Alternatif Patawali dalam Merawat Kencing Manis: Mitos atau Realiti?
Patawali atau nama saintifiknya Tinospora crispa merupakan antara herba tradisional yang paling kerap disebut dalam rawatan penyakit kronik, khususnya kencing manis. Dalam amalan perubatan Melayu, rebusan batang patawali diminum untuk “menyejukkan badan” dan mengawal paras gula, sementara masyarakat lain di Asia turut menggunakannya sebagai tonik, ubat demam, perangsang tenaga dan merawat tekanan darah tinggi. Namun persoalan penting masih timbul: adakah keberkesanannya benar terbukti atau hanya bergantung kepada kepercayaan turun-temurun?
Kajian moden mengenal pasti bahawa patawali sebenarnya mengandungi pelbagai sebatian aktif yang memberi kesan kepada kesihatan. Penyelidikan terhadap tumbuhan ini menunjukkan bahawa ia kaya dengan alkaloid, diterpenoid, fenolik dan sterol. Sebatian-sebatian ini bukan sahaja memberi ciri pahit kepada tumbuhan tersebut, tetapi turut membawa pelbagai aktiviti biologi. Antara alkaloid penting adalah seperti magnoflorine, columbamine dan liriodenine. Terdapat juga sebatian baharu yang belum pernah dilaporkan sebelumnya, menandakan bahawa komposisi patawali sebenarnya lebih kompleks daripada yang disangka.
Apabila bercakap tentang kencing manis, kesan yang paling banyak dibuktikan ialah keupayaan ia merangsang penghasilan insulin. Beberapa kajian mendapati bahawa ekstrak tumbuhan ini boleh mengaktifkan sel beta pankreas untuk melepaskan insulin dengan lebih efektif. Mekanisme ini berkaitan dengan perubahan ion kalsium dalam sel, iaitu satu proses yang juga berlaku apabila tubuh bertindak balas terhadap peningkatan glukosa. Keupayaan patawali merangsang insulin inilah yang menyokong sebahagian besar dakwaan pengamal tradisional bahawa ia membantu ‘mengurangkan gula dalam darah’.
Selain itu, terdapat sebatian tertentu dalam patawali seperti borapetoside C yang menunjukkan aktiviti antidiabetes lebih mendalam. Kajian terhadap sebatian ini mendapati ia mampu meningkatkan sensitiviti insulin, mengurangkan rintangan insulin dan membantu sel menggunakan glukosa dengan lebih baik. Peranan ini hampir menyerupai prinsip rawatan moden untuk diabetes jenis 2, yang biasanya bertumpu kepada usaha meningkatkan kepekaan tubuh terhadap insulin. Dapatan ini memberi harapan bahawa patawali bukan sekadar berfungsi secara simptomatik tetapi berpotensi mempengaruhi laluan metabolik secara langsung.
Walaupun fokus utama tumbuhan ini ialah kawalan glukosa, sifat antioksidan yang terdapat dalam patawali juga memberikan manfaat tambahan kepada pesakit diabetes. Tekanan oksidatif merupakan salah satu faktor yang mempercepat kerosakan sel dan komplikasi diabetes seperti kerosakan saraf dan salur darah. Beberapa komponen patawali mampu menstabilkan radikal bebas dan mengurangkan kesan keradangan dalam tubuh. Ini menjadikan tumbuhan tersebut bukan sahaja membantu menurunkan gula tetapi turut berpotensi memperlahankan komplikasi yang sering membimbangkan pesakit.
Tidak kurang menarik, patawali juga menunjukkan aktiviti antimikrob. Walaupun ia tidak berkaitan terus dengan kencing manis, aktiviti ini memberi kelebihan kepada pesakit yang sering berdepan masalah luka lambat sembuh dan jangkitan kulit. Sebatian dalam patawali didapati mampu menghalang pertumbuhan bakteria tertentu, sekali gus menyokong penggunaannya dalam rawatan tradisional untuk luka atau kulit bermasalah.
Namun, seperti mana-mana ubat atau herba, patawali bukannya bebas daripada risiko. Walaupun ia digunakan secara tradisional sejak sekian lama, kajian saintifik mengenai keselamatannya masih terhad, terutama dari aspek kesan jangka panjang. Kandungan alkaloid yang kuat memberi potensi risiko jika diambil dalam jumlah besar atau secara berterusan. Selain itu, komposisi kimia patawali boleh berubah mengikut cara ia diproses, lokasi tumbuhan dan umur batang, menjadikannya sukar untuk menentukan dos yang benar-benar selamat atau berkesan. Terdapat juga laporan luar negara tentang kesan sampingan terhadap hati apabila digunakan tanpa kawalan, meskipun kejadian seperti ini jarang dilaporkan dalam konteks tempatan.
Oleh itu, adakah patawali benar-benar berkesan atau sekadar mitos tradisional? Berdasarkan bukti yang ada, patawali bukanlah mitos. Ia mempunyai asas saintifik yang kukuh dan beberapa mekanisme jelas yang boleh membantu mengawal paras gula dalam darah. Kajian makmal dan haiwan menunjukkan keberkesanan yang konsisten, terutama dalam merangsang insulin dan meningkatkan sensitiviti insulin. Namun ia juga bukan ubat ajaib yang boleh menggantikan rawatan perubatan moden. Penggunaannya harus dilihat sebagai pilihan komplementari yang berpotensi, bukan sebagai rawatan tunggal yang mampu menyembuhkan diabetes.

Oleh: Profesor Madya Dr. Hazrulrizawati Abd Hamid
E-mel: hazrulrizawati@umpsa.edu.my
Penulis adalah Pengarah Makmal Berpusat dan Pensyarah Fakulti Sains Dan Teknologi Industri (FSTI) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
- 19 views
Reports by: