Benih Minat Belajar: Tumbuhnya di Rumah, Mekarnya Sepanjang Hayat
Dalam era yang semakin mencabar ini, kemampuan anak-anak untuk belajar secara berterusan bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan. Namun, sering kali kita terperangkap dalam tanggapan bahawa kecenderungan untuk belajar adalah sifat semula jadi dan sesuatu yang muncul dengan sendirinya apabila anak dilahirkan pintar atau diberi peluang bersekolah di tempat terbaik. Hakikatnya, sikap suka belajar bukanlah anugerah semula jadi, tetapi hasil pembentukan berterusan yang bermula sejak hari pertama seorang anak menjejakkan kaki ke dunia dan proses pembentukan ini terletak kukuh di tangan ibu bapa.
Rumah adalah institusi pertama yang memperkenalkan konsep pengetahuan. Ibu bapa, sama ada melalui perbuatan, pertuturan atau tingkah laku, menjadi contoh yang membentuk persepsi anak terhadap ilmu. Anak-anak tidak belajar daripada arahan kosong, mereka meniru apa yang mereka lihat. Seorang ibu yang membaca akhbar setiap pagi atau seorang bapa yang berbincang isu semasa secara terbuka secara tidak langsung menghantar mesej bahawa ilmu itu bernilai. Sebaliknya, jika hiburan menjadi keutamaan dan perbualan di rumah tidak pernah menyentuh soal pengetahuan, anak-anak akan membesar tanpa melihat pembelajaran sebagai aktiviti yang bermakna.
Ibu bapa sering tidak menyedari bahawa suasana rumah memainkan peranan asas dalam pembentukan budaya belajar. Rumah yang menyediakan bahan bacaan, alat tulis, permainan pendidikan dan ruang pembelajaran meskipun kecil, memberi isyarat bahawa pembelajaran adalah sebahagian daripada kehidupan. Sebaliknya, rumah yang dipenuhi gangguan skrin dan waktu bebas tanpa struktur hanya membesarkan anak yang sukar fokus, cepat bosan dan mudah hilang minat terhadap ilmu. Budaya belajar bukan muncul daripada kekosongan tetapi ia memerlukan suasana yang mengangkat nilai pengetahuan.
Namun, pembentukan budaya belajar tidak cukup hanya dengan menyediakan buku dan ruang. Ia memerlukan sokongan emosi yang konsisten. Kanak-kanak mudah patah semangat jika setiap kesilapan ditegur dengan kata-kata yang merendahkan. Semangat belajar berkembang melalui pujian yang berfokus kepada usaha, bukan hasil. Anak yang menerima sokongan sebegini akan melihat pembelajaran sebagai perjalanan yang menyeronokkan, bukan pertandingan yang membebankan. Mereka belajar untuk memperbaiki diri, bukan untuk memenuhi jangkaan orang lain.
Ibu bapa hari ini berdepan tarikan teknologi yang begitu besar kepada anak-anak. Skrin mampu memukau, menghiburkan dan mengalihkan perhatian jauh daripada buku. Namun, cabaran ini tidak boleh dijadikan alasan untuk menyerah. Had penggunaan skrin, pengawasan kandungan dan aturan masa yang jelas perlu ditetapkan. Jika ibu bapa dapat mewujudkan keseimbangan yang sihat, anak-anak berpeluang membina disiplin belajar dan mengekalkan tumpuan yang diperlukan.
Buat ibu bapa yang masih berjuang dalam kehidupan yang susah dan keadaan yang tidak selalu memihak, setiap hari mereka bangun dengan satu harapan agar anak mereka hidup lebih baik daripada diri mereka sendiri. Namun, dalam perjuangan yang melelahkan itu, kita sering lupa bahawa benih masa depan anak bukan sekadar pada makanan di atas meja, tetapi juga pada minat belajar yang kita semai setiap hari. Anak tidak menunggu rumah besar atau pendapatan selesa untuk mula mencintai ilmu tetapi mereka hanya menunggu perhatian kecil daripada kita. Luangkan sedikit ruang antara penat dan perjuangan hidup walau seketika untuk bertanya tentang pelajaran mereka, mendengar cerita sekolah, atau sekadar menemani mereka menulis huruf yang masih senget. Jangan biarkan kesusahan hidup menjadi alasan untuk membiarkan minat belajar mereka kering dan layu. Ironinya, anak-anak inilah yang paling memerlukan siraman ilmu, supaya mereka tidak membesar dalam bayang kepayahan yang sama. Setiap minit yang kita laburkan, walaupun kecil, adalah cahaya yang kelak menjadi arah tuju masa depan mereka.
Tatkala ada ibu bapa berjuang dengan kepayahan hidup ada juga yang diuji dengan masa yang terhad. Dalam kalender yang penuh mesyuarat, agenda padat dan tanggungjawab yang tidak pernah selesai, masa untuk anak sering tenggelam di celah-celah tuntutan kerjaya ibu bapa yang bekerja atau berjawatan tinggi. Namun, betapa tinggi sekalipun jawatan kita, anak-anak tetap melihat kita melalui satu lensa yang sangat sederhana, adakah ibu atau ayah hadir dalam dunia kecil mereka? Anak-anak tidak mengukur kasih melalui gaji atau pangkat, tetapi melalui perhatian yang diberikan kepada minat dan pembelajaran mereka.
Budaya belajar tidak tumbuh dengan sendiri, dan ia tidak boleh digantikan dengan gajet mahal atau kelas tambahan tanpa sentuhan emosi. Kadang-kadang yang mereka perlukan hanyalah beberapa minit untuk mendengar kita bercerita tentang sesuatu yang kita pelajari hari itu, atau melihat kita membaca sekeping akhbar sebelum tidur. Kehadiran yang sebentar tetapi bermakna ini lebih berharga daripada sehari suntuk tanpa sentuhan jiwa. Dan kelak, apabila mereka membesar sebagai anak yang berminda ingin tahu dan rajin berusaha, barulah kita sedar bahawa masa yang kita ’curi’ dari kesibukan itu sebenarnya adalah pelaburan paling bernilai dalam hidup kita.
Perlu diingat juga bahawa pembentukan budaya belajar bukan proses yang serta-merta. Ia tidak berlaku dalam sehari atau seminggu. Ia memerlukan kesabaran, ketekunan dan kesedaran ibu bapa bahawa setiap interaksi, sekecil mana pun, memberi kesan mendalam kepada perkembangan minda anak. Anak yang bijak bukan semestinya anak yang sentiasa mendapat markah tertinggi, tetapi anak yang tidak putus asa, sentiasa ingin tahu dan tidak takut mencuba. Sifat-sifat ini terbentuk bukan melalui tekanan tetapi melalui dorongan yang berterusan.
Sebagai masyarakat, kita perlu mengubah naratif bahawa minat belajar adalah faktor genetik atau semata-mata hasil daripada sistem pendidikan. Sekolah memainkan peranan penting, tetapi asasnya tetap bermula dari rumah. Guru boleh memberi ilmu, tetapi ibu bapa memberi budaya. Jika rumah gagal menanamkan sikap positif terhadap pembelajaran, sekolah hanya mampu mengisi kekosongan, bukan membentuk tabiat. Sebaliknya, jika rumah mempunyai budaya belajar yang kukuh, sekolah menjadi landasan untuk mengembangkan lagi potensi anak.

Oleh: Profesor Madya Dr. Hazrulrizawati Abd Hamid
E-mel: hazrulrizawati@umpsa.edu.my
Penulis adalah Pengarah Makmal Berpusat dan juga Profesor Madya di Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
- 13 views
Reports by: