Melangkah ke Tahun 2026: Tulis Cerita Baharu, Jadi Versi Terbaik Diri
Setiap tahun baharu hadir bukan sekadar dengan angka yang bertukar, tetapi dengan satu peluang besar peluang untuk menilai semula perjalanan hidup dan menulis cerita yang lebih baik daripada sebelumnya. Peluang yang memberi kita pilihan dalam melangkah ke tahun baharu bukan tentang memadam masa lalu, tetapi tentang menutup buku lama dengan baik, mengambil hikmah daripadanya, dan mengangkat pena baharu untuk menulis kisah yang lebih bermakna.
Apa yang telah berlaku tidak akan kembali lagi. Kesilapan, kegagalan, kekecewaan dan luka lama adalah halaman yang telah tertulis. Namun, Islam tidak pernah mengajar kita untuk terperangkap pada masa silam. Sebaliknya, kita diajar untuk belajar, bangkit dan bergerak ke hadapan dengan asas kesedaran diri ataupun self-awareness yang lebih matang.
Kita adalah pengarah dan penulis kehidupan sendiri. Dalam kehidupan seharian, setiap daripada kita sedang memainkan dua peranan besar iaitu pengarah dan juga penulis cerita hidup sendiri. Setiap keputusan, sikap dan tindakan kita adalah babak yang sedang kita susun, sama ada kita sedar ataupun tidak. Persoalannya, apakah nilai yang kita tinggalkan dalam setiap hari yang kita lalui?
Allah SWT mengingatkan kita bahawa manusia tidak akan memperoleh selain daripada apa yang diusahakannya.
Allah SWT berfirman:
وَأَنْ لَيْسَ لِلْإِنْسَانِ إِلَّا مَا سَعَىٰ
Maksudnya: Dan bahawa sesungguhnya manusia tidak memperoleh selain apa yang diusahakannya
(Surah an-Najm: 39)
Ayat ini menegaskan satu hakikat penting berkaitan masa depan bukan ditentukan oleh impian atau kata kosong, tetapi oleh usaha yang berterusan. Dalam menjadi versi terbaik diri proses ini tidak lahir secara kebetulan, tetapi dibina dengan niat yang betul dan tindakan yang konsisten.
Mulakan Perubahan Diri dengan Hikmah dan Kesedaran
Untuk melakukan perubahan mulakanlah dengan hikmah. Rasulullah SAW mengingatkan umatnya agar memanfaatkan lima perkara sebelum datang lima yang lainmasa muda sebelum tua, sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, waktu lapang sebelum sibuk dan hidup sebelum mati. Pesanan ini bukan untuk menakutkan, tetapi untuk menyedarkan bahawa masa adalah amanah, dan setiap fasa dalam kehidupan mempunyai nilainya tersendiri.
Melangkah ke tahun 2026 dengan hikmah ini bermaksud kita tidak lagi hidup secara autopilot. Kita mula bertanya soalan yang lebih mendalam:
Apakah nilai paling penting dalam hidup saya?
Ketenangan? Kejujuran? Kesetiaan? Kebebasan?
Inilah yang digambarkan sebagai North Star kompas dalaman yang membimbing arah hidup. Tanpa nilai teras yang jelas, perubahan hanya akan menjadi kosmetik luaran, bukan transformasi dalaman.
Perubahan Yang Autentik Bermula Dari Diri
Islam menegaskan bahawa Allah SWT tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada dalam diri mereka sendiri (Surah ar-Ra‘d: 11). Perubahan yang sebenar tidak bermula dengan orang lain, tidak juga dengan keadaan, tetapi dengan kejujuran terhadap diri sendiri.
Antara perangkap besar dalam pembangunan diri ialah apabila seseorang berubah bukan kerana kehendak sendiri, tetapi kerana rasa terpaksa’ demi diterima oleh orang lain. Perubahan seperti ini rapuh dan tidak bertahan lama. Versi terbaik diri bukanlah versi yang paling dipuji manusia, tetapi versi yang paling jujur dengan nilai dan prinsip diri yang mengekalkan nilai-nilai yang baik.
Kesedaran diri yang matang pula bukan bersifat dramatik. Ia hadir dengan keberanian mengakui kesilapan, tidak bersikap defensif apabila ditegur, serta membuat keputusan berdasarkan nilai, bukan emosi semata-mata. Tanpa kesedaran ini, self-improvement atau proses untuk menjadi versi terbaik diri hanya akan menjadi slogan dan bukan amalan.
Memelihara 2 Hubungan Asas: Dengan Allah dan Manusia
Dalam Surah Ali ‘Imran ayat 112, Allah SWT menyebut tentang kehinaan yang menimpa manusia kecuali mereka yang berpegang kepada tali Allah (ḥabl min Allah) dan tali sesama manusia (ḥabl min an-nas). Ayat ini mengajar kita bahawa kehidupan yang bermaruah dibina atas dua hubungan asas yang seimbang.
“Jangan pernah memperlecehkan hubungan dengan Penciptamu. Manusia boleh mengecewakan, dunia boleh memungkiri janji, tetapi Allah SWT tidak pernah mengkhianati hamba-Nya”.
Pada masa yang sama juga, Islam juga menuntut kita menjaga hubungan sesama manusia, dengan mencintai mereka yang mencintai kita atas kebenaran, menghargai mereka yang benar-benar mengasihi kita, dan membina persekitaran yang menyokong pertumbuhan nilai diri yang baik.
Versi terbaik diri tidak akan lahir dalam persekitaran yang merosakkan. Kerana itu Rasulullah SAW mengingatkan bahawa seseorang itu berada di atas jalan agama (cara hidup) sahabat karibnya. Maka dengan itu, memilih squad 2026 yang tepat bukan soal populariti, tetapi soal hala tuju hidup.Apa yang dimaksudkan dengan squad 2026 ialah teman yang punyai nilai diri yang baik dan utuh.
Versi terbaik diri tidak lahir daripada kesempurnaan, tetapi daripada kesedaran untuk terus memperbaiki diri. Setiap langkah kecil yang jujur, setiap doa yang tulus, dan setiap usaha yang konsisten adalah ayat-ayat penting dalam cerita baharu kehidupan kita.
Melangkah dengan Iman dan Kesedaran
Melangkah ke 2026 bukan tentang menjadi orang lain, tetapi tentang menjadi diri sendiri yang lebih sedar, lebih matang dan lebih dekat dengan Pencipta.
Semoga tahun 2026 ini menjadi medan untuk kita menulis cerita baharu, bukan cerita yang sempurna, tetapi cerita yang jujur, bermakna dan diredai-Nya.

Oleh: ROSJULIANA HIDAYU BINTI ROSLI
E-mel: rosjuliana@umpsa.edu.my
Penulis adalah Guru Bahasa Kanan, Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
- 20 views