Perpustakaan UMPSA sebagai Rakan Kolaborasi dalam Pengurusan Penerbitan Ilmiah
Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Yang Berhormat Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dalam ucapan sempena Landasan Hala Tuju Kementerian Pendidikan Tinggi pada 12 Januari 2024 yang lalu, beliau ingin melihat anjakan dalam membina kemenjadian tradisi keintelektualan di universiti, politeknik dan kolej komuniti. Saranan pertama yang diusulkan ialah penghasilan, penjilidan dan penerbitan korpus ilmu mengikut disiplin ilmu dan kebitaraan institusi. Perbukuan dan penerbitan adalah lambang keunggulan institusi pendidikan tinggi, manakala penjilidan korpus dan leksikon pula adalah simbol ketekunan akademik.
Bagi menyokong hasrat hala tuju Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) memainkan peranan penting dalam menyokong penghasilan dan penerbitan akademik dengan memastikan usaha yang berterusan dan komitmen yang tinggi dapat disumbangkan dengan penyediaan perkhidmatan yang setaraf untuk penghasilan penerbitan akademik yang berkualiti. Lima Fokus Utama, 20 Landasan Hala Tuju KPT Tahun 2024 disambut dengan inisiatif-inisiatif yang sesuai dengan peranan dan tanggungjawab Perpustakaan.
1) Penyediaan Koleksi dan Akses
Penerbitan akademik yang berkualiti bermula dengan penggunaan sumber ilmiah yang tepat. Penyelidik perlu merujuk sumber yang relevan untuk memastikan hasil kajian lebih berinformasi, tepat, dan memberi impak. Dalam hal ini, Perpustakaan UMPSA menyediakan pelbagai sumber ilmiah fizikal dan digital seperti buku, jurnal, pangkalan data, dan bahan akademik lain. Pemilihan sumber dibuat mengikut prosedur universiti agar sesuai dengan keperluan penyelidik. Perpustakaan juga bekerjasama dengan fakulti untuk memastikan perolehan dan langganan sumber sentiasa terkini dan relevan.
Perpustakaan memainkan peranan penting dalam memastikan semua warga universiti dapat mengakses sumber ilmiah, sama ada dari dalam kampus atau jarak jauh. Untuk memudahkan penyelidik, Perpustakaan UMPSA telah membangunkan platform pencarian dan menyediakan akses kepada sumber digital. Bagi memastikan akses lebih lancar, bermula 4 Ogos 2024, perpustakaan akan beralih daripada EzProxy Standalone kepada EzProxy Hosted. Langkah ini akan memudahkan hampir 15,000 warga UMPSA mengakses sumber ilmiah dengan lebih cepat dan efektif, sekali gus meningkatkan produktiviti penyelidikan dan penerbitan akademik.
Bagi menjamin penyelidik tidak terputus untuk mendapatkan akses sumber ilmiah yang diperlukan, perpustakaan juga menyediakan akses kepada platform akses terbuka. Senarai platform akses terbuka boleh menjadi alternatif kepada penyelidik untuk menambah sumber rujukan mereka. Selain itu, perpustakaan juga menyediakan perkhidmatan Pinjaman Antara Perpustakaan iaitu kolaborasi antara perpustakaan seluruh Malaysia yang membolehkan penyelidik memohon untuk mendapatkan bahan di perpustakaan lain. Perkhidmatan ini sentiasa dihebahkan dan diperkasa sebagai usaha membantu penyelidik mendapatkan sumber ilmiah yang diperlukan sekali gus dapat meningkatkan kualiti dan impak penerbitan.
2) Menyediakan Khidmat Sokongan Penyelidikan dan Literasi Maklumat
Peranan perpustakaan bukan hanya menyediakan akses kepada sumber ilmiah, tetapi juga menawarkan perkhidmatan sokongan penyelidikan. Antaranya termasuk Bengkel Where to Publish? dan Program Research Support Week. Melalui aktiviti ini, penyelidik diberikan strategi dan tip untuk menulis jurnal dengan berkesan serta meningkatkan kualiti penerbitan agar mencapai faktor impak yang lebih tinggi. Penyelidik juga diberi kesedaran tentang bahaya jurnal pemangsa yang boleh menjejaskan integriti penerbitan akademik. Selain itu, perpustakaan menyediakan konsultasi bersama pustakawan untuk membantu penyelidik memilih saluran penerbitan dan jurnal yang sesuai dengan kriteria universