Kedudukan Hukuman Rotan dalam Pendidikan Kanak-kanak serta Remaja melalui Lensa Syarak
Isu hukuman rotan atau pukulan terhadap kanak-kanak serta golongan remaja merupakan satu perbincangan yang amat kompleks dalam dunia pendidikan kontemporari terutamanya apabila ia dianalisis melalui kerangka ajaran Islam yang murni. Masyarakat pada hari ini sering kali terkeliru dengan menyamakan hukuman fizikal sebagai alat untuk melampiaskan amarah atau menunjukkan dominasi kuasa sedangkan dalam acuan al-Quran serta as-Sunah ia diletakkan sebagai mekanisme pendidikan bersyarat yang sangat ketat. Prinsip asas yang menjadi tunjang utama dalam pendidikan Islam adalah kelembutan serta kasih sayang dan komunikasi yang berkesan selaras dengan sunnah Rasulullah SAW yang sentiasa mengutamakan kebaikan dalam setiap urusan kehidupan. Hukuman rotan sama sekali tidak boleh dijadikan pilihan utama melainkan ia berfungsi sebagai langkah terakhir yang perlu diambil setelah kaedah nasihat serta pujukan dan pengasingan telah digunakan secara konsisten tetapi tetap menemui kegagalan.
Kedudukan hukuman rotan yang dibenarkan ini paling jelas dapat dilihat melalui hadis yang berkaitan dengan kewajipan menunaikan solat. Rasulullah SAW bersabda supaya memerintahkan anak-anak mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka jika mereka masih tidak mahu melaksanakannya ketika berumur sepuluh tahun serta asingkanlah mereka daripada tempat tidur. Hadis sahih ini memberikan garis panduan yang bertingkat serta terikat dengan tempoh masa yang khusus. Ia menggariskan satu fasa pendidikan lisan secara intensif bermula dari usia tujuh hingga sepuluh tahun yang menuntut kesabaran tinggi daripada penjaga. Sepanjang tempoh tiga tahun tersebut ibu bapa diwajibkan mendidik serta membiasakan anak dengan ibadah solat melalui teladan dan nasihat yang berterusan tanpa jemu. Baharulah apabila anak mencapai usia sepuluh tahun dan masih bersikap degil untuk meninggalkan solat yang merupakan rukun Islam yang tidak boleh dikompromi maka hukuman fizikal boleh dipertimbangkan dengan penuh hati-hati. Keadaan ini menunjukkan bahawa hukuman rotan adalah spesifik kepada kesalahan yang amat besar dan hanya boleh dikenakan apabila segala usaha pendidikan awal telah gagal secara total.
Pelaksanaan hukuman ini pula terikat dengan kriteria atau batasan yang dikenali sebagai dhawabit yang amat tegas bagi mengelakkan ia tergelincir menjadi satu bentuk penderaan yang zalim. Perkara pertama yang perlu ditekankan adalah niat pelaksana yang wajib bersifat mendidik atau tadibi dan bukannya bertujuan menghukum atau melampiaskan amarah semata. Ibu bapa atau guru mestilah berada dalam keadaan emosi yang sangat stabil serta sedar bahawa perbuatan itu dilakukan semata-mata kerana menunaikan perintah agama demi kebaikan masa depan anak tersebut. Selain itu, Islam melarang keras perbuatan memukul atau merotan di bahagian badan yang sensitif serta mulia seperti muka atau kepala dan kawasan kemaluan serta mengelakkan mana-mana bahagian yang boleh menyebabkan kecederaan kekal. Kawasan yang dibenarkan hanyalah di bahagian yang dianggap tidak berbahaya seperti belakang badan atau tapak tangan serta kaki dengan tujuan murni untuk memberi keinsafan dan kesedaran jiwa bukannya bagi mencederakan fizikal. Kekuatan pukulan juga mesti bersifat sederhana serta tidak terlalu keras sehingga meninggalkan kesan lebam atau mematahkan anggota badan. Kebanyakan ulama menetapkan had maksima sebanyak sepuluh kali sebatan sahaja dalam konteks disiplin bagi mengelakkan ia daripada menyamai kadar hukuman hudud yang telah ditetapkan untuk kesalahan jenayah berat.
Apabila hukuman rotan dilaksanakan tanpa memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan seperti dilakukan secara spontan mengikut nafsu marah atau di bahagian anggota yang berbahaya maka ia secara automatik dianggap sebagai satu bentuk kezaliman. Syarak tidak pernah mengizinkan sebarang bentuk kezaliman terhadap sesiapa pun lebih-lebih lagi terhadap kanak-kanak yang berada di bawah jagaan dan perlindungan orang dewasa. Hukuman rotan yang sah dalam Islam sebenarnya berfungsi sebagai isyarat terakhir untuk menyentuh kesedaran jiwa anak bagi memberitahu mereka bahawa meninggalkan kewajipan agama adalah suatu perkara yang sangat serius dalam kehidupan. Ia merupakan satu alat pendidikan yang perlu diiringi dengan doa serta kasih sayang yang tulus dan bukannya melalui kekejaman yang melampau. Melalui kefahaman ini jelaslah bahawa tindakan fizikal tersebut hanyalah sebahagian kecil daripada proses tarbiah yang lebih besar yang sentiasa berpaksikan hikmah.
Kesimpulannya hukuman rotan dalam pendidikan Islam adalah satu mekanisme disiplin yang dikawal rapi dan berfungsi sebagai benteng terakhir bagi menjamin akidah dan pelaksanaan kewajipan agama anak-anak. Islam meletakkan kelembutan serta hikmah sebagai teras utama dalam seluruh proses pendidikan bagi melahirkan generasi yang bukan sahaja taat kepada perintah Tuhan tetapi juga memiliki jiwa yang murni. Para pendidik dan ibu bapa perlu sentiasa mendalami ilmu pengurusan emosi agar setiap tindakan yang diambil selari dengan roh syariat yang mengutamakan rahmah. Usaha membina insan yang sempurna memerlukan kesabaran yang tinggi serta strategi yang pelbagai agar anak-anak membesar dalam persekitaran yang selamat dan penuh kasih sayang. Matlamat utama pendidikan bukan untuk mematahkan semangat mereka tetapi untuk membimbing setiap langkah mereka ke arah jalan yang benar dan diredai oleh Yang Maha Esa. Dengan mengekalkan batasan syarak yang ketat ini maruah serta hak kanak-kanak akan terus terpelihara sekali gus menjamin keharmonian dalam institusi kekeluargaan dan masyarakat sejagat.

Oleh: Mohammad Baihaqi Hasni
E-mel: baihaqi@umpsa.edu.my
Penulis adalah Guru Bahasa Kanan, Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
- 12 views
Reports by: