Skip to main content

Perkukuh Agenda Kelestarian: Dari Dasar Negara ke Inisiatif di UMPSA

Komitmen Malaysia terhadap pembangunan lestari bukanlah retorik semata-mata, sebaliknya dizahirkan melalui dasar-dasar konkrit dan pelan tindakan yang tersusun pada peringkat nasional. Usaha mencapai kelestarian alam sekitar di Malaysia merupakan satu aspirasi kolektif yang melibatkan pelbagai peringkat, bermula daripada perancangan dasar di peringkat nasional, pelaksanaan inisiatif institusi pendidikan tinggi seperti Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), sehingga pembudayaan amalan hijau di peringkat pusat tanggungjawab (PTJ) melalui Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA). Pendekatan bersepadu ini, yang didorong oleh prinsip Environmental, Social, and Governance (ESG), membuktikan kesungguhan negara dan UMPSA dalam memacu pembangunan lestari demi kesejahteraan generasi madani.

Visi Nasional, Misi Universiti

Komitmen terhadap kelestarian Malaysia termaktub jelas dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) yang mengintegrasikan agenda hijau ke dalam kerangka pembangunan ekonomi dan tadbir urus negara.  Kerangka ini diperkukuh oleh Dasar Alam Sekitar Negara serta pelbagai inisiatif pertumbuhan hijau yang memberi penekanan kepada daya tahan iklim dan pengurangan pelepasan karbon. Pihak UMPSA bukan sekadar membantu Malaysia mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, malah turut menetapkan standard baharu bagi institusi akademik lain, sekali gus menjadi petunjuk bahawa negara ini serius dalam menangani cabaran perubahan iklim secara menyeluruh.

Sebagai universiti teknikal utama negara, UMPSA menyambut aspirasi nasional ini dengan pendekatan yang strategik dan berfokus. Pada Disember 2023, universiti telah menubuhkan Pusat Pembangunan Kelestarian SDG/ESG atau Sustainability Development Centre (SDC), sebuah entiti khusus yang bertanggungjawab menyelaras dan memantau pelaksanaan agenda kelestarian di peringkat universiti.  Penubuhan SDC bukan sahaja memperkukuh struktur tadbir urus kelestarian, malah memastikan setiap inisiatif yang dirangka sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Kepimpinan UMPSA dalam Inisiatif Hijau

Dedikasi UMPSA terhadap amalan hijau turut mendapat pengiktirafan pada peringkat antarabangsa apabila universiti tersenarai dalam QS Sustainability Rankings dan UI GreenMetric World University Rankings. Pengiktirafan ini adalah hasil daripada pelbagai program kampus lestari termasuk pelaksanaan program penjimatan tenaga, sistem pengurusan sisa yang lebih cekap, dan serta inisiatif mobiliti hijau dalam kalangan warga kampus. Sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi, UMPSA memainkan peranan penting dalam menterjemahkan dasar negara ke dalam tindakan praktikal di kampus. Antara usaha utama yang telah dilaksanakan termasuk Pelan Tindakan Kampus Lestari bagi tempoh 2022-2025 yang bertujuan meningkatkan kesedaran dan komitmen komuniti universiti dalam meminimumkan sisa serta mengoptimumkan penggunaan sumber. 

UMPSA juga mencatat sejarah sebagai Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) pertama di Malaysia yang menerima pengiktirafan antarabangsa EcoCampus Green Flag, sekali gus meletakkan universiti sebagai penanda aras amalan hijau di peringkat nasional. Selain itu, pelbagai kempen kesedaran seperti program Sampah untuk Tunai dan penubuhan Rimba Lestari di kampus telah diperkenalkan bagi mendidik warga universiti tentang kepentingan pemeliharaan alam sekitar melalui tindakan yang praktikal.

Agen Perubahan: Pembudayaan EKSA pada peringkat PTJ

Walau bagaimanapun, sinergi kelestarian tidak terhenti pada peringkat pengurusan universiti sahaja. Ia mencapai kemuncaknya apabila setiap PTJ mengarusperdanakan amalan hijau melalui pelaksanaan EKSA. EKSA bukan sekadar menekankan aspek kebersihan dan kekemasan, tetapi turut menitikberatkan nilai tanggungjawab terhadap alam sekitar dalam persekitaran kerja. Pusat Bahasa Moden (PBM), UMPSA muncul sebagai salah satu PTJ yang menonjol dalam membudayakan kelestarian melalui EKSA. Dengan kerjasama pelbagai PTJ lain, PBM telah melaksanakan pelbagai program yang bukan sahaja mewujudkan persekitaran kerja yang lebih kondusif, malah menyemai kesedaran hijau secara berterusan dalam kalangan warga kerja.

Antara inisiatif utama yang dilaksanakan termasuk aktiviti penanaman pokok secara simbolik di Rimba Komuniti UMPSA Pekan. Aktiviti ini bukan sahaja meningkatkan kehijauan kampus, malah menyumbang kepada usaha pengurangan jejak karbon. PBM juga menerapkan amalan 5S Berhijau yang merangkumi Sisih, Susun, Sapu, Seragam dan Sentiasa Amal dengan penambahan elemen hijau bagi mengurangkan pembaziran tenaga dan sumber. 

Di samping itu, penganjuran pameran inovasi yang mengetengahkan penggunaan kreatif bahan kitar semula serta kempen kesedaran EKSA secara berkala telah melibatkan warga kerja dalam proses kreatif yang menyokong agenda SDG. Melalui inisiatif-inisiatif ini, pelaksanaan EKSA berjaya menyemai etika kerja cemerlang dan rasa tanggungjawab kolektif terhadap alam sekitar, menjadikan kelestarian sebahagian daripada DNA di setiap PTJ.

Kesimpulan: Sinergi untuk Masa Depan Mampan

Secara keseluruhannya, usaha memperkukuh agenda kelestarian di Malaysia merupakan satu gerakan holistik yang memerlukan sinergi semua pihak. Daripada perancangan strategik kerajaan pusat, pelaksanaan inisiatif di institusi akademik seperti UMPSA, sehingga pembudayaan amalan hijau melalui EKSA di peringkat setiap PTJ, setiap lapisan memainkan peranan penting. 

UMPSA, melalui kepimpinan SDC dan sokongan padu semua zon EKSA, membuktikan bahawa gabungan pendidikan, tadbir urus dan tindakan praktikal mampu membentuk masa depan Malaysia yang lebih hijau dan mampan. 

Rosnani Ismail

Oleh: Rosnani Ismail
E-mel: rosnani@umpsa.edu.my

Penulis adalah Guru Bahasa Kanan Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri