Skip to main content

Baiti Jannati dalam Era Algoritma

‘Baiti jannati’ bermaksud rumahku syurgaku ialah kalimat yang kedengaran sederhana, namun menyimpan getaran makna yang panjang dan dalam. Sejak zaman nenek moyang lagi, rumah bukan sekadar binaan batu-bata, tetapi medan pembentukan jiwa, tempat tumbuhnya kasih sayang, dan ruang lahirnya nilai. Namun, apabila dunia meluncur deras ke dalam era algoritma, persoalannya, adakah rumah masih berfungsi sebagai ‘syurga’ atau sudah berubah menjadi sekadar persinggahan antara satu notifikasi dengan notifikasi yang lain?

Di zaman lampau, rumah adalah pusat kehidupan. Di situlah anak belajar mengenal huruf, doa, adab dan erti hormat. Bau masakan ibu menjadi jam berdetik pada dinding. Suara ayah memberi nasihat menjadi alunan latar yang menemani kerja sekolah. Namun hari ini, bunyi yang paling kerap kita dengar di rumah ialah ding telefon pintar, getaran notifikasi, dan video berlumba-lumba memintas realiti. Rumah kini bukan lagi sunyi daripada dunia luar namun sebaliknya terlalu terbuka, terlalu terdedah. Era algoritma telah membawa dunia masuk ke dalam ruang paling peribadi kita.

Algoritma, secara zahirnya, tidak bertulang, tidak berdarah, dan tidak berhati. Tetapi ia mempunyai kuasa membentuk pola fikir, minat, malah emosi sebuah keluarga. Ia menentukan apa yang kita lihat apabila membuka telefon, apa yang muncul di skrin televisyen pintar, dan apa yang menjadi ‘wajib tonton’ atau ‘trend’. Tanpa disedari, algoritma membentuk budaya baharu di dalam rumah. Anak lebih mengenal wajah pencipta kandungan berbanding wajah jiran sebelah. Ibu lebih lama meneliti resipi di layar berbanding menggaulkan perasaan anak yang perlukan perhatian. Ayah pula kadang-kadang lebih fokus menatap paparan saham, kripto, atau berita sensasi daripada merenung mata anak yang rindu dipeluk.

Namun, adakah ini bermakna konsep ‘baiti jannati’ telah lenyap? Tidak semestinya. Ia tidak hilang namun ia hanya diuji. Di sebalik gelombang digital ini, ‘baiti jannati’ beralih menjadi sebuah perjuangan kesedaran. Rumah tidak lagi menjadi syurga secara automatik; ia mesti dibina dengan niat, disiplin dan kesengajaan. Dalam dunia yang dikawal algoritma, setiap penghuni rumah perlu menjadi ‘penentu algoritma peribadi’ yang memilih dengan sedar apa yang patut ditonton, didengar, dikongsi, dan yang lebih penting, apa yang patut ditolak.

Syurga kecil di rumah pada hari ini mungkin kelihatan berbeza berbanding dahulu. Ia bukan lagi hanya tentang ruang tamu yang luas atau perabot mahal, tetapi tentang kualiti kehadiran. Rumah menjadi indah apabila ahli keluarga benar-benar hadir dan bukan sekadar badan, tetapi jiwa. Makan malam tanpa telefon di tangan kini menjadi lebih bernilai daripada jamuan mewah yang diabadikan di Instagram. Perbualan sederhana di meja makan lebih berharga daripada ribuan tanda suka di media sosial.

Pada masa yang sama, teknologi tidak wajar dianggap sebagai musuh mutlak. Ia ibarat pisau, boleh menghidang makanan atau mencederakan diri, bergantung pada siapa yang memegangnya. Algoritma juga boleh dimanfaatkan untuk menghidupkan kembali semangat ‘baiti jannati’. Kita boleh memilih kandungan yang mendidik, ceramah yang menyuburkan jiwa, kelas dalam talian yang membina kemahiran, dan perbincangan yang menyatukan keluarga. Yang membezakan hanyalah niat dan kawalan.

Ironinya, rumah dalam era algoritma berdepan dengan dua bentuk kelaparan iaitu kelaparan perhatian dan kelaparan makna. Anak-anak bukan kekurangan hiburan, malah terlalu banyak hingga tidak tahu memilih. Apa yang kurang ialah sentuhan emosi, kata dorongan, masa berkualiti. Kemewahan sebenar hari ini bukan lagi wang atau harta akan tetapi masa tanpa gangguan, masa yang dihidupkan dengan perbualan, doa dan tawa.

Bayangkan sebuah rumah pada waktu malam, lampu malap, suara al-Quran mengalun perlahan, ibu menyemak kerja sekolah anak, ayah berbincang tentang hari esok, dan telefon pintar berehat di sudut meja. Mungkin inilah bentuk ‘baiti jannati’ versi kontemporari. Walaupun ruang yang sederhana, tetapi penuh sakinah. Di sinilah algoritma manusia membentuk kasih sayang, empati, sabar dan reda seterusnya mengatasi algoritma mesin.

Dalam kesibukan mengejar kemajuan, kita sering lupa bahawa konsep syurga bukan terletak pada kesempurnaan luaran, tetapi pada ketenangan dalaman. Rumah yang retak emosi tidak akan menjadi syurga walau berlapis emas. Sebaliknya, rumah yang penuh kekurangan mampu terasa seperti istana apabila dihuni dengan kasih dan iman.

Mungkin sudah tiba masanya kita menyoal diri, siapakah yang sedang menguasai rumah kita? kita, atau algoritma? Adakah kita masih mendengar cerita satu sama lain, atau hanya mendengar suara dari skrin? Rumah sepatutnya menjadi tempat kita pulang, bukan tempat kita semakin hilang.

Maka, ‘baiti jannati’ dalam era algoritma bukanlah hadiah percuma. Ia adalah revolusi kecil yang bermula dari dalam diri. Ia menuntut keberanian untuk mematikan skrin, membuka hati, dan menghidupkan kembali hubungan yang hampir pudar. Ia menuntut agar kita menjadikan rumah bukan sahaja tempat berehat jasad, tetapi taman yang menyuburkan roh dan mungkin, suatu hari nanti, apabila anak-anak mengenang masa kecil mereka, mereka tidak akan berkata, “Aku membesar dengan gajet,” tetapi akan berkata dengan senyuman: “Aku membesar dalam sebuah rumah yang terasa seperti syurga.”

Baihaqi

Oleh: Mohammad Baihaqi Hasni 
E-mel: baihaqi@umpsa.edu.my
Penulis adalah Guru Bahasa Kanan, Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri