Skip to main content

Pendayaan Komuniti Petani berteraskan Keusahawanan Sosial dan TVET Pertanian

Sektor pertanian terus menjadi tulang belakang ekonomi luar bandar dan sumber rezeki utama bagi ramai komuniti petani di negara ini, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman. Namun, realitinya sektor ini masih berdepan dengan pelbagai cabaran berpanjangan, termasuk tahap pendapatan yang rendah, hasil tanaman yang tidak menentu akibat perubahan dan ketidaktentuan faktor cuaca, serta tahap produktiviti yang tidak konsisten. Keadaan ini turut diburukkan oleh peningkatan kos input pertanian dan kebergantungan kepada kaedah pengeluaran tradisional yang kurang efektif. Selain itu, persepsi negatif dalam kalangan golongan muda yang menganggap pertanian sebagai bidang pekerjaan yang kurang menarik dan tidak menjamin kestabilan masa depan telah menyumbang kepada kekurangan minat penyertaan generasi baharu, seterusnya menjejaskan kesinambungan dan daya tahan sektor pertanian negara dalam jangka panjang.

Sebahagian besar petani kecil di negara ini masih tergolong dalam kumpulan berpendapatan rendah dan bergantung kepada kaedah pertanian tradisional yang kurang praktikal. Kekurangan pendedahan serta akses kepada teknologi pertanian moden menyebabkan kos operasi terus meningkat, tahap hasil pengeluaran kekal rendah dan daya saing sektor pertanian semakin merosot. Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan pendapatan dan kesejahteraan petani, malah turut membataskan keupayaan mereka untuk menyesuaikan diri dengan keperluan pasaran semasa. Sekiranya situasi ini berterusan tanpa intervensi yang bersasar dan berimpak tinggi, tekanan ekonomi dan sosial terhadap komuniti petani luar bandar dijangka akan menjadi semakin serius dalam jangka panjang.

Bagi menangani cabaran ini, pendekatan keusahawanan sosial dilihat sebagai antara penyelesaian yang berpotensi. Melalui keusahawanan sosial, aktiviti pertanian bukan sahaja tertumpu kepada pengeluaran hasil tani, malah diperluaskan kepada pemprosesan, pembungkusan dan pemasaran produk. Pendekatan ini mampu meningkatkan nilai tambah hasil pertanian, menjana pendapatan yang lebih baik kepada petani serta mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah.

Pelaksanaan keusahawanan sosial dalam sektor pertanian memerlukan sokongan latihan yang berkesan, khususnya melalui latihan teknikal dan vokasional (TVET). Latihan berasaskan TVET membolehkan petani menguasai kemahiran teknikal dan kaedah pertanian moden seperti penggunaan sistem pengairan automatik, penggunaan pengesan bagi memantau kelembapan serta nutrisi tanah secara masa nyata, serta pembangunan sistem pertanian automasi yang membolehkan petani membuat keputusan berasaskan data bagi meningkatkan kecekapan dan produktiviti pengeluaran hasil tani.

Pendayaan Komuniti Petani berteraskan Keusahawanan Sosial dan TVET Pertanian

Selain meningkatkan kecekapan pengeluaran, latihan TVET turut berperanan penting dalam membentuk minda keusahawanan dalam kalangan petani agar mereka menjadi lebih yakin, kreatif dan bersedia menghadapi perubahan serta cabaran pasaran yang semakin dinamik. Peralihan daripada amalan pertanian tradisional kepada pertanian berasaskan teknologi bukan sahaja meningkatkan produktiviti, malah membuka peluang kepada pembangunan model perniagaan baharu yang lebih inovatif, mampan dan berdaya saing, sekali gus memperkukuh kedudukan petani dalam rantaian nilai pertanian.

Institusi pengajian tinggi (IPT) turut memainkan peranan penting dalam menyokong transformasi sektor pertanian melalui pemindahan ilmu, teknologi dan kepakaran kepada komuniti setempat. Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), misalnya, aktif melaksanakan pelbagai program pemindahan teknologi dan ilmu selaras dengan slogannya, ‘Teknologi untuk Masyarakat’. Melalui kerjasama strategik dengan komuniti petani, agensi berkaitan dan pihak industri, pelbagai inovasi pertanian pintar telah dibangunkan dan diaplikasikan di peringkat akar umbi. Inisiatif ini bukan sahaja membantu meningkatkan kecekapan serta produktiviti pengeluaran, malah menyumbang kepada pemerkasaan komuniti petani melalui penggunaan teknologi yang lebih sistematik, berdaya laksana dan berimpak tinggi.

Usaha memperkasa komuniti petani melalui pendekatan keusahawanan sosial dan pelaksanaan latihan TVET yang berfokuskan kemahiran praktikal serta teknologi moden adalah selari dengan Dasar Agromakanan Negara 2.0 yang menekankan pemodenan sektor pertanian, peningkatan produktiviti serta pengukuhan keterjaminan makanan negara. Pendekatan bersepadu ini bukan sahaja menyokong transformasi sistem pengeluaran pertanian, malah turut memperkukuh daya tahan ekonomi komuniti petani luar bandar. Dalam konteks ini, kerjasama erat dan berterusan antara petani, institusi pendidikan dan pihak industri dilihat sebagai kunci kejayaan bagi memastikan sektor pertanian kekal relevan, berdaya tahan terhadap perubahan pasaran dan teknologi, serta berupaya menarik minat dan penglibatan generasi muda secara berterusan.

Dari sudut ekonomi, keusahawanan sosial dalam sektor pertanian memberikan impak yang signifikan terhadap peningkatan pendapatan petani dan pembangunan ekonomi setempat. Peningkatan hasil tanaman serta penghasilan produk hasil tani bernilai tambah membolehkan petani memperoleh pulangan yang lebih baik, seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah. Aktiviti perniagaan yang diwujudkan turut membuka peluang pekerjaan dalam bidang pemprosesan, logistik dan pemasaran, seterusnya merancakkan ekonomi luar bandar.

Selain impak ekonomi, pendekatan ini turut memberi kesan positif terhadap pembangunan sosial dan pembentukan modal insan dalam kalangan komuniti petani. Pendedahan kepada latihan TVET dan teknologi moden dapat meningkatkan tahap pengetahuan, kemahiran serta keyakinan petani dalam mengurus operasi pertanian dan perniagaan secara lebih sistematik. Transformasi daripada petani tradisional kepada usahawan pertanian menjadikan mereka lebih berdikari, terbuka terhadap perubahan dan berorientasikan masa hadapan, yang seterusnya menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup serta kesejahteraan komuniti petani luar bandar.

Secara keseluruhan, pendekatan keusahawanan sosial berasaskan latihan TVET bukan sahaja berpotensi meningkatkan pendapatan petani dan merancakkan ekonomi luar bandar, malah mampu melahirkan petani moden yang berilmu, berkemahiran dan bersedia menghadapi cabaran masa depan. Pendekatan ini wajar diperluaskan bagi memastikan kelestarian sektor pertanian dan kesejahteraan komuniti petani secara berterusan.

Dr. Nurul Ashykin Abd Aziz

Oleh: Dr. Nurul Ashykin Abd Aziz
E-mel: ashykin@umpsa.edu.my
Penulis adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan Industri (FPI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri