Modul Multilingual Adventures: Exploring Life, Hobbies, and Go, Green Transformasi Hubungan Global Malaysia-Indonesia
Dalam era globalisasi ini, kemahiran pelbagai bahasa bukan sahaja menjadi satu keperluan tetapi juga aset yang memperkukuh hubungan antarabangsa. Modul Multilingual Adventures: Exploring Life, Hobbies, and Go Green adalah satu inovasi pendidikan merentas negara yang bukan sahaja mendidik tetapi juga memberi impak yang mendalam terhadap pelbagai aspek kehidupan.
Sebuah modul yang mempunyai empat bahasa merangkumi bahasa Melayu, bahasa Indonesia, bahasa Arab, dan bahasa Inggeris. Modul pertama yang membawa kreativiti ilustrasi dari murid-murid dari Sekolah Kebangsaan Gambang. Murid-murid ini merupakan pemenang pingat emas dalam pertandingan inovasi di CITREX pada tahun 2023 dengan projek reka bentuk inovasi yang mengetengahkan menara hidroponik solar. Mereka juga turut menyertai pertandingan CITREX pada tahun 2024 dan membawa pulang pingat perak melalui projek Integrating Solar Tracking System with Tower Hydroponic yang mengetengahkan alat bantuan penyiraman dan penanaman menggunakan solar untuk mengekalkan kestabilan dan kesuburan tanaman.
Modul multilingual ini ditulis oleh mahasiswa UMPSA dari kluster pengucapan awam Kelab Bahasa Arab (KEBARA) dan juga kluster kepimpinan (PEKA 3). Gabungan sinergi kedua-dua kluster ini telah menghasilkan sebuah modul yang dapat menyuntik rasa seronok terutama dalam mempelajari bahasa asing seperti bahasa Arab dan juga bahasa Indonesia. Elemen Go Green juga diketengahkan dalam bentuk karikatur bersama sentuhan elemen psikologi hasil idea dari pegawai psikologi Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Kementerian Kesihatan Malaysia.
Penghasilan modul ini telah dirangka awal oleh Guru Bahasa Arab, Pusat Bahasa Moden, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Rosjuliana Hidayu Rosli dengan sokongan dan juga suntingan oleh Guru Bahasa Kanan, Bahasa Inggeris, Pusat Bahasa Moden UMPSA, Nur Syafawati Sabuan dan juga Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA) UMPSA, Profesor Madya Ts. Dr. Khairunnisa Mutuhusamy.
Perjalanan dalam menghasilkan sebuah modul yang akan digunakan oleh pelajar di sebuah Pesantren di Yogyakarta Indonesia ini sesungguhnya memberi seribu pengalaman dari permulaan proses rangkaian penulisan sehinggalah selesai. Ini merupakan satu proses pembelajaran dalam kalangan mahasiswa yang terlibat dan juga murid-murid yang terpilih dari Sekolah Kebangsaan Gambang.
Menurut Presiden KEBARA Sesi 2023/2024, Law Ann Gie, beliau berasa gembira kerana dapat terlibat dalam menghasilkan modul ini. Beliau yang berbangsa Cina berasa teruja dalam mencari kosa kata bahasa Arab dan proses ini agak mencabar kerana perlu menyelesaikan mengikut jangka masa dan waktu yang telah ditetapkan. Dalam masa itu juga banyak perkara yang beliau pelajari selain daripada mempelajari bahasa Arab dan juga bahasa Indonesia. Beliau belajar erti rasa bersyukur dan sentiasalah untuk memberi demi kebaikan sejagat bukan sahaja di dalam negara sendiri malah luar negara kerana buku modul ini akan diberi secara percuma kepada sebuah sekolah di Indonesia bagi fasa pertama ini.
Manakala menurut Presiden PEKA 3, Nurul Zaris Sofiya Mohd Rani, beliau dan pasukan PEKA 3 berasa sangat gembira di atas keberhasilan pelancaran modul ini. Mereka terlibat terus dalam membawa murid-murid Sekolah Kebangsaan Gambang untuk turut menyumbang idea sebagai penyumbang ilustrasi karikatur. Proses dalam menghasilkan modul ini dan melihat modul ini bakal digunakan di sebuah sekolah di Yogyakarta Indonesia, sangatlah memberi makna dan pengalaman manis buat mereka semua.
Antara kelebihan jangka panjang yang bakal diperoleh dengan pelancaran modul ini adalah:
1. Menghubungkan Budaya dan Meningkatkan Toleransi Malaysia-Indonesia
Salah satu kelebihan utama modul ini adalah keupayaannya untuk menyatukan budaya yang berbeza. Dengan kandungan dalam pelbagai bahasa seperti bahasa Arab, Inggeris, Melayu dan Indonesia, modul ini memupuk pemahaman di antara komuniti global. Pelajar didedahkan kepada cara hidup, nilai dan perspektif unik yang akhirnya menggalakkan toleransi dan empati.
2. Pendidikan Holistik untuk Pembangunan Diri
Modul ini dirangka untuk merangkumi pelbagai topik yang relevan dengan kehidupan seharian, seperti hobi, kemahiran hidup, dan penjagaan alam sekitar. Pendekatan ini memastikan pelajar tidak hanya belajar bahasa tetapi juga membina kemahiran insaniah yang penting untuk kehidupan.
Sebagai contoh, melalui topik Go Green, pelajar diperkenalkan kepada konsep pemuliharaan alam sekitar. Ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran mereka tentang isu-isu global tetapi juga menggalakkan mereka untuk mengambil tindakan kecil yang membawa perubahan besar.
3. Meningkatkan Kreativiti dan Inovasi
Visual yang dihasilkan oleh murid-murid dari Paya Besar Creative Illustrator (Sekolah Kebangsaan Gambang) menambah dimensi kreatif kepada modul ini. Gambar dan ilustrasi menarik membantu pelajar untuk memahami isi kandungan dengan lebih mudah sambil merangsang imaginasi mereka. Pendekatan ini membuktikan bahawa pembelajaran boleh menjadi seronok dan menarik.
4. Mempromosikan Gaya Hidup Lestari
Aspek unik modul ini ialah berfokus kepada kelestarian. Melalui inisiatif Go Green, pelajar diajar tentang pentingnya menjaga alam sekitar. Mereka belajar bagaimana tindakan seperti mengitar semula, menjimatkan tenaga dan menanam pokok dapat memberi kesan positif kepada bumi. Usaha ini mencerminkan misi pendidikan yang tidak hanya mendidik tetapi juga memupuk rasa tanggungjawab terhadap alam sekitar.
5. Menyediakan Platform untuk Kolaborasi Antarabangsa
Projek ini adalah hasil usaha sama pelajar dari UMPSA Malaysia dan Indonesia, serta kerjasama bersama institusi Pendidikan di Yogyakarta, Indonesia. Ia membuktikan bahawa pendidikan boleh menjadi jambatan yang menyatukan bangsa dan budaya. Melalui interaksi ini, pelajar belajar menghargai kepelbagaian sambil membina hubungan yang kukuh.
6. Mengaspirasikan Generasi Muda untuk Proaktif
Modul ini adalah bukti bahawa pendidikan boleh menjadi alat untuk mencetuskan perubahan. Ia memberi inspirasi kepada generasi muda untuk mencipta matlamat yang besar serta mengambil tindakan yang bermakna dalam mencapai matlamat yang diimpikan, serta memainkan peranan aktif dalam komuniti. Pendekatan interaktif modul ini juga turut memastikan pelajar tidak hanya menjadi pendengar pasif tetapi juga menjadikan mereka peserta aktif dalam pembelajaran.
Modul Multilingual Adventures adalah lebih daripada sekadar bahan pembelajaran. Ia adalah alat yang membentuk pemimpin masa depan dengan nilai-nilai seperti toleransi, tanggungjawab, dan kesedaran global. Dengan fokus pada pendidikan yang holistik dan relevan, modul ini membuktikan bahawa pembelajaran boleh melangkaui sempadan bahasa dan budaya untuk mencipta dunia yang lebih baik dan harmoni.
Modul interaktif ini bukan sahaja membantu pelajar menguasai pelbagai bahasa tetapi juga melengkapkan mereka dengan kemahiran asas dalam kehidupan, menjadikan mereka sosok individu yang lebih matang, bertanggungjawab dan menyuntik sikap positif dalam diri.
Rosjuliana Hidayu Rosli
Guru Bahasa, Pusat Bahasa Moden, UMPSA
E-mel: rosjuliana@umpsa.edu.my
Nur Syafawati Sabuan
Guru Bahasa, Pusat Bahasa Moden, UMPSA
E-mel: nursya@umpsa.edu.my
Profesor Madya Ts. Dr. Khairunisa Binti Muthusamy
Pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam, UMPSA
E-mel: khairunisa@umpsa.edu.my
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
- 24 views