Maqasid syariah panduan dalam pengurusan OKU
Salah satu kategori ahli masyarakat yang perlu diberi perhatian dan diurus dengan kaedah yang sedikit berbeza dengan insan biasa ialah Orang Kurang Upaya (OKU). Hal ini bertujuan agar kemaslahatan golongan ini sentiasa terpelihara. Mengikut Akta Orang Kurang Upaya 2008, OKU termasuklah mereka yang mempunyai kekurangan jangka panjang fizikal, mental, intelektual atau deria yang apabila berinteraksi dengan pelbagai halangan, boleh menyekat penyertaan penuh dan berkesan mereka dalam masyarakat.
OKU mempunyai hak untuk hidup seperti insan-insan yang lain. Kewujudan mereka merupakan salah satu bentuk ujian kepada diri dan keluarga mereka agar sabar, syukur dan reda. Ujian bagi ahli masyarakat pula ialah sejauh mana keprihatinan mereka terhadap kesejahteraan kehidupan golongan ini dengan berbuat pelbagai usaha bagi menyumbang kepada kebaikan dan kesejahteraan golongan OKU ini.
Islam merupakan agama yang syumul. Ajarannya menyeluruh merangkumi pelbagai aspek kehidupan manusia. Menurut al-Shatibi, syariat Islam ialah satu rahmat dan tujuan utamanya (maqasid syariah) adalah untuk mendatangkan kebaikan dan menolak kemudaratan dunia dan akhirat. Berdasarkan keluasan ajaran Islam, peranan prinsip-prinsip maqasid syariah turut mencakupi pelbagai aktiviti pengurusan termasuklah pengurusan OKU.
Maqasid syariah memberi penekanan kepada natijah akhir atau matlamat sesuatu tindakan tanpa mengabaikan kaedah atau cara yang diambil dalam usaha untuk memperoleh matlamat. Dengan kata lain, penekanan dalam pengurusan berasaskan maqasid syariah ialah pencapaian kebaikan dan penolakan kemudaratan melalui kaedah yang betul berpandukan panduan wahyu sebagai teras, akal dan juga kajian empirikal. Kebaikan yang ingin diperoleh dan dijaga hendaklah bersifat inklusif, holistik dan hakiki. Begitu juga keburukan yang hendak jauhi.
Antara panduan dalam pengurusan OKU berpandukan maqasid syariah ialah meletakkan takwa sebagai asas pengukuran kemuliaan seseorang, bukannya perbezaan warna kulit, kesempurnaan fizikal atau lain-lain yang bersifat duniawi. Firman Allah SWT yang bermaksud “Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah SWT ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya)” (al-Hujurat: ayat 13).
Islam juga menegah manusia menghina antara satu sama dengan sebab kekurangan atau kelebihan yang ada. Allah SWT mengingatkan dalam firman-Nya yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk” (al-Hujurat: ayat 11).
Antara panduan lain ialah perintah Allah SWT agar manusia agar sentiasa bertolongan dalam perkara yang mendatangkan kebaikan sebagai mana firman Allah SWT yang bermaksud “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan” (al-Maidah: ayat 2). Membantu golongan OKU merupakan salah satu bentuk kebaikan bukan sahaja kepada OKU, malahan kepada pihak yang menolong. Bagi OKU, pertolongan yang diberi dapat membantu mereka hidup lebih baik walaupun dengan kekurangan yang dimiliki. Bagi pihak yang menolong, mereka dijanjikan dengan kebaikan dunia dan akhirat sebagai mana firman Allah yang bermaksud “Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga (al-Isra’: ayat 7).
Di samping matlamat umum maqasid syariah mendatangkan kebaikan dan menolak kemudaratan, syarak juga menetapkan lima keperluan asasi yang perlu dijaga iaitu penjagaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta yang disebut sebagai daruriyyat al-khams. Keutamaan dalam memenuhi kebaikan dan menolak kemudaratan pada kelima-lima penjagaan tersebut terbahagi kepada tiga peringkat iaitu kebaikan yang berbentuk keperluan asasi (daruriyyat), yang berbentuk keperluan (hajiyyat) dan yang berbentuk penyempurnaan (tahsiniyyat).
Sebaiknya, pelbagai keperluan OKU pada ketiga-tiga peringkat daruriyyat, hajiyyat dan tahsiniyyat dapat dipenuhi. Walau bagaimanapun, sekiranya berlaku keadaan yang menuntut agar dipilih mana yang lebih utama, hendaklah didahulukan keperluan asasi (daruriyyat), diikuti keperluan (hajiyyat) dan seterusnya penyempurnaan (tahsiniyyat). Dalam memenuhi keperluan asasi OKU, penekanan bukan sahaja pada kemudahan inftrastruktur yang bersesuaian bagi memenuhi keperluan fizikal, malah perlu juga diambil berat tentang penambahan ilmu pengetahuan, kefahaman agama dan amalan keagaamaan agar dapat memenuhi keperluan penjagaan agama yang kesannya ialah kebaikan kepada jiwa serta roh.
Dalam hukum fikah Islam, tindakan dan aktiviti manusia tidak terkeluar daripada lima kategori iaitu wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Dari perspektif maqasid syariah, kelima-lima hukum tersebut mewakili pelbagai kebaikan yang hendak dicapai dan kemudaratan yang hendak ditolak. Wajib, sunat harus mengandungi makna kebaikan (maslahah). Makruh dan haram pula mengandungi makna kemudaratan (mafsadah). Semakin besar kebaikan yang hendak dicapai, semakin besar tuntutan melakukannya dan sebaliknya semakin besar kemudaratan, semakin besar pula tegahannya.
Pelbagai aktiviti pengurusan OKU termasuk dalam aktiviti manusia yang tertakluk pada salah satu daripada lima hukum tersebut. Aktiviti pengurusan yang mendatangkan kebaikan kepada OKU berada pada kategori maslahah dan begitulah sebaliknya pengurusan yang boleh mendatangkan kemudaratan berada pada ketegori mafsadah.
Kesimpulannya, pembuat dasar, pengurus dan pelbagai pihak yang terlibat dalam pengurusan OKU memainkan peranan penting dalam meletakkan matlamat, prinsip dan peraturan pengurusan OKU dan pelaksanaannya demi kemaslahatan golongan tersebut. Dalam usaha ini, prinsip-prinsip maqasid syariah boleh dijadikan sebagai panduan agar kemaslahatan OKU dapat dijaga sebaik mungkin di bawah petunjuk ilahi.
Penulis adalah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang (UMP).
e-mel: sidek@ump.edu.my dan munira@ump.edu.my
- 424 views