk Komuniti’ yang dibangunkan dalam projek ini direka untuk memperkasakan usahawan T3 dengan kemahiran penting dalam menentukan kos secara sistematik, menetapkan harga jualan secara berasaskan analisis kos sebenar serta meningkatkan keupayaan membuat keputusan kewangan yang lebih tepat. 

Sepanjang bengkel itu juga, sebanyak 12 kajian kes usahawan dalam sektor makanan telah dibincangkan, membolehkan peserta mengenal pasti cabaran sebenar dalam operasi perniagaan harian. 

Perbincangan ini turut membuka ruang kepada peserta dan pelajar universiti untuk bersama-sama menganalisis, mencadangkan penyelesaian, dan memahami realiti pengurusan kos dalam konteks tempatan.

Program itu merupakan hasil kolaborasi antara UMPSA dan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPUT), yang dilaksanakan di bawah inisiatif Geran Inovasi Sosial dan Pemindahan Ilmu Komuniti (CDU). 

Ia diketuai oleh pensyarah kanan Fakulti Pengurusan Industri (FPI), Dr. Mohamad Reeduan Mustapha bersama Ketua Program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kewangan, Dr. Norwazli Abdul Wahab, Ketua Program Keusahawanan, Dr. Rusnifaezah Musa, Noor Intan Shafinas Muhammad dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam, serta Profesor Madya Dr. Nik Mohd Norfadzilah Nik Mohd Rashid dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Menurut Dr. Reeduan, kolaborasi antara akademik dan agensi pembangunan keusahawanan negeri ini bukan sahaja memperkukuh pelaksanaan program tetapi juga meningkatkan keberkesanan penyampaian ilmu kepada kumpulan sasaran. 

Bengkel Celik Kos untuk Komuniti perkasa usahawan mikro dan kecil di terengganu melalui pendekatan SULAM

“YPUT sebagai rakan strategik program turut berperanan penting dalam membantu mengenal pasti usahawan yang memerlukan latihan serta menyokong pelaksanaan bengkel secara logistik dan teknikal.

“Projek ini memberi pendedahan kepada usahawan T3 tentang kepentingan memahami kos sebenar barang jualan dan mengurus liabiliti perniagaan agar dapat mengekalkan keuntungan dan kelestarian dalam jangka masa Panjang. 

“UMPSA percaya bahawa program seperti ini mampu memberi impak langsung kepada kelestarian ekonomi komuniti dan merapatkan jurang ilmu kewangan antara akademia dan golongan usahawan akar umbi,” ujarnya. 

Bengkel yang berlangsung selama satu hari itu turut merangkumi sesi pengenalan konsep kos, teknik pengiraan kos, simulasi perniagaan berkumpulan, serta sesi perkongsian dan refleksi. 

Ia diakhiri dengan penyampaian sijil kepada para peserta. 

Disediakan Oleh: Dr. Mohamad Reeduan Mustapha, Fakulti Pengurusan Industri (FPI)
 

Reports by:
Admin UMP News