Adakah Saya Berintegriti?
Integriti merupakan suatu nilai yang sangat penting dalam kehidupan kita. Adakah kita benar-benar berintegriti dalam setiap tindakan kita? Mari kita menelusuri bersama-sama nilai tersebut.
Apakah yang dimaksudkan dengan integriti dan ciri-ciri integriti?
i. Menurut Kamus Dewan Integriti, integriti didefinisikan sebagai kejujuran, keadaan sempurna dan utuh.
ii. Menurut Pelan Integriti Nasional (PIN), integriti adalah kualiti unggul yang wujud secara keseluruhan dan padu pada individu dan organisasi. Ta adalah berlandaskan etika dan pencerminan etika dalam tindakan sehari-hari.
iii. Manakala, menurut C.S Lewis, integriti adalah membuat sesuatu yang betul dan baik walaupun tidak dilihat orang lain.
Berdasarkan takrifan tersebut, integriti sebenarnya membawa maksud yang luas dan bukan berkait dengan unsur rasuah semata-mata.
Integriti adalah merangkumi setiap aspek kehidupan manusia yang mencakupi integriti kita dengan Tuhan, keluarga, jiran, ketua, dan rakan sepejabat, dengan tugas dan tanggungjawab serta dengan diri kita sendiri. Integriti adalah apa yang kita rasa (hati), fikir dan lakukan. Apa yang penting adalah yang kita rasa, fikir dan lakukan di atas dasar yang betul dan ikhlas.
Integriti adalah sebenarnya bermula daripada diri kita sendiri. Kita perlu mengamalkan dan menitikberatkan prinsip-prinsip asas yang antaranya:
i. bertakwa iaitu melaksanakan segala suruhan Allah SWT dan menjauhi segala larangannya;
ii. amanah dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab kita di atas muka bumi dalam setiap aspek kehidupan termasuklah dalam bidang pekerjaan;
iii. telus dan adil iaitu melaksanakan tugas kita mengikut dasar dan peraturan yang ditetapkan dan bersikap adil, tidak pilih kasih serta tidak bersikap berat sebelah dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab kita;
iv. rajin dan tekun dalam melaksanakan tugas, bertanggungjawab dengan cepat, tepat dan teliti; dan
v. kita perlulah melayani dan menghormati pihak atasan, rakan sejawat dan pelanggan kita.
Sekiranya kita tidak dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh integriti, maka tentunya kualiti penyampaian yang diharapkan oleh universiti tidak akan tercapai. Antara contoh perilaku dan perbuatan atau etika tidak berintegriti selain rasuah atau penyalahgunaan kuasa yang menjejaskan kualiti perkhidmatan adalah:
i. punch-in pada waktunya tetapi tidak berada di tempat tugas, sebaliknya menghabiskan banyak masa minum pagi di kafeteria;
ii. lambat dan melengah-lengahkan tindakan dalam melaksanakan tugas dan tanggung jawab;
iii. menghabiskan banyak masa pejabat menguruskan hal peribadi tetapi tidak mengambil cuti rehat; dan
iv. tidak bersikap jujur, misalnya membuat tuntutan palsu, bekerja lebih masa tetapi sebenarnya menghabiskan masa melayari internet dan menggunakan kemudahan pejabat untuk kepentingan peribadi; bersikap berat sebelah misalnya dalam urusan pengambilan staf, kenaikan pangkat dan pemberian kontrak, membazir daripada segi menggunakan peralatan pejabat seperti kertas, alat tulis, mesin fotostat dan sebagainya
Kita perlulah memastikan perkara-perkara yang tidak beretika dan menjejaskan integriti ini dielakkan dalam kita melaksanakan tugas serta tanggungjawab kita.
Tentu sahaja, kita semua manusia dan tidak sempurna. Kesalahan adalah sebahagian dari kehidupan. Namun, bagaimana kita belajar dari kesalahan dan tetap berintegriti dalam menghadapi cabaran adalah kunci untuk pembangunan peribadi yang baik dan sempurna.
Akhir kata, integriti amat penting dalam pekerjaan dan dalam kita menjalani kehidupan kita seharian. Marilah kita sama-sama tetap berintegriti agar dapat mencipta perubahan positif dan lebih baik dengan mengamalkan konsep integriti sebagai asas utama dalam hidup kita.
Penulis adalah Ketua, Unit Integriti dan Pematuhan, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
E-mel : nsyahida@umpsa.edu.my