Dokumentasikan Sejarah Negara
Kewujudan Arkib Negara bagi menyimpan fail, rekod, dan dokumen sejarah negara merupakan satu usaha yang wajar bagi memastikan segala sumber berkaitan negara ini pada masa yang lampau dapat dilihat dan dirujuk kembali oleh generasi baharu. Justeru, Arkib Negara juga mempunyai cawangan di negeri-negeri tertentu seperti Arkib Kedah, Arkib Terengganu Arkib Kelantan, Arkib Sabah, Arkib Pahang dan lain-lain lagi.
Usaha Arkib Negara seharusnya tidak terhenti setakat itu sahaja. Tetapi menjadi tugas kita sebagai rakyat Malaysia untuk mengkaji, menganalisis dan menyimpan segala fakta berkaitan sejarah negara serta mendokumenkan penemuan tersebut untuk tatapan generasi akan datang. Bukan itu sahaja, dokumen ini sangat penting untuk rujukan jika wujud sebarang isu atau kemusykilan atau individu atau kumpulan tertentu mempersoalkan tentang kedaulatan dan kemerdekaan negara ini.
Malaysia sememangnya menyimpan banyak peristiwa seiring dengan perkembangannya sebagai sebuah negara bangsa yang wujud beratus tahun dahulu dari semenjak zaman prasejarah, Zaman Kerajaan Melayu Tradisional, Zaman Kesultanan Melayu, Zaman Pendudukan dan Penjajahan Barat, Zaman Pemerintahan Jepun, Zaman Pascakemerdekaan dan zaman selepas penubuhan Malaysia sehingga ke hari ini. Semua ini sudah menjadi sejarah dan sentiasa dikenang kerana ia mewarnakan Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai identiti tersendiri. Hari ini, Malaysia dikenali sebagai negara yang berdaulat, mempunyai penduduk pelbagai kaum, agama Islam agama rasmi dan Bahasa Melayu sebagai Bahasa kebangsaan negara ini.
Meskipun negara ini telah mantap dari pelbagai aspek seperti ekonomi, politik dan juga sosial, masih ada individu atau kelompok tertentu yang cuba menyentuh tentang isu kedaulatan dan kemerdekaan negara ini walaupun telah mencapai kemerdekaan lebih 60 tahun yang lalu. Di sinilah pentingnya Malaysia menyimpan dan mendokumentasikan segala aspek berkaitan sejarah negara untuk rujukan pada masa depan.
Kegagalan Malaysia menampilkan dokumen asal sesuatu perjanjian atau peristiwa boleh membawa kesan yang tidak baik kepada kedaulatan negara ini. Dalam sejarah, Malaysia telah kehilangan kerajaan Johor-Riau dan Singapura. Kini, Sabah kembali menjadi rebutan apabila Kesultanan Sulu masih menuntut Sabah sebagai hak miliknya. Kita tidak mahu sejarah kehilangan wilayah berulang.
Memetik nasihat bekas Perdana Menteri Britain, Sir Winston Churchill, di House of Common, United Kingdom pada tahun 1948, 'Study History. In history lies all the secrets of statecraft'. 'Those who fail to learn from history are condemned to repeat it'."
Terdapat beberapa peristiwa yang telah berlaku sebelum ini yang memperlihatkan kepada kita betapa pentingnya kita menyimpan dokumen-dokumen berkaitan sejarah negara. Kegagalan kita menunjukkan bukti yang sahih atau fakta yang jelas menyebabkan kita terpaksa melepaskan hak kita kepada negara asing. Antara beberapa peristiwa yang membabitkan pentingnya kita menyimpan dokumen sahih tentang hak dan kedaulatan negara ini adalah tentang peristiwa perebutan Pulau Batu Putih (Pedra Branca) antara Malaysia dan Singapura pada suatu ketika dahulu. Anda masih ingat peristiwa tuntutan Singapura ke atas Pulau Batu Putih? Untuk pengetahuan semua, Malaysia dan Singapura telah terlibat dalam pertikaian berhubung kedaulatan Pulau Batu Puteh ini selama lebih 30 tahun. Pertikaian ini tamat apabila pada tahun 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan bahawa Pulau Batu Puteh milik Singapura.
