Skip to main content

Kukuhkan Kembali Nilai Ringgit bagi Menjaga Stabiliti Ekonomi Negara

Kukuhnya nilai mata wang adalah aspek penting dalam menentukan kestabilan ekonomi sesebuah negara. Kita sedia maklum terdapat kebaikan dan keburukan disebabkan oleh turun naik nilai mata wang ini. 

Namun demikian, Malaysia, sebagai sebuah negara yang terus membangun, perlu menjaga nilai mata wang negara agar dapat memberikan manfaat maksimum kepada rakyat dan pelabur. Oleh itu, penting bagi kerajaan dan masyarakat secara keseluruhannya berusaha untuk mengekalkan nilai ringgit agar tidak terus menjunam.
 
Secara umumnya, kemampuan sebuah kerajaan untuk mempengaruhi nilai mata wang negara melibatkan pelbagai faktor tempatan dan global. Keputusan dan dasar-dasar yang diambil oleh bank pusat, perancangan fiskal, kestabilan politik, dan keadaan ekonomi global dapat memberi kesan terhadap nilai mata wang negara. 

Di Malaysia, tiga faktor utama yang memberikan impak kepada ketidakstabilan nilai ringgit adalah kestabilan politik, harga minyak mentah global dan kadar faedah yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) serta kadar faedah AS yang tinggi memberikan implikasi secara langsung terhadap nilai mata wang ringgit dan dolar AS. Oleh yang demikian, kerajaan perlu menjalankan dasar-dasar ekonomi yang bijak, mengambil langkah-langkah untuk meningkatkan daya saing ekonomi, memastikan stabiliti dalam politik dan kewangan bagi mengukuhkan kedudukan nilai mata wang negara.
 
Adakah kejatuhan nilai ringgit membawa kebaikan?
 
Tidak dapat dinafikan nilai ringgit yang menjunam kini boleh membawa beberapa kebaikan kepada negara terutamanya dalam sektor ekonomi dan perdagangan. Dengan nilai ringgit yang rendah, produk dan perkhidmatan tempatan menjadi lebih murah apabila dieksport, secara tidak langsung memberikan kelebihan daya saing kepada eksport negara. Peningkatan eksport ini boleh meningkatkan pendapatan negara melalui cukai eksport dan hasil berkaitan. Selain itu, sektor pelancongan juga dapat mengalami pertumbuhan kerana nilai ringgit yang rendah menjadikan Malaysia destinasi pelancongan yang lebih berpatutan bagi pelancong asing.
 
Namun demikian, di sebalik kebaikan tersebut, penurunan nilai ringgit yang mana ringgit kini telah merosot pada paras terendah sejak 1998 sebenarnya telah membawa cabaran besar kepada ekonomi negara. Peningkatan inflasi adalah antara isu utama, dengan harga barang dan perkhidmatan tempatan dan import yang meningkat, ianya akan memberikan tekanan kepada kos hidup rakyat. Selain itu, kos import yang lebih tinggi boleh meningkatkan beban hutang negara, terutamanya hutang luar negara dalam mata wang dolar Amerika Syarikat (AS). Keadaan ini boleh mencetuskan ketidakpastian ekonomi dan menjejaskan keyakinan pelabur serta menghalang pertumbuhan ekonomi jangka panjang.
 
Dalam menghadapi nilai ringgit yang merosot, perlu adanya pendekatan yang seimbang untuk memastikan kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Langkah-langkah bijak dan berhati-hati perlu diambil oleh pihak berkuasa untuk mengelakkan risiko dan merancang strategi yang sesuai dalam menghadapi cabaran ekonomi yang mungkin timbul. 

Penurunan nilai ringgit ini juga dapat mencipta ketidakpastian dalam bekalan makanan negara. Ini boleh mengakibatkan turun naik (fluktuasi) dalam harga bahan makanan dan kebolehcapaian kepada pelbagai jenis makanan, yang boleh memberi kesan kepada rakyat. Ini kerana penurunan nilai ringgit yang berterusan ini akan memberikan impak langsung terhadap kos bahan makanan dan kestabilan bekalan makanan di pasaran. 

Kebanyakan bahan makanan yang diimport seperti jagung, soya, gandum, komoditi asas makanan ternakan, dan barang-barang kering lain mungkin mengalami kenaikan harga kerana penurunan nilai mata wang akan menyebabkan nilai tukaran yang lebih rendah. Kenaikan ini akan memberi tekanan terhadap belanjaan harian isi rumah. Ini akan memberi kesan kepada isi rumah terutamanya dalam kumpulan pendapatan rendah (B40) dan menengah (M40). 

Kenaikan kos import ini juga boleh memberi kesan kepada industri pertanian tempatan. Sementara beberapa produk tempatan mungkin menjadi lebih kompetitif, peningkatan harga input seperti baja dan racun perosak yang diimport boleh meningkatkan kos pengeluaran petani, dan ini mungkin memberi kesan kepada harga produk makanan tempatan. Ia boleh memberi kesan kepada kos pengeluaran dan akhirnya, kepada harga jualan produk makanan.
 
Tingkat pengeluaran makanan tempatan

 
Malaysia sebuah negara yang kaya dengan sumber asli termasuk tanah yang subur untuk pertanian seharusnya memberikan fokus terhadap sumber dalaman dan pengurangan kebergantungan terhadap import luar negara adalah pendekatan strategik yang dapat memperkukuhkan ekonomi negara. Penting bagi kerajaan untuk memacu pembangunan industri tempatan dengan menyediakan sokongan dan insentif kepada perusahaan dalam meningkatkan daya saing serta menghasilkan produk yang sebelumnya perlu diimport. Selain itu, pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan dapat memacu inovasi, mencipta produk dan perkhidmatan baharu yang mampu memenuhi keperluan dalaman dan berpotensi untuk dieksport.
 
Langkah lain termasuk penekanan pada pengembangan sumber manusia melalui peningkatan pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET), menjadikan tenaga kerja lebih berkemahiran. Peningkatan pengeluaran makanan tempatan dengan menyokong industri pertanian dan perikanan juga merupakan pendekatan yang berkesan dalam mengurangkan kebergantungan kepada import makanan. Dengan meningkatkan pengeluaran makanan tempatan, negara dapat meningkatkan bekalan makanan tempatan. Ini membantu mengurangkan risiko ketidakstabilan bekalan makanan dan ketergantungan terhadap pasaran global yang mungkin terjejas oleh faktor-faktor seperti perubahan iklim, ketidakstabilan ekonomi global atau krisis kesihatan.
 
Peningkatan kesedaran pengguna terhadap produk tempatan, pelaburan dalam infrastruktur tempatan, dan pembangunan sektor ekonomi digital juga turut membantu mencapai matlamat pengurangan kebergantungan kepada import. Sokongan kepada industri pertanian dan perikanan memungkinkan negara untuk lebih banyak diversifikasi jenis-jenis produk makanan yang dihasilkan secara tempatan. 

Ini bukan sahaja memberi pelbagai pilihan kepada pengguna tetapi juga mencipta peluang ekonomi yang lebih luas dan meningkatkan daya saing industri makanan tempatan di pasaran antarabangsa. Dengan meningkatkan pengeluaran makanan tempatan, kebergantungan kepada importasi makanan boleh dikurangkan. Ini membantu negara mengurangkan tekanan terhadap mata wang untuk membayar import makanan.
 
Sokongan kepada industri pertanian dan perikanan tidak hanya memberi kesan positif kepada kestabilan bekalan makanan tetapi juga meningkatkan pendapatan petani dan nelayan tempatan. Ini membantu meningkatkan taraf hidup komuniti pertanian dan nelayan serta merangsang pertumbuhan ekonomi di kawasan tersebut. Industri pertanian memerlukan baja sebagai input penting dalam proses pengeluaran. Dengan meningkatkan industri pertanian dan perikanan, permintaan terhadap baja juga dapat meningkat. Ini memberi peluang untuk mengembangkan dan meningkatkan keupayaan industri baja tempatan, yang pada gilirannya dapat menyokong pertumbuhan ekonomi secara menyeluruh.
 
Peningkatan pengeluaran makanan tempatan juga boleh meningkatkan tahap keselamatan makanan dan kualiti produk. Kawalan lebih baik ke atas proses pengeluaran dan pemantauan kualiti dapat diterapkan, memberikan keyakinan kepada pengguna mengenai sumber makanan tempatan. Peningkatan pengeluaran makanan tempatan dengan menyokong industri pertanian dan perikanan tidak hanya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi pada masa kini tetapi juga membina dasar untuk pembangunan mampan. Ini merangkumi pemeliharaan sumber daya alam, pengurangan impak alam sekitar, dan pemeliharaan kepelbagaian biologi. Strategi ini penting bagi menggerakkan inisiatif kerajaan ke arah mencapai ekonomi Madani. 

Dr Mohamad Reeduan Mustaph
Dr Mohamad Reeduan Mustaph

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan Industri, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). 
E-Mel: reeduan@umpsa.edu.my 

Reports by:
Admin UMP News