Peranan ‘open office’ sambutan Aidilfitri mampu kukuhkan ikatan komuniti kampus
Sambutan Hari Raya Aidilfitri menjadi tanda permulaan yang penuh dengan kegembiraan dan perpaduan. Di Malaysia, tradisi rumah terbuka atau 'open house' merupakan salah satu elemen khas yang menyerlahkan keramahan dan kebudayaan unik masyarakat tempatan semasa perayaan ini. Ramai mengadakan rumah terbuka bertujuan meraikan sanak saudara dan rakan taulan sama ada dari jauh atau dekat. Seiring dengan peredaran zaman, rumah terbuka diadakan bertujuan untuk menjemput mereka makan dan beramah mesra. Malahan, syarikat-syarikat swasta dan organisasi kerajaan dan bukan kerajaan juga turut mengadakan pejabat terbuka atau ‘open office’.
Tradisi mengadakan ‘open house’ yang dianjurkan oleh individu atau tuan rumah di peringkat mikro dapat ditingkatkan kepada satu tahap lagi untuk menjadikannya bersifat makro. Justeru, dewasa ini kebanyakan organisasi kerajaan dan swasta mengadakan ‘open office’. Secara dasarnya, ‘open office’ diadakan untuk memupuk semangat kekitaan dan kebersamaan sesama rakan pekerja.
Penganjuran Sambutan Aidilfitri perdana yang diadakan semalam oleh Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) merupakan ‘open office’ yang terbesar di peringkat universiti kerana ia melibatkan kesemua Pusat Tanggungjawab (PTJ). Suasana meriah penuh keceriaan dan kegembiraan yang dirasai semalam memberi kesan yang tersendiri kepada seluruh komuniti universiti. Ini kerana ia dapat menyatukan pelbagai lapisan staf yang terdiri dari staf pentadbiran dan staf akademik dalam sambutan yang meriah ini. Selain itu, sambutan ini juga mencerminkan komitmen universiti dalam memupuk keharmonian dan kepelbagaian budaya dalam kalangan warga kampus. Ternyata yang paling signifikan, ia dapat memberi pendedahan kepada pelajar antarabangsa untuk memahami budaya dan tradisi tempatan, membolehkan mereka merasai pengalaman yang sebenar serta mendalami nilai-nilai sosial yang penting dalam masyarakat di Malaysia.
‘Open office’ sepanjang bulan Syawal mempunyai beberapa kelebihan yang unik. Pertama, ia mewujudkan atmosfera kebersamaan di tempat kerja. Ini kerana staf yang terlibat terdiri dari staf sokongan dan akademik perlu memberi kerjasama dalam memikirkan konsep yang sesuai bagi hiasan dan persediaan gerai. ‘Props’ yang tertentu juga harus diambil kira bersesuaian dengan tema juadah yang dihidangkan oleh sesebuah jabatan. Pusat Bahasa Moden (PBM) misalnya ditugaskan untuk menyediakan pencuci mulut. Maka, ‘props’ yang sesuai termasuk dulang hiasan berwarna-warni, bekas-bekas kuih tradisional dan moden serta hiasan-hiasan pada gerai perlu diambil kira. Secara tidak langsung, ia meningkatkan semangat kerja dan motivasi antara mereka. Malahan gerai mereka turut dinilai oleh para juri yang dilantik khas bagi menilai persembahan gerai walaupun ia bukan matlamat mereka mendekorasi gerai tersebut.
Kedua, ‘open office’ dapat memupuk kepelbagaian budaya sesama warga kampus. Acara ini dapat mengalakkan rakan sekerja untuk berkongsi tradisi dalam cara masing-masing berpakaian, seumpamanya. Pemakaian pakaian seperti baju Melayu, baju kurung, kurta, jubah, cheongsam, samfoo dan dhoti dalam kalangan warga kampus dapat menggalakkan kepelbagaian budaya serta meningkatkan penghargaan terhadap perbezaan antara mereka. Selain itu, hidangan yang disajikan dapat memperkukuh kepelbagaian budaya. Melalui hidangan yang disajikan di setiap gerai, bermacam jenis makanan dari pelbagai budaya dapat diperkenalkan dan dinikmati oleh mahasiswa serta komuniti di universiti ini. Menariknya tentang makanan, ia secara tidak langsung memberikan warga kampus untuk bertukar cerita dan mencipta ikatan yang lebih rapat sambil menikmati pelbagai hidangan yang disediakan. Ini membantu dalam memperkukuhkan hubungan antara pelajar dan staf dari latar belakang budaya yang berbeza.
Akhirnya, sambutan ‘open office’ dapat meningkatkan sikap terbuka dan keharmonian kerana ia menggalakkan komunikasi yang terbuka, penerimaan terhadap perbezaan, serta menghormati dan memahami pandangan dan budaya sesama warga kampus yang mempunyai latar belakang yang berbeza. Peluang untuk bersua muka dengan rakan sekerja dari jabatan lain dapat memberi ruang untuk bertukar pendapat serta cerita antara mereka. Secara tidak langsung, aktiviti sosial ini dapat membangunkan hubungan yang akrab dengan rakan sekerja. Malahan, ia dapat memupuk suasana harmoni dalam kalangan warga kampus. Hasil dari aktiviti ini juga akan melahirkan warga kampus yang cakna dan prihatin terhadap keperluan dan pandangan orang lain. Mungkin mereka tiada peluang untuk bersua muka disebabkan kekangan kerja dan tugas masing-masing. Justeru, 'open office' ini dapat mencuri masa mereka untuk berhubung secara lebih dekat, berkongsi idea, dan mempererat hubungan profesional di antara satu sama lain.
Secara kesimpulan, ‘open office’ merupakan inisiatif yang penting dalam membina kebersamaan dan kesepaduan dalam kalangan warga kampus. Ini kerana ia memberi peluang untuk komunitinya berinteraksi dengan santai dan mempereratkan hubungan antara mereka. Selain itu, ‘open office’ mampu juga untuk memupuk kepelbagaian budaya dengan memberi peluang kepada warga kampus untuk memahami kemajmukan masyarakat Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum. Dengan adanya acara sebegini, suasana kerja akan menjadi lebih harmoni dan seterusnya dapat menyumbang kepada kepuasan dan produktiviti yang lebih tinggi di organisasi seperti UMPSA.
Penulis ialah Pensyarah Kanan di Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
E-mel: zuraina@umpsa.edu.my dan ezi@umpsa.edu.my
- 269 views