Di Sebalik Wajah Menunduk: Naratif Sunyi Generasi Z di Dewan Kuliah
Sebelum melangkah kaki ke dalam dunia pendidikan, sering kali timbul rasa aneh apabila mendengar keluhan orang ramai tentang betapa sukarnya menyantuni Generasi Z. Istilah-istilah seperti fragile, ‘hati tisu’, ‘Generasi Strawberi’, atau golongan yang mudah mengalami kemurungan dan keresahan sering dikaitkan dengan mereka. Seolah-olah generasi baharu ini serba kekurangan jika dibandingkan dengan ketahanan mental generasi terdahulu. Ketika itu, logik akal sering menidakkan stigma tersebut: ‘Takkanlah sesusah itu?’ Namun, persepsi itu berubah sepenuhnya apabila diri ini akhirnya menyarung jubah pendidik dan melangkah masuk ke dalam dewan kuliah. Berdiri di hadapan puluhan wajah anak muda ini, barulah realiti sebenar terbentang di depan mata, dan mitos bertemu dengan hakikat. Apabila soalan mudah seperti, “Ada apa-apa soalan?” dilontarkan, ia sering disambut dengan kesepian yang bingit. Tiada suara, tiada respons dan tiada angkat tangan. Hanya bunyi dengung pendingin hawa dan kerdipan mata puluhan pelajar yang memandang kosong ke arah papan putih. Lebih parah lagi, sebahagian daripada mereka lebih asyik menunduk, wajah disinari cahaya biru skrin telefon pintar di bawah meja berbanding menatap wajah pensyarah yang sedang berpeluh memberi syarahan.
Pada saat itu, timbul persoalan yang menyesakkan dada seorang pendidik. Di manakah silapnya? Detik ‘krik-krik’ sebegini mula mencabar ego profesional. Ada keinginan untuk menyalahkan diri sendiri, ‘Adakah syarahan yang disampaikan membosankan?’ Namun, ada masanya hati kecil memberontak dan mula menuding jari, ‘Budak-budak sekarang makin tidak beradab?’ Dalam kekalutan emosi ini, hati kecil sering berperang dengan ego sendiri. Adakah menjadi tanggungjawab hakiki seorang pensyarah untuk mendalami emosi setiap pelajar, atau tugas kita hanya sekadar memindahkan maklumat? Timbul rasa skeptikal, adakah mereka ini benar-benar berminat belajar atau sekadar memenuhi syarat kehadiran? Godaan untuk mengambil jalan mudah itu sangat kuat, ‘Ah, ajar sahajalah. Asalkan silibus habis dan gaji masuk, itu sudah memadai.’
Namun, apabila mengenangkan kembali amanah berat gelaran ‘Pendidik’ yang terpikul di bahu, lamunan tentang jalan mudah itu terhenti. Bukankah kumpulan pelajar inilah modal insan yang bakal kita gilap untuk memimpin negara kelak? Universiti seharusnya menjadi ‘makmal kehidupan’, ia adalah tempat yang selamat untuk melakukan kesilapan, tempat untuk dibentuk, dan tempat untuk digilap. Hati kecil memujuk, ‘Masih ada harapan,’ tetapi persoalannya, bagaimanakah caranya untuk menembusi tembok pemisah ini? Jawapannya sering kali bukan ditemui di dalam dewan kuliah yang formal, tetapi di luar waktu kelas. Apabila sesi konsultasi secara individu diadakan, barulah satu per satu ‘pintu rahsia’ hati mereka terbuka. Rupa-rupanya, diam mereka bukan kerana sombong, bukan kerana biadab, dan bukan kerana malas.
Mereka membesar dalam era ledakan maklumat, semua jawapan ada di hujung jari. Ini melahirkan ketakutan untuk bertanya kerana bimbang dilabel ‘bodoh’ oleh rakan sekelas. Lebih menakutkan bagi mereka adalah jika pensyarah membalas dengan nada sinis, “Itu pun tak tahu? Kan boleh Google sahaja.” Ayat keramat ini nampak remeh, tetapi ia membunuh rasa ingin tahu mereka. Di sinilah letaknya salah faham terbesar. Mereka bukanlah generasi yang tidak berminat. Ada sesuatu yang lebih mendalam, iaitu ‘ketidakyakinan diri’ yang perlu difahami dan disantuni dengan hikmah. Pemahaman ini sejajar dengan komitmen institusi pendidikan tinggi yang menekankan pembangunan holistik pelajar, bukan sekadar kecemerlangan teknikal, tetapi juga kesejahteraan mental dan emosi sebagai asas kepada kejayaan akademik dan profesional. Jadi, bagaimanakah tembok ‘ketakutan’ ini diruntuhkan? Kuncinya bukan pada teknologi canggih atau nota kuliah yang berwarna-warni, tetapi pada ‘Keterjaminan Psikologi’.
Sebagai warga pendidik di universiti, pendekatan pembelajaran berpusatkan pelajar perlu diperkasa. Dewan kuliah harus menjadi zon selamat iaitu soalan ‘asas’ diraikan sebagai benih kepada pemahaman yang lebih mendalam. Bayangkan impak jika setiap kali pelajar bertanya soalan yang nampak remeh, respons yang diterima adalah positif dan membina. Perubahan nada suara dan pendekatan sekecil ini mampu mengubah seorang pelajar yang pasif menjadi lebih berani dan kritis. Biarlah mereka faham bahawa mengakui ketidaktahuan adalah langkah pertama kebijaksanaan, manakala berpura-pura tahu hanyalah satu kerugian yang menghalang ilmu. Selain itu, pendekatan pengajaran perlu disesuaikan dengan rentak zaman. Jika Generasi Z hidup dalam alam maya, dekati mereka dengan bahasa yang mereka faham. Penggunaan aplikasi interaktif dalam kuliah bukan bermaksud merendahkan martabat ilmu, tetapi satu bentuk diplomasi pendidikan, membina jambatan untuk masuk ke dunia mereka, supaya mereka boleh dipimpin keluar menuju realiti yang lebih matang. Memahami Generasi Z bukanlah tentang memanjakan mereka atau melunakkan standard akademik. Ia adalah tentang nilai kemanusiaan. Di sebalik wajah-wajah yang menunduk itu, ada jiwa-jiwa yang sedang mencari arah, yang dahagakan bimbingan, dan memerlukan seseorang untuk percaya kepada potensi mereka. Jika tembok kesunyian ini berjaya dipecahkan, kita bukan sahaja melahirkan graduan pakar teknikal, tetapi manusia yang berjiwa besar dan beradab. Inilah pelaburan sebenar seorang pendidik. Hasilnya mungkin tidak kelihatan dalam bentuk gred A semata-mata, tetapi akan mekar apabila mereka memimpin masyarakat suatu hari nanti.
Akhir kata, perjalanan memahami Generasi Z adalah perjalanan memahami masa depan. Institusi pendidikan tinggi memainkan peranan kritikal dalam melahirkan modal insan yang bukan sahaja kompeten, tetapi juga berdaya tahan dan empati menghadapi cabaran dunia yang sentiasa berubah.

Oleh: Ts. Dr. Nurul A'in Nadzri
E-mel: nurulainadzri@umpsa.edu.my
Penulis adalah Pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
- 102 views
Reports by: