Skip to main content

Meneroka Minat, Mengasah Kemahiran, Membina Kompetensi: Teras Kerjaya Pelajar Masa Depan

Tidak dinafikan bahawa setiap pelajar mempunyai minat dan keunikan tersendiri. Mengenalinya pada peringkat awal bukan sahaja membantu membina kerjaya yang lebih stabil, tetapi juga kehidupan yang lebih bermakna. Dalam dunia kerjaya yang semakin mencabar, pelajar masa kini tidak boleh lagi bergantung kepada pencapaian akademik semata-mata. Mereka perlu mengenali minat, mengasah kemahiran, dan membina kekuatan diri sebagai asas penting dalam membentuk masa depan kerjaya yang kukuh dan bermakna. 

Hakikatnya, ramai pelajar masih keliru apabila ditanya tentang hala tuju selepas tamat pengajian. Tambahan pula, sebahagian pelajar memilih bidang pengajian kerana pengaruh rakan sebaya, keluarga atau trend semasa, bukan berdasarkan minat dan kebolehan sebenar. Teori Pembangunan Kerjaya Donald Super menjelaskan bahawa pemilihan kerjaya adalah sebahagian daripada proses pembangunan diri yang berterusan. Jika dilihat pada peringkat perkembangan pelajar universiti, individu berada dalam fasa penerokaan, iaitu satu tempoh penting untuk mengenal minat, nilai, dan keupayaan diri. Justeru, aktiviti seperti penilaian personaliti, kaunseling kerjaya, modul kerjaya khas di peringkat universiti, dan latihan kompetensi amat membantu pelajar membina konsep kendiri yang positif serta hala tuju kerjaya yang jelas.

Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik di bawah Geran Penyelidikan Sains Sosial Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mendapati bahawa usaha mengenal pasti profil personaliti dan minat kerjaya merupakan salah satu inisiatif yang penting bagi membantu proses pembangunan pelajar. Kajian empirikal ini melibatkan pelajar UMPSA meliputi pelajar bidang Teknikal, Sains, dan Sains Sosial. Instrumen yang digunakan berasaskan Teori Tipologi Kerjaya Holland (RIASEC) yang diperkenalkan oleh John Lewis Holland, merangkumi enam jenis personaliti kerjaya utama iaitu Realistik (R), Investigatif (I), Artistik (A), Sosial (S), Keusahawanan (E), dan Konvensional (C). Setiap dimensi personaliti mewakili kecenderungan tertentu dan teori ini menekankan kepentingan padanan antara persekitaran kerja dan minat individu bagi mencapai kepuasan dan prestasi optimum. Secara keseluruhan, dapatan kajian menunjukkan tiga jenis personaliti yang dominan bagi pelajar UMPSA iaitu Konvensional, Investigatif, dan Realistik. Corak ini dikenali sebagai profil Investigatif–Realistik–Konvensional (IRC) yang lazimnya dikaitkan dengan aliran bidang Teknikal dan Kejuruteraan. Sementara itu, dua dimensi personaliti dengan skor terendah ialah Sosial dan Artistik yang biasanya berkait dengan minat terhadap komunikasi, kreativiti, dan hubungan manusia.

Menariknya, walaupun UMPSA merupakan universiti teknikal, analisis kajian menunjukkan bahawa setiap bidang pengajian mempunyai kecenderungan personaliti yang tersendiri. Sebagai contoh, pelajar bidang Teknikal lebih menonjol dalam ciri-ciri personaliti Investigatif dan Realistik iaitu gemar menganalisis, menyiasat, meneroka konsep abstrak, minat bekerja dengan objek, alat atau mesin, teratur, dan sistematik. Pelajar bidang Sains pula menunjukkan gabungan Konvensional dan Investigatif, menandakan minat terhadap data, ketepatan, berstruktur, dan sistematik. Sementara itu, pelajar Sains Sosial walaupun tinggi gabungan Konvensional dan Realistik tetapi analisis data mendapati ciri personaliti Sosial lebih tinggi berbanding pelajar Teknikal dan Sains mencerminkan kecenderungan kepada organisasi dan hubungan manusia. Secara keseluruhannya, dapatan ini menggambarkan bahawa persekitaran universiti teknikal mempengaruhi pembentukan minat dan personaliti pelajar, namun perbezaan antara disiplin pengajian tetap wujud. Hal ini menunjukkan bahawa setiap pelajar perlu diberikan ruang untuk meneroka potensi dan minat mereka selari dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. 

Dalam usaha membangunkan pelbagai bakat pelajar dalam ekosistem universiti, kerjasama antara penyelidik sains sosial, pensyarah, penasihat akademik, kaunselor, dan pihak pengurusan universiti amat penting dalam memperkukuh pembangunan pelajar. Melalui kerjasama ini, kita dapat mengenal pasti dan mengembangkan bakat yang selama ini tersembunyi, di samping menjawab persoalan berkaitan potensi diri pelajar. Sebagai contoh, pelajar yang mempunyai ciri personaliti Keusahawanan boleh dicungkil minatnya walaupun sedang mengikuti pengajian dalam bidang Kejuruteraan, dan pada masa yang sama, bakat kepimpinan mereka dapat dipupuk secara berkesan kerana mempunyai ciri personaliti tersebut. Aktiviti seperti e-profiling minat kerjaya, bimbingan kumpulan, kaunseling individu, pembangunan modul dan kerangka pembangunan kerjaya pelajar yang komprehensif, serta latihan Kemahiran Insaniah perlu diperkasakan bagi membantu pelajar membina kompetensi selari dengan minat dan kebolehan mereka. Usaha pembangunan pelajar ini wajar dijalankan secara berterusan bermula dari tahun pertama hingga ke tahun akhir pengajian. Dalam masa yang sama, pelajar perlu berani mencuba dan terlibat secara aktif dalam aktiviti kokurikulum, kerja sukarelawan, aktiviti pengucapan awam, latihan industri, dan pelbagai lagi program yang ditawarkan di universiti. Akhirnya, pengalaman inilah yang membentuk kemahiran sebenar dan amat dihargai oleh majikan.

Kesimpulannya, membina masa depan bukan sekadar memperoleh pekerjaan, tetapi membina kehidupan yang bermakna dan memberi makna kepada orang lain. Apabila pelajar mengenali minat, berusaha membina kemahiran, dan mengukuhkan kompetensi diri, mereka bukan sahaja lebih bersedia menghadapi cabaran dunia kerjaya, tetapi juga mampu menyumbang secara bermakna kepada organisasi, masyarakat, dan negara. 

Dr. Noradilah Md Nordin

Oleh: Dr. Noradilah Md Nordin
E-mel: noradilah@umpsa.edu.my

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri