Skip to main content
DIMENSI BAHARU TEKNOUSAHAWAN

DIMENSI BAHARU TEKNOUSAHAWAN

Di Malaysia, kerajaan sangat menitikberatkan untuk membangunkan usahawan lebih-Iebih lagi dalam kalangan belia, kerana mereka merupakan golongan yang bertenaga dan berpotensi. Umumnya, belia hari ini memiliki ilmu dan pelbagai bidang kemahiran serta pengetahuan. Pengetahuan serta kemahiran yang dimiliki oleh belia masa kini akan memendekkan masa serta proses untuk mereka mudah menjadi usahawan. 

Penglibatan belia dalam bidang keusahawanan boleh ditaksirkan sebagai bukti yang mana pihak kerajaan sentiasa menyediakan pelbagai peluang dan kemudahan bagi usahawan muda dengan tujuan untuk memantapkan lagi kemahiran dalam bidang ini. Bukan itu sahaja, dana dan tabung pinjaman juga diwujudkan untuk mengalakkan penglibatan belia dalam bidang ini. 

Intipati Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) juga memberi tumpuan untuk membangunkan usahawan, khususnya kepada golongan belia ke arah meningkatkan daya saing untuk menjadi usahawan yang kompetetif diperingkat nasional dan antarabangsa.

Secara umumnya, keusahawanan sebagai proses mencipta sesuatu yang baharu dengan nilai- nilai yang tertentu, dengan menumpukan pada masa dan keupayaan, dan ia perlu seiring dengan faktor kewangan, risiko sosial dan menerima ganjaran dalam bentuk wang, kepuasan peribadi dan dilakukan secara berdikari 

Asas keusahawanan boleh juga merujuk kepada pengaplikasian proses inovasi serta penerimaan terhadap suatu fungsi menanggung risiko, berorientasikan perubahan terhadap kedua-dua aspek sosial dan ekonomi. Ringkasnya, hasil daripada inovasi tersebut akan memberikan kesan yang positif. 

Penjelasan di atas membolehkan kita mendefinisikan keusahawanan sebagai satu bidang kerjaya yang amat digalakkan oleh pihak kerajaan di mana usahawan mengendalikan urusan perniagaan untuk keuntungan sebagai sumber pendapatan diri dan keluarga dan seterusnya memperoleh kejayaan dalam dunia keusahawanan. Impaknya juga kepada pertumbuhan ekonomi Negara dan peningkatan sosio kehidupan masyarakat.

Negara bukan sahaja perlu mewujudkan masyarakat Malaysia yang menjadi pengguna teknologi, tetapi juga sebagai penyumbang kepada perkembangan pengetahuan saintifik dan teknologi pada masa depan. Saranan ini membuktikan kepentingan dan mewujudkan masyarakat berbudaya keusahawanan yang mampu mengatasi cabaran-cabaran yang mendatang dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0. Maka, sinergi antara teknologi dan usahawan perlu didefinisikan sebagai agenda penting sebagai wadah model pembangunan usahawan negara melalui pemerkasaan teknousahawan.

Teknousahawan adalah bidang keusahawanan yang mengaplikasi dan menggunakan kepakaran teknologi dalam pengeluaran produk, perkhidmatan, pengurusan perniagaan dan membuat keputusan berkaitan perniagaan. Model teknousahawan adalah merupakan model untuk memperkasakan kapasiti dan kapabiliti usahawan sedia ada kepada usahawan yang berskala perusahaan kecil, sederhana (PKS) dan besar (Large Company) mengikut kluster masing‐masing yang dilaksanakan melalui kerjasama Rakan Pintar Teknologi yang merangkumi pihak Institusi Pendidikan Tinggi, Institusi Latihan Kemahiran, Agensi & Badan Kerajaan Penyedia Teknologi atau Sektor Swasta yang mempunyai kepakaran berasaskan penyelidikan dan teknologi strategik. 

Model teknousahawan bermatlamat adalah ke arah peningkatan dan pengukuhan teknousahawan sebagai peneraju atau pemain industri yang mampu menjadi penyumbang utama kepada Keluaran Domestik Kasar (GDP), kewujudan industri-industri baharu dan penyedia peluang-peluang pekerjaan baharu negara oleh PKS.Pemilihan strategi utama model teknousahawan ialah adalah faktor kritikal dalam kejayaan mencapai matlamat gagasan ini menerusi usaha-usaha mempertingkatkan kapasiti dan kapabiliti usahawan melalui pendekatan akademik, teknologi, teknikal, generik dan keusahawanan. 

Di samping itu, strategi merangkaikan teknousahawan dengan industri melalui pemadanan perniagaan, penyesuaian teknologi dan kerjasama strategik dengan peneraju industri. Model ini perlu disokong dengan skim bantuan dan kemudahan seperti Pembiayaan Perniagaan, Penyewaan Infrastruktur Perniagaan, Skim Sokongan Berpakej Industri & Perniagaan, Rundingcara Perniagaan, Khidmat Nasihat Kewangan, Pelan Strategik Perniagaan dan Pembangunan Pemasaran. 

Pelaksanaan model teknousahawan bermula daripada peringkat pembudayaan melalui seminar‐seminar kesedaran (awareness) kepada kumpulan sasar iaitu pelajar-pelajar sekolah, mahasiswa Institusi Pendidikan Tinggi, pelatih Institusi Latihan Kemahiran, dan usahawan baharu dan sedia ada yang berminat dalam mengaplikasikan penggunaan teknologi untuk meningkatkan taraf perniagaan mereka. Seminar berkaitan biasanya diadakan mengikut zon, negeri dan daerah secara berkala dengan kerjasama dengan rakan pintar teknologi. 

Usaha dan strategi ini memberi penekanan kepada pewujudan dan pembangunan teknousahawan melalui bimbingan teknologi berbentuk praktikal dan teori, perundingan teknikal, rekabentuk dan pembangunan produk, kemudahan dan sokongan penyelidikan, ruang inkubator teknologi, sangkutan (attachment),rundingcara perniagaan, promosi dan pemasaran dan latihan keusahawanan. 

Sebagai rumusannya, satu pendekatan yang lebih komprehensif perlu dirangka bagi membantu dan memantau aktiviti keusahawanan dalam kalangan usahawan belia, mahasiswa dan usahawan baru. Berdasarkan trend analisis, didapati bahawa penglibatan golongan ini dalam bidang perniagaan adalah tinggi. Namun ianya hanya terbatas kepada perniagaan secara kecil-kecilan. Mereka menceburi bidang perniagaan semata-mata kerana ingin mendapatkan pendapatan untuk menyara kehidupan ataupun sebagai pendapatan sampingan untuk meningkatkan taraf hidup. Persepsi ini wajar diberi nafas baharu melalui pendekatan teknologi dan kemahiran yang memberi pulangan lebih besar dan berimpak tinggi.

Disediakan oleh Dr. Mohamad Rozi Hassan, Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Industri Universiti Malaysia Pahang. Emel: rozi@ump.edu.my. Rencana ini tulah disiarkan dalam akhbar Kosmo pada 9 Mac 2019. 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim