Kesan gelombang haba terhadap kualiti udara
Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh dunia termasuk Malaysia disebabkan oleh virus Covid-19 secara tidak langsung memberi kesan yang baik kepada iklim global. Kadar pencemaran udara dan pembebasan gas rumah hijau dapat dikurangkan kerana aktiviti-aktiviti manusia seperti pergerakan kenderaan, aktiviti pembinaan dan perindustrian yang merupakan penyumbang karbon dioksida kedua tertinggi di Malaysia, iaitu pada tahap 23 peratus adalah pada tahap minima.
Merujuk kepada laporan Indeks Pencemaran Udara (IPU), kualiti udara di seluruh Malaysia adalah di bawah tahap sederhana (bacaan bawah 60) manakala beberapa tempat adalah di tahap yang baik (bacaan bawah 50) seperti Paka (Terengganu), Kuantan (Pahang), Tanjung Malim (Perak), Kangar (Perlis), Alor Setar (Kedah) dan beberapa kawasan di Johor, Sabah dan Sarawak. Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga melaporkan secara purata 2 peratus kadar penurunan bacaan IPU di seluruh Malaysia merupakan suatu petanda yang sangat baik kepada perkembangan tahap pencemaran. Penurunan kadar pembebasan gas rumah hijau dalam tempoh PKP ini memberi ruang kepada sistem iklim untuk bersikulasi dengan lebih baik dan membaikpulih tahap pencemaran sedia ada.
Walau bagaimanapun, kualiti udara masih memerlukan pemantauan dan pengawasan yang lebih kerana Malaysia akan memasuki fasa Monsun Barat Daya atau musim kering (Mei hingga Sept). Ketika monsun barat daya, pergerakan angin lebih perlahan (15 knot) dan kebiasaannya menerima kuantiti hujan di bawah 150mm/bulan. Ini terbukti apabila beberapa titik panas (gelombang haba tahap 1) telah dikenalpasti di beberapa buah negeri di Malaysia seperti di Kelantan (Pasir Mas, Machang, Kuala Krai), Terengganu (Kuala Terengganu) dan Negeri Sembilan (Jempol) yang memerlukan pemantauan dan pengawasan yang lebih serius.
Suhu panas, kering dan tidak berangin memudahkan penumpuan partikel bersaiz 2.5 (PM2.5) akibat dari pembakaran terbuka yang membawa kepada masalah jerebu. Walaupun kehadiran gas rumah hijau dapat dikawal, namun kehadiran partikel halus ini diruang udara memberikan impak yang sama dengan impak akibat dari perubahan iklim. kerjasama daripada orang awam adalah sangat diperlukan untuk memastikan kualiti udara sentiasa dalam keadaan yang baik untuk manfaat bersama. Kita jaga persekitaran untuk kita.
Disediakan oleh Nurul Nadrah Nadrah Aqilah Tukimat yang merupakan pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam UMP. E-mel: nadrah@ump.edu.my
- 837 views