Dalam hal ini, menurut ICJ, antara bukti penting yang boleh diguna pakai yang memihak kepada Singapura ialah sepucuk surat bertarikh 21 September 1953 oleh Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor. Surat tersebut menjawab surat dari Setiausaha Jajahan Singapura kepada Penasihat British buat Sultan Johor, bertarikh 12 Jun 1953, yang bertanyakan mengenai status Pulau Batu Puteh. Dokumen-dokumen tersebut diperoleh daripada Arkib Negara United Kingdom iaitu surat-surat dalaman pihak berkuasa kolonial Singapura pada 1958, laporan insiden yang difailkan pada 1958 oleh seorang pegawai tentera laut British, dan satu peta beranotasi tentang operasi tentera laut.
https://www.astroawani.com/berita-malaysia/batu-puteh-4-
Baru-baru ini rakyat Malaysia dikejutkan pula tentang isu dakwaan bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. Menurut beliau lagi, Pulau Pinang adalah milik negeri Kedah dan Kedah hanya mempunyai sempadan negeri dengan Perak dan Perlis sahaja. Walaupun kenyataan Menteri Besar tersebut dianggap sebagai satu kenyataan menghasut, namun sejarah pembentukan dan perjanjian-perjanjian yang dibuat antara pemerintah dan British ketika itu (zaman kolonialisme) perlu diperjelaskan kepada masyarakat.
Dari segi sejarah, pada tahun 1786, Sultan Abdullah Mukarram Shah, Sultan Kedah pada ketika itu telah menyerahkan Pulau Pinang kepada wakil dari Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI), iaitu Francis Light melalui satu perjanjian penyewaan. Sebagai timbal balik, Francis Light perlu memberikan perlindungan kepada Kedah tetapi perjanjian itu tidak dipatuhi oleh Francis Light.
Secara amnya, kedudukan negeri-negeri di Tanah Melayu sebelum merdeka telah dipecahkan kepada Negeri Melayu Bersekutu, Negeri Melayu Tidak Bersekutu dan Negeri Selat. Setelah itu, Malayan Union 1946 dibentuk tetapi ditentang oleh orang Melayu dan British memperkenalkan pula Persekutuan Tanah Melayu 1948 yang menyatukan seluruh negeri-negeri Melayu ke dalam satu Persekutuan yang lebih besar.
Pada tahun 1962, Suruhanjaya Cobbold dibentuk bersama kerajaan British dan Malaya untuk memungut dan menentukan pandangan rakyat Borneo Utara (sekarang Sabah dan Labuan) dan Sarawak sama ada menyokong cadangan untuk membentuk Persekutuan Malaysia yang terdiri daripada Malaya, Singapura, Borneo Utara, dan Sarawak.
Suruhanjaya yang diketuai bekas gabenor Bank England, Sir Florence itu juga bertanggungjawab atas penyusunan semula perlembagaan yang akhirnya membentuk Perlembagaan Malaysia pada 16 September 1963. Berdasarkan kepada peristiwa ini Pulau Pinang sudah tidak menjadi sebahagian daripada negeri Kedah. Dikhabarkan Penang Heritage Trust juga mendakwa bahawa Siam mempunyai pemilikan terhadap Pulau Pinang. Jadi, jelas sekali perlu ada dokumentasi yang lengkap mengenai kedudukan dan kedaulatan dua negeri tersebut agar tiada lagi pihak yang mempersoalkan kedudukan dan kedaulatan sesebuah negeri dalam Malaysia. Sebenarnya, isu ini seakan sama seperti mana tuntutan Sultan Sulu ke atas Sabah.
Filipina membuat tuntutan terhadap Sabah kerana Kesultanan Sulu yang berpusat di Filipina, mendakwa memiliki hak ke atas Sabah. Dalam hal ini, Kesultanan Sulu juga mendakwa selain Sabah, beberapa wilayah lain juga menjadi hak mereka seperti Tawi-tawi, Palawan, Basilan, Jolo, Semenanjung Zamboanga dan Basilan di Filipina serta Kepulauan Spratly juga didakwa sebagai hak Kesultanan Sulu.
