Antara Tengah Hari dengan Petang: Pemenggalan Masa Menurut DBP
Saya teringat satu perbualan kecil pada suatu hari Jumaat. Seorang rakan pejabat menghantar pesanan, “Makan tengah hari? Jumpa pukul 1:00 petang.” Saya membalas dengan nada bergurau, “Belum petang lagi tu.” Dia ketawa kecil tetapi kemudian berhenti sejenak. “Habis tu, pukul 1 tu apa?” Pertanyaan ringkas itu membawa kami ke perbincangan yang lebih panjang tentang cara kita menamakan waktu dalam bahasa Melayu. Rupa-rupanya, ramai antara kita sekadar mengikut kebiasaan bukan pedoman.
Kepentingan ketepatan istilah waktu
Isu ini nampak remeh pada pandangan pertama. Kita faham maksud mesej itu, kita pun tetap berjumpa untuk makan. Namun, apabila masuk ke ruang komunikasi rasmi, istilah waktu bukan lagi perkara kecil. Dalam minit mesyuarat, laporan perubatan, catatan keselamatan atau pengumuman media, satu istilah yang tersasar boleh membuka ruang salah tafsir. Di sinilah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) meletakkan garis panduan yang kemas supaya kita bercakap bahasa yang sama apabila menyebut masa.
Zon kekeliruan 12.00 hingga 1.59
Bahagian yang sering mengundang salah faham ialah sela 12:00 tengah hari hingga sebelum 2:00 petang. Kebanyakan orang menganggap angka 1 selepas 12 itu tanda permulaan petang. Logiknya mudah, 12 sudah berlalu, jadi tibalah giliran petang. Tetapi menurut pedoman yang mantap, waktu tengah hari bermula tepat 12:00 dan berterusan hingga 1:59. Maka, 1:00, 1:15, 1:45, semuanya masih tengah hari. Petang bermula tepat jam 2.00. Ini bukan sekadar keputusan bahasa tetapi selaras dengan pemahaman tradisi dan realiti peredaran matahari yang baharu berganjak dari kedudukan tegak.
Garis masa sehari secara ringkas
Bagi konteks yang lebih luas, cuba kita lihat kitaran sehari dengan tenang. Selepas detik 12:00 tengah malam, bermulalah pagi. Walaupun langit masih pekat gelap, jam 2:00 atau 3:00 tetap dikira pagi. Sebab itu ayat ‘4:00 malam’ tidak selaras dengan norma. Yang tepat ialah ‘4.00 pagi’. Selanjutnya, pagi bergerak hingga 11:59. Tepat 12:00, kita masuk ke tengah hari. Tempoh ini tidaklah sekadar satu minit atau beberapa saat, sebaliknya merangkumi dua jam penuh. Selepas 2:00, baharulah hadir petang, yang memanjang kira-kira hingga 6:59. Walaupun langit sudah sayup pada 6:45, istilah yang sesuai masih petang. Waktu malam lazimnya bermula sekitar 7:00, seiring masuknya maghrib dan berakhir sebelum tengah malam. Tiba kembali 12:00, istilah yang tepat ialah tengah malam.

Isu angka 12 yang memerangkap
Satu lagi bahagian yang kerap menimbulkan kekeliruan ialah penggunaan angka 12. Ramai menulis ’12:00 pagi’ untuk merujuk waktu gelap pada penghujung hari, sedangkan istilah yang tepat ialah ’12:00 tengah malam’. Bagi waktu siang, istilahnya ’12:00 tengah hari’, bukan ’12:00 petang’. Kemudian, ’12:01 pagi’ menandakan permulaan hari baharu. Perincian ini mungkin kelihatan cerewet tetapi apabila mulibatkan dokumen rasmi atau rekod undang-undang, ketepatan istilah menyelamatkan kita daripada tafsiran bercanggah.
Bezakan sistem 12 jam dan 24 jam
Dalam hal sistem masa, satu lagi perkara yang patut kita kemaskan ialah perbezaan antara 12 jam dan 24 jam. Bahasa Melayu memadankan ‘pukul’ dengan sistem 12 jam. Contohnya, ‘Pukul 3:00 petang’. Untuk sistem 24 jam, gunakan ‘jam’ tanpa menyertakan pagi atau petang. Contohnya, ‘Jam 1500’. Dua contoh salah yang biasa kita dengar ialah ‘Jam 3:00 petang’ dan ‘Pukul 1500’. Kaedah mudahnya begini, iaitu ‘Pukul’ untuk 12 jam. ‘Jam’ untuk 24 jam. Jangan campur aduk. Apabila kita mematuhi kaedah ini, gaya penulisan serta-merta kelihatan lebih kemas dan yakin.
Kejelasan dan profesionalisme
Ada juga yang bertanya, mengapa aturan ini perlu begitu tegas? Jawapan ringkasnya iaitu kerana bahasa menuntut kejelasan. Kita tidak mahu laporan operasi menunda maksud atau memo kerja menimbulkan tanda tanya. Dalam dunia yang bergerak pantas, ketepatan istilah waktu bukan sekadar formaliti. Ia melicinkan urusan, menghapuskan keraguan dan menunjukkan kita menghormati pembaca. Dalam skala yang lebih halus, ia juga menggambarkan disiplin berbahasa yang menjadi wajah profesion kita.
Akhirnya, kembali kepada anekdot awal. Janji temu makan tengah hari itu tetap berlangsung, walaupun rakan saya menulis ‘1:00 petang’. Tetapi sejak hari itu, dia tidak lagi membuat kesilapan yang sama. Setiap kali mahu mengajak makan selepas zuhur, pesannya begini, “Jumpa pukul 1:30 tengah hari.” Kecil sahaja pembetulannya tetapi besar kesannya untuk kualiti bahasa yang kita wariskan.
Bahasa Melayu menyediakan kerangka yang teratur dan logik untuk menandai masa. Kita hanya perlu memakainya dengan tepat. Jika anda terbiasa menyebut “1 petang”, cubalah membiasakan bibir dengan “1 tengah hari”. Lama-kelamaan, ia menjadi tabiat baharu yang lebih kemas, lebih persis dan lebih sedap dibaca.
Rujukan
Nik Safiah Karim et al. (2015). Tatabahasa Dewan Edisi Keempat. DBP.
Dewan Bahasa dan Pustaka. Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM). prpm.dbp.gov.my
Khidmat Nasihat Bahasa DBP. (2018). Soalan Lazim: Penulisan Waktu.
Kamus Dewan Perdana. (2021). DBP.

Oleh: AHMAD IBRAHIM
E-mel: ahmadbi@umpsa.edu.my
Penulis ialah Pensyarah, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
- 75 views