Skip to main content

Jawi dan Transliterasi Bahasa Arab: Masih Relevankah dalam Era Digital?

Dalam era digital yang mendorong transformasi dalam setiap aspek kehidupan, persoalan sering timbul: masih relevankah warisan intelektual seperti tulisan Jawi dan kemahiran transliterasi bahasa Arab? Hakikatnya, ia bukan sekadar relik sejarah, tetapi aset strategik yang boleh menyumbang kepada pembangunan modal insan, pemerkasaan bahasa kebangsaan, dan pengukuhan identiti nasional; terutamanya dalam konteks Malaysia moden yang menyasarkan status negara maju. 

1.    Jawi sebagai Jambatan antara Tradisi dan Moden

Tulisan Jawi bukan sekadar sistem tulisan, tetapi simbol peradaban tinggi Melayu-Islam yang menghubungkan khazanah ilmu tradisional dengan keperluan kontemporari. Dalam konteks Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang mengamalkan slogan ‘Teknologi untuk Masyarakat’, tulisan Jawi boleh diintegrasikan dalam penyelidikan digital, arkib manuskrip, dan pendidikan cross-disciplinary sebagai contoh inovasi yang berpaksikan akar budaya.

2.    Transliterasi Bahasa Arab: Antara Pemeliharaan dan Aksesibiliti

Transliterasi teks Arab ke tulisan Jawi atau Rumi merupakan inisiatif strategik dalam membuka akses ilmu kepada semua, selaras dengan semangat ‘Teknologi untuk Masyarakat’ yang dipegang oleh UMPSA. Sebagai contoh, Projek Digitalisasi Manuskrip Jawi oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) bersama universiti tempatan telah berjaya membuka akses kepada lebih 5,000 naskhah digital untuk para penyelidik dan masyarakat umum. Inisiatif seumpama ini tidak hanya memelihara warisan intelektual, malah membolehkan generasi muda yang kurang mahir dengan huruf Arab atau Jawi untuk mengakses kitab turāth, sumber agama, dan teks sejarah dengan lebih mudah. Justeru, transliterasi bukan sekadar proses teknikal, tetapi juga penyumbang penting ke arah pembangunan modal insan yang lebih inklusif dan berteraskan ilmu.

3.    Peranan Universiti dalam Pemeliharaan Jawi

UMPSA dan institusi pengajian tinggi (IPT) lain mempunyai peranan penting dalam memastikan kelangsungan warisan Jawi. Ini boleh dilaksanakan melalui pengajaran kursus Jawi dan transliterasi dalam program Pengajian Islam, Bahasa, dan Sejarah; penyelidikan berfokuskan digital humanities untuk membangunkan pangkalan data Jawi digital; penerbitan artikel dan rencana untuk meningkatkan kesedaran awam; termasuk pembangunan produk berasaskan penyelidikan seperti AsarFonts dan JawiAT; serta kolaborasi aktif dengan komuniti bagi tujuan dokumentasi dan revitalisasi warisan tulisan ini.

4.    Kaitannya dengan SDG dan Hala Tuju Nasional

Pemeliharaan Jawi menyumbang secara langsung kepada pelbagai agenda pembangunan negara dan global. Dari sudut Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), ia menyokong SDG 4: Pendidikan Berkualiti melalui pengajaran bahasa warisan yang inklusif, dan SDG 11: Bandar dan Komuniti Mampan dengan memelihara identiti budaya sebagai teras komuniti yang berdaya tahan. Di peringkat nasional, usaha ini selari dengan Dasar Pembangunan Negara (14:14) terutamanya dalam aspek pemerkasaan budaya dan pendidikan holistik, sekaligus memperkukuh jati diri negara dalam arus globalisasi.

Tulisan Jawi dan kemahiran transliterasi bahasa Arab adalah warisan intelektual yang bernilai tinggi dan perlu dipelihara melalui pendekatan inovatif, kolaboratif, dan berteraskan pendidikan. Universiti sebagai peneraju ilmu perlu memainkan peranan aktif dalam menjadikan warisan ini relevan untuk generasi akan datang, sekali gus menyumbang kepada pembangunan negara yang seimbang antara kemajuan teknologi dan ketahanan budaya.

Penghargaan

Penulisan rencana ini disokong oleh pembiayaan berikut:

1.    Geran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) – CDU250213: Kajian Penerimaan dan Pelaksanaan Jawi dan Transliterasi Bahasa Arab Digital dalam Kalangan Masyarakat Malaysia.
2.    Geran Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) – CDU250125: Pemerkasaan Kompetensi Pendidik Melalui Penggunaan Teknologi Jawi Digital.

Dr. Asar Abdul Karim

Oleh: Dr. Asar Abdul Karim
E-mel: asar@umpsa.edu.my

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).  

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri