Pernyataan Awam dan Kesannya kepada Organisasi
Perkataan ‘Integriti’ berkembang daripada perkataan Latin iaitu ‘Integer’ yang bermaksud keseluruhan atau lengkap. Jadi adalah wajar untuk kita mentakrifkan bahawa integriti ini meliputi segala aspek bagi setiap individu sama ada melalui perbuatan, perkataan dan juga penulisan.
Setiap penjawat awam mengetahui bahawa memberikan pernyataan awam adalah merupakan satu kesalahan yang telah digariskan di bawah Peraturan 18 Akta Badan-badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 (Akta 605). Akan tetapi sejauh mana kesannya kepada organisasi?. Adakah lebih banyak memberikan kebaikan daripada keburukan atau sebaliknya?,
Bagi menjawab perkara di atas, kita perlu mengupas lebih lanjut dan terperinci berkaitan pernyataan awam. Menurut Peraturan 18 Akta Badan-badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 (Akta 605) yang mana Peraturan 18 (1) telah menyatakan bahawa seseorang pegawai tidak boleh, sama ada secara lisan atau bertulis atau dengan apa-apa cara lain membuat apa-apa pernyataan awam yang boleh memudaratkan apa-apa dasar, rancangan atau keputusan badan berkanun atau kerajaan tentang apa-apa isu. Pegawai Awam juga tidak boleh membuat pernyataan awam yang boleh memalukan atau memburukkan nama badan berkanun atau kerajaan dan tidak boleh membuat apa-apa ulasan berkaitan kelemahan apa-apa dasar, rancangan atau keputusan badan berkanun atau kerajaan dan tidak boleh mengedarkan apa-apa pernyataan atau ulasan, sama ada yang dibuat oleh pegawai tersebut atau mana-mana orang lain.
Manakala Peraturan 18 (2) pula ada menggariskan bahawa seseorang pegawai tidak boleh sama ada secara lisan atau bertulis atau dengan apa-apa cara lain membuat apa-apa ulasan tentang kelebihan apa-apa dasar, rancangan atau keputusan badan berkanun, dan tidak boleh memberikan apa-apa maklumat berdasarkan fakta berhubung dengan penjalanan fungsi badan berkanun.
Selain itu, pegawai juga tidak boleh memberikan apa-apa penjelasan berkenaan dengan apa-apa peristiwa atau laporan yang melibatkan badan berkanun atau kerajaan dan tidak boleh menyebarkan apa-apa ulasan, maklumat atau penjelasan sedemikian sama ada yang dibuat olehnya atau mana-mana orang lain melainkan jika kebenaran bertulis sama ada secara am atau khusus telah diperoleh terlebih dahulu daripada Ketua Jabatan atau Menteri. Takrifan pernyataan awam bagi Peraturan ini adalah termasuk apa-apa pernyataan atau ulasan yang dibuat kepada pihak akhbar atau orang ramai atau semasa memberikan apa -apa syarahan atau ucapan awam atau dalam apa-apa penyiaran atau penerbitan, tanpa mengambil kira caranya.
Justeru, apakah kesannya kepada organisasi sekiranya pernyataan awam ini dibenarkan? Dan adakah semua pegawai tidak ada hak dan kebebasan untuk memberikan komen, teguran dan juga kritikan terhadap dasar-dasar dan keputusan yang dibuat seandainya perkara tersebut boleh menjejaskan kedudukan dan kelebihan yang diterima pegawai sepanjang tempoh perkhidmatan pegawai di organisasi?
Antara kesan-kesan sekiranya pernyataan awam ini dibenarkan adalah yang pertama, ia akan mengganggu keharmonian organisasi memandangkan pernyataan awam boleh mempengaruhi pegawai-pegawai dalam menjalankan tugas yang diamanahkan. Kedua, pernyataan awam boleh membuka ruang kepada tohmahan, kritikan dan komen pihak-pihak luar terhadap imej dan reputasi sesebuah organisasi. Ketiga, pegawai dan pemegang taruh akan hilang kepercayaan terhadap kemampuan pengurusan organisasi yang secara tidak langsung akan menjejaskan ekosistem sesebuah organisasi. Kesan-kesan ini akan secara tidak langsung boleh menjejaskan kebajikan pegawai-pegawai di dalam sesebuah organisasi.
Justeru, sebagai pegawai badan berkanun, kita harus mempercayai bahawa setiap keputusan yang diambil oleh pihak pengurusan organisasi adalah demi menjaga kepentingan dan kebajikan pegawai-pegawai organisasi tersebut. Walaubagaimanapun, sekiranya pegawai mendapati bahawa sesuatu keputusan yang dibuat itu bukan dengan niat untuk menjaga kebajikan pegawai dan organisasi, pegawai boleh menyuarakan perkara tersebut melalui saluran-saluran yang sepatutnya. Sebagai contoh, sesetengah organisasi mengguna pakai sistem aduan yang dikenali sebagai Sistem Pengurusan Aduan Awam (SiSPAA) yang mana ia merupakan satu saluran aduan berintegrasi yang boleh digunakan oleh pegawai-pegawai untuk menyalurkan sebarang aduan, cadangan penambahbaikan, komen dan penghargaan kepada organisasi.
Peraturan 18 di bawah Akta Badan-badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 [Akta 605] ini bukanlah bertujuan untuk menyekat secara total kebebasan pegawai untuk membuat pernyataan akan tetapi harus diingatkan bahawa nama baik sesebuah organisasi itu perlulah dititikberat sebelum sesuatu pernyataan itu dibuat. Ini adalah kerana sebarang pernyataan oleh pegawai akan membuka ruang dan peluang kepada tohmahan, kritikan dan salah tafsiran terhadap sesuatu dasar sama ada yang sudah diputuskan atau yang masih dalam proses untuk diputuskan. Sekiranya terdapat saluran dalaman yang boleh menjadi medium untuk perbincangan lanjut, pegawai perlulah menggunakannya terlebih dahulu memandangkan dasar-dasar yang dibangunkan oleh sesebuah organisasi merupakan dasar-dasar yang berkuat kuasa secara dalaman.
Dalam meniti arus kemodenan ini, semuanya berada di hujung jari. Justeru, harus diingatkan bahawa setiap pegawai itu bertanggungjawab atas tindakannya baik melalui lisan mahupun penulisan. Oleh itu, setiap pegawai harus berwaspada dan sentiasa cakna dan bijak dalam membuat sesuatu pernyataan dan sentiasa “berfikir dahulu sebelum bertindak” daripada sesal di kemudian hari.
Penulis adalah Pegawai di Unit Integriti dan Pematuhan, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
E-mel: fatimaton@umpsa.edu.my
- 334 views