Dari segi sejarah, asas kepada tuntutan Sulu ke atas Sabah adalah bersandarkan kepada perjanjian pajakan yang ditandatangani oleh Sultan Jamalul ‘Azam dengan Baron de Overbeck dan Alfred Dent daripada Syarikat British Borneo Utara (SBBU) pada 22 Januari 1878. Perjanjian ini termeterai bagi memastikan Kesultanan Sulu tidak melakukan kekacauan di Borneo Utara. Ia terpakai selagi pihak Overback atau wakilnya membayar wang serahan sebanyak $3000 setiap tahun dan hanya terbatal sekiranya pembayaran tidak dilakukan selama tiga tahun berturut-turut. Walau bagaimanapun, Kesultanan Sulu tetap menganggap Borneo Utara adalah hak miliknya.
Sultan Sulu dan keturunannya tetap menuntut Sabah adalah haknya dari Malaysia sejak tahun 1930 hinggalah 2023. Antara detik-detik yang mencemaskan negara adalah pada tahun 2019, kumpulan Sulu telah mengambil tindakan undang-undang di Mahkamah Sepanyol untuk mendapatkan pampasan bagi tanah di Sabah yang didakwa dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878. Manakala pada 25 Mei 2020, seorang penimbang tara Sepanyol yang dilantik secara tidak sah iaitu Dr. Gonzalo Stampa telah menganugerahkan award akhir US$14.9 bilion (RM62.59 bilion) kepada kumpulan Sulu tersebut.
Kumpulan Sulu juga dilapor cuba menyita aset syarikat minyak negara PETRONAS di Luxembourg dan Belanda, selain menyasarkan aset diplomatik Malaysia di Perancis. Rentetan itu, Malaysia telah berusaha sehabis upaya menggunakan semua remedi perundangan bagi membatalkan award yang diberikan oleh Stampa kepada kumpulan Sulu di mahkamah-mahkamah di Sepanyol, Perancis, Luxembourg dan Belanda.
Pada 24 Januari 2023, kerajaan Malaysia meraih kemenangan di Mahkamah Luxembourg yang mengetepikan perintah yang dimohon oleh kumpulan Sulu. Pada 2 Februari 2023, Mahkamah Perlembagaan Sepanyol mengekalkan pembatalan pelantikan Stampa sebagai penimbang tara dalam pertikaian itu selepas menolak rayuan yang difailkan oleh kumpulan Sulu. Malaysia sekali lagi berjaya melakar kemenangan apabila Mahkamah Rayuan Paris pada 6 Jun 2023 mengekalkan keputusan yang memihak kepada Malaysia berhubung award separa dan memperoleh satu lagi kejayaan apabila Mahkamah Rayuan the Hague pada 27 Jun 2023, menolak permohonan kumpulan Sulu untuk mengiktiraf serta menguatkuasakan award akhir di negara itu.
Selain itu, Mahkamah Perancis turut merekodkan tindakan menarik balik tuntutan untuk merampas aset itu (bangunan diplomatik Malaysia) oleh kumpulan Sulu dan keputusan mahkamah pada 6 serta 9 November 2023 menoktahkan usaha kumpulan Sulu untuk menyita aset yang dikaitkan dengan Malaysia di seluruh negara. Setelah melalui pelbagai liku dan cabaran, akhirnya Malaysia melakar kejayaan apabila berjaya menang di Mahkamah Perancis dalam kes tuntutan Kumpulan Sulu.
Dunia semakin berubah, teknologi semakin pintar, semua maklumat dihujung jari, segalanya berlegar di alam maya. Ini merupakan asas mengapa sejarah yang merupakan salah satu aset terpenting negara perlu didokumentasikan. Melihat kepada pentingnya untuk memulihara dokumentasi sejarah negara, beberapa orang pensyarah Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menyokong usaha ini dengan menjalankan kerja-kerja mendokumentasikan sejarah negara.
Buat masa ini, UMPSA sedang menjalankan kerja-kerja dokumentasi tentang sejarah Kesultanan Sulu dan hubungannya dengan Sabah serta kajian mengumpul bukti bagi mengabsahkan pendudukan British di negara ini berbentuk penaungan atau penjajahan. Mungkin jika diberi peluang, UMPSA boleh menubuhkan Pusat Dokumentasi Sejarah Negara dengan slogan ‘Sejarah untuk Masyarakat.
“SEJARAH TIDAK DAPAT DIPISAHKAN DARIPADA PERADABAN SESEBUAH BANGSA”
Penulis ialah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah(UMPSA).
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
e-mel: hasnah@umpsa.edu.my
- 399 views