Kolej Kediaman Wadah Pembangunan Holistik Dan Pencetus Didikan Konsep Kendiri Mahasiswa
Keterangkuman dan pengupayaan mahasiswa merupakan komponen penting dalam proses pendidikan universiti bagi menghasilkan modal insan berkualiti untuk kepentingan negara. Ianya merangkumi pelbagai sifat dan ciri penganjuran program seperti menyediakan kefahaman kepada mahasiswa,mengantarabangsakan aktiviti pelajar dan melibatkan pelajar dalam program bersifat patriotik dan juga keterlibatan mahasiswa didalam program kemanusiaan dan ini selari dengan misi universiti.
Membentuk modal insan bukanlah usaha yang mudah dan boleh dilakukan dalam masa yang singkat. Ianya merupakan satu proses panjang dan berterusan.Dan didalam pembentukan mahasiswa ini bukan hanya tertumpu kepada satu pihak sahaja, malah ianya melibatkan semua pihak iaitu universiti, pensyarah,pengetua kolej kediaman, felo kolej kediaman, penasihat akademik mahasiswa malah warga universiti secara amnya. Universiti memikul amanah dan tanggungjawab tersendiri untuk memastikan graduan yang dilahirkan adalah graduan yang mempunyai ciri keinsanan yang luhur,pencapaian akademik yang cemerlang dan mempunyai nilai kemahiran insaniah yang tinggi.
Selain fakulti yang lazimnya berperanan secara langsung dalam menyedia dan melaksanakan program akademik yang bermutu tinggi sepanjang pengajian mahasiswa di universiti, kolej kediaman juga merupakan tempat pembelajaran kedua bagi mahasiswa. Kolej kediaman adalah dataran ilmu kedua untuk mengembangkan potensi dalam diri mahasiswa dan merupakan pelengkap kepada fakulti. Seawal mula menjejaki tangga ke universiti, mahasiswa menjadi warga kolej kediaman pada dua semester pertama iaitu satu tahun dan ada juga universiti yang menetapkan sepanjang sesi pengajian. Ini menjadikannya umpama rumah kedua mahasiswa.
Salah satu individu penting didalam memastikan kejayaan agenda pembangunan pelajar di kolej kediaman ialah pengetua. Pengetua kolej dilantik oleh pihak pengurusan tertinggi universiti bagi mentadbir urus sesebuah kolej kediaman mahasiswa dan mengetuai agenda pembangunan sahsiah mereka.Nilai kepimpinan,integriti dan akauntabiliti perlu dilihat kepada seorang pengetua.Selain dari itu kecintaan dan kesungguhan didalam berbakti seolah ibu atau ayah kepada mahasiswa merupakan elemen atau nilai karakter yang paling penting. Keberadaan pengetua di dalam kolej kediaman dan keterlibatan pengetua dalam program yang dianjurkan oleh mahasiswa sesungguhnya memberi contoh persona positif mahasiswa terhadap pengetua yang bertanggungjawab.
Selain itu felo kolej kediaman juga merupakan insan-insan yang terlibat sama didalam pembentukan modal insan di kalangan mahasiswa yang tinggal di dalam kolej kediaman. Felo inilah yang menjadi penasihat pelajar ketika mereka di kolej kediaman dan mencerminkan sosok positif kepada mahasiswa. Mereka juga terlibat di dalam menasihati aktiviti-aktiviti kolej yang telah dirancang sepanjang sesi pengajian. Aktiviti yang dirancang dan dilaksanakan di kolej kediaman sepanjang sesi pengajian adalah melalui perencanaan oleh jawatankuasa yang telah dilantik oleh pengetua seperti perwakilan mahasiswa kolej kediaman atau jawatankuasa kolej kediaman. Penglibatan mahasiswa dalam aktiviti ataupun program di kolej kediaman dapat menggubah gaya pemikiran,tahap kematangan,nilai konsep kendiri dan memperkasakan kemahiran insaniah mereka.
Kolej kediaman perlu merealisasikan visi, misi dan matlamat yang telah ditetapkan bagi mendepani cabaran dalam melahirkan graduan seimbang dari sudut akademik dan akhlak. Elemen kemahiran insaniah merangkumi etika dan kerohanian, kemahiran memimpin, kemahiran bahasa, kemahiran berfikir dan ilmu pengetahuan juga perlu diterapkan kerana ini akan menyumbang kepada keberhasilan dalam melonjakkan kemahiran psikomotor mahasiswa daripada aspek kepimpinan,kefasihan pelbagai bahasa ,keusahawanan dan kemahiran generik.
Sebagai sebuah Negara yang terdiri dari pelbagai bangsa dan agama, rakyat Malaysia perlu menerapkan konsep toleransi yang tinggi, kesefahaman dan juga kesepakatan antara satu sama lain. Biarpun jurang polarisasi kaum semakin mengurang, namun perkara ini perlu diperkukuhkan sebaiknya di peringkat Universiti. Kolej kediaman adalah tempat kediaman bagi mahasiswa dan pelaksanan aktiviti di kolej kediaman yang melibatkan mahasiswa berbilang kaum amatlah digalakkan.
Dalam mendepani keperluan pasaran kerja perlu difahami sebaiknya, sama ada bakal majikan dan juga graduan. Pengajian di universiti adalah satu proses di dalam membina kematangan, daya pemikiran yang tinggi dan pembinaan konsep kendiri. Bagi majikan yang mempunyai permintaan pengambilan pekerja yang bukan sahaja cemerlang dari sudut akademik tetapi mempunyai figura pemimpin yang baik, hebat berkomunikasi, berkeyakinan tinggi,punyai integriti dan boleh berperanan sebagai ahli pasukan atau kumpulan yang baik. Maka mahasiswa perlu bersedia dari pelbagai sudut, bagi mendepani permintaan ini.Persiapkan diri dengan kemahiran yang anda perolehi ketika menuntut di universiti.
Peranan kolej kediaman perlu dihargai dan diperkasakan agar ianya kekal relevan dan dihormati, seiring dengan keperluan semasa selain menjadi pemangkin kepada kecemerlangan mahasiswa. Pastinya, cetusan hasil tarbiah peribadi dan konsep kendiri mahasiswa bermula di kolej kediaman selain dari ibu bapa yang telah membesarkan mereka semenjak kecil. Tatkala kaki melangkah meninggalkan rumah, kolej kediaman memainkan peranan penting sebagai tempat pembelajaran kedua yang inklusif dalam membangunkan potensi individu bagi memenuhi aspirasi negara.
Disediakan oleh Rosjuliana Hidayu Binti Rosli daripada Pusat Baha Moden dan Sains Kemanusiaan UMP.
- 424 views