Skip to main content

Peluang perkasa keusahawanan pelajar dalam TUBE@IPT

PAYA BESAR, 13 September 2022 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) hari ini menerima kunjungan delegasi dari SME Corp.Malaysia dalam sesi lawatannya untuk mendapatkan perkembangan mengenai peserta Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE@IPT) di UMP.

Sesi kunjungan ini diketuai oleh Pengerusi SME Corp. Malaysia, Dato' Seri Syed Hussein AL-Habshee. 

Delegasi itu disambut oleh Naib Canselor UMP, Profesor Dato' Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin.

Turut sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohammed Rusllim Mohammed., Pengarah Kanan Koordinasi Program, SME Corp. Malaysia, Haji Mohd Izham Abdullah dan Pengarah SME Corp. Malaysia Pejabat Pahang, Nadia Yusof.

Pengerusi SME Corp. Malaysia, Dato' Seri Syed Hussein Al Habshee mengucapkan tahniah atas kejayaan UMP dalam pencapaian kebolehpasaran graduan (GE) UMP yang melepasi 96 peratus dan mengharapkan ia dapat mengekalkan untuk pembangunan usahawan. 

Peluang perkasa keusahawanan pelajar dalam TUBE@IPT

Pada masa yang sama, beliau turut mengucapkan tahniah kepada UMP kerana terpilih untuk mengikut program ini. 

“Menerusi program ini, setiap peserta dibekalkan dengan pelbagai latihan dan persediaan komprehensif serta mampan, agar mampu menjadi usahawan yang dapat dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat seterusnya dapat menyediakan peluang  pekerjaan kepada orang lain,” katanya. 

Sementara itu, Profesor Dato' Ts. Dr. Yuserrie berkata, graduan dan siswazah akan diberi pendedahan dan mempelajari langkah yang diperlukan untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya. 

“UMP amat berbesar hati dengan pemilihan peserta dari UMP untuk menyertai program  dan penerimaan geran dari SME Corp Malaysia sebanyak RM 240,000.

“Langkah terkehadapan ini memberi sokongan kepada universiti tempatan dalam usaha untuk melahirkan lebih ramai usahawan siswazah yang berdaya saing dan bertindak sebagai Job Creator yang akan menyediakan peluang pekerjaan kepada bakal graduan.

“Program ini selari dengan Pelan Strategik UMP 2021-2025 menerusi agenda pembangunan keusahawanan pelajar,” katanya. 

Pada masa yang sama, beliau yakin dan percaya  dengan penglibatan SME Corp. Malaysia melalui program TUBE@IPT ini. 

Tambahnya, pengalaman dan jaringan rangkaian perniagaan yang dimiliki oleh mereka, bimbingan keusahawan yang disediakan pasti akan melahirkan lebih ramai usahawan pelajar yang mampu untuk mendirikan syarikat yang berimpak tinggi dan berinovasi serta mampu bersaing di peringkat antarabangsa ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara keusahawanan yang terunggul. 

Program TUBE@IPT ini melibatkan seramai 231 peserta daripada lapan buah universiti yang terpilih sahaja dan mendapat geran perniagaan bagi membangunkan perniagaan.

Dalam pada itu, seramai 16 peserta UMP berjaya menamatkan latihan dan dibantu dengan empat orang mentor yang membimbing serta memantau perkembangan peserta TUBE@IPT UMP.

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri.

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris