Skip to main content
Memuliakan Guru di Era Pendidikan Abad ke-21

Memuliakan Guru di Era Pendidikan Abad ke-21

Manusia adalah sebaik-baik ciptaan Allah SWT. Mulianya manusia, adalah kerana ilmu. Sejak awal penciptaan Nabi Adam AS di syurga, Allah SWT telah mengajar baginda ilmu pengetahuan secara langsung, hingga menyebabkan para Malaikat dan Jin terdiam, walaupun pada permulaannya mereka mempersoal penciptaan manusia sebagai khalifah di muka bumi.

Firman Allah SWT, “Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Ia berfirman: "Terangkanlah kepada-Ku nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar." (Al-Baqarah:31).

Atas sebab itu, Allah Subhanahu wa-Ta’ala sentiasa memuliakan orang yang berilmu, khasnya yang terlibat dalam menyebarkan ilmu, seperti guru. Dalam Islam, kedudukan guru adalah terlalu istimewa. Seorang penyair Arab Mesir, Ahmad Shauqi pernah menyatakan,

“Sambutlah guru, dan berikan penghormatan untuknya. Hampir-hampir seorang guru menyamai kedudukan seorang Rasul.”

“Tahukah siapa orang yang lebih mulia dan lebih agung berbanding insan yang membangun dan membina jiwa dan akal?”

Beberapa tahun lepas, dunia pendidikan moden mula mempromosi Pendidikan Abad ke-21. Proses pembelajaran yang berpusatkan kepada murid memberikan penerapan terhadap beberapa elemen penting seperti  komunikasi, kolaboratif, pemikiran kritis, kreativiti serta aplikasi nilai murni dan etika. Selain itu, proses pembelajaran dan pengajaran juga memberikan fokus kepada kaedah belajar dengan melakukan (learning by doing) selain kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT).

Antara impak gagasan ini ialah pemanfaatan teknologi maklumat dalam sistem pembelajaran. Ini membabitkan platform pembelajaran yang kompleks, sehinggalah aplikasi ringkas seperti grup sosial media Whatsapp, yang membolehkan ibu bapa dan guru berhubung mengenai pembelajaran anak di sekolah. Di peringkat pengajian tinggi pula, pembelajaran atas talian semakin mendapat tempat. Bahkan terdapat beberapa kursus yang menawarkan program atas talian sepenuhnya, tanpa keperluan untuk bertemu dengan guru.

Antara kesan daripada perkembangan ini ialah persoalan adab dengan guru. Isu perselisihan dalam grup Whatsapp sekolah memang kerap berlaku. Kadang-kadang membabitkan isu yang remeh-temeh, seperti kehilangan barangan anak, yang membawa kepada serangan melulu kepada guru. Mahasiswa di universiti pula semakin kurang mementingkan adab dalam berkomunikasi dengan guru. Kemuncaknya, menghantar email atau surat permohonan latihan industri atau permohonan kerja pun ditolak oleh majikan kerana kejanggalan dalam berkomunikasi kesan pengabaian adab.

Guru dan pensyarah di universiti juga dinilai atas talian oleh pelajar mereka. Sekiranya pensyarah seorang yang tegas dalam kelas, kebiasaannya pelajar akan memberikan penilaian yang rendah kepada pensyarah berkenaan. Ada juga kes pelajar yang tidak berpuas hati dengan pensyarah, mereka akan terus melaporkan ke pengurusan tertinggi, tanpa berbincang dahulu dengan pensyarah berkenaan. Walaupun diberikan ruang untuk pembelaan, tetapi malangnya imej sudah pun tercalar.

Guru hanyalah manusia biasa, mungkin melakukan kesilapan. Tetapi hilang adab dengan guru, baik daripada pelajar apatah lagi penjaga boleh menyebabkan terputusnya keberkatan ilmu yang akhirnya merugikan pelajar itu sendiri. Amat jauh sikap menghormati guru generasi terdahulu dengan sekarang.

Abdullah bin Abbas, sepupu nabi yang muda, dilaporkan sentiasa menghormati salah seorang gurunya, senior dalam kalangan sahabat iaitu Zaid bin Thabit. Diriwayatkan, beliau sentiasa menghulurkan tangga kecil apabila Zaid ingin menunggang kuda dalam permusafiran. Ini dilakukan oleh Ibn Abbas sebagai adab kepada guru, walaupun beliau sendiri adalah seorang yang faqih dalam agama.

Imam al-Shafi’i juga amat teliti dalam menghormati gurunya. Beliau amat berhati-hati apabila membelek kitab, supaya tidak mengeluarkan bunyi bising, semasa berada dalam majlis ilmu yang dikendalikan oleh Imam Malik.

Imam Abu Hanifah pula dilaporkan tidak pernah melunjurkan kakinya ke arah rumah gurunya Hammad sebagai penghormatan kepadanya, walaupun jarak antara kedua-dua rumah mereka agak jauh.

Hasil daripada sikap menghormati guru ini, maka mengalirlah keberkatan dalam diri pelajar. Anak murid yang hebat, yang belajar dari guru yang hebat, akhirnya menjadi seorang guru yang hebat. Untuk menghormati guru, tiada modal wang ringgit yang sepatutnya pelajar perlu keluarkan. Guru tidak pernah mengharapkan hadiah dan sanjungan, sebaliknya yang diperlukan ialah penghargaan serta sikap saling menghormati dalam persekitaran pembelajaran.

Buat para guru, terima kasih atas komitmen anda untuk mendidik anak bangsa menjadi orang yang berilmu. Jagalah keizzahan status seorang guru agar dihormati oleh anak murid. Sentiasalah berpenat dan berkorban dalam membentuk generasi akan datang. Maka amat tepat sekali pemilihan tema Hari Guru 2019 yang telah dilancarkan oleh Menteri Pendidikan YB Dr. Mazlee Malik, iaitu “Guru Obor Hemah Menyinari Pertiwi.”

Memuliakan Guru di Era Pendidikan Abad ke-21

Disediakan oleh Ahmad Irfan bin Ikmal Hisham, Pensyarah Pusat Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang. Emel: irfan@ump.edu.my

 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri