Skip to main content

Program Inkubator Keusahawanan Asnaf Bakeri pupuk usahawan siswa

GAMBANG, 20 Disember 2024 - Pusat Pembangunan Usahawan Kreatif (PUPUK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dengan kerjasama Maybank Islamic Berhad baru-baru ini telah mengadakan Majlis Perasmian Program Inkubator Keusahawanan Asnaf Bakeri di Dewan Serbaguna Bangunan UMPSA Holdings, UMPSA Kampus Gambang.

Program itu bertujuan untuk memberi sokongan kepada usahawan siswa khususnya dalam bidang bakeri melalui penyediaan sumber, bimbingan, dan rangkaian yang diperlukan untuk memajukan idea perniagaan mereka.
Majlis itu dirasmikan oleh Yang Menjalankan Fungsi Naib Canselor, Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha.

Program Inkubator Keusahawanan Asnaf Bakeri pupuk usahawan siswa

Turut hadir Pengarah Serantau, Maybank Pahang, Kelantan, Terengganu (PKT), Dato' Ahmad Farid Qoureshmi Md Daud. 

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor  Dato' Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman dan Pengarah PUPUK, Ts. Dr. Omar Jamaludin.

Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha menyatakan penghargaan terhadap sokongan yang diberikan oleh Maybank Islamic Berhad. 

“Program inkubator ini dijangka akan menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara dengan mempercepatkan pertumbuhan syarikat pemula serta menyediakan peluang pekerjaan.

“Selain itu, program ini juga bertujuan untuk memperkasa mahasiswa dalam bidang keusahawanan, membolehkan mereka melahirkan produk inovatif dan membangunkan kemahiran dalam pengurusan perniagaan. 

“Melalui kerjasama antara universiti, industri, dan komuniti, program ini menyasarkan untuk melahirkan 45 syarikat pelajar berimpak tinggi menjelang tahun 2025,” ujarnya. 

Katanya lagi, dengan pendekatan yang holistik, UMPSA berharap dapat mencipta generasi usahawan yang kompetitif dan inovatif, serta menyumbang kepada pembangunan keusahawanan negara. 

“Program inkubator ini juga selari dengan Pelan Strategik UMP 2021–2025 yang bertujuan untuk melahirkan lebih banyak usahawan yang bukan sahaja dapat mencari peluang pekerjaan tetapi juga mencipta peluang pekerjaan untuk orang lain,” tambahnya. 

Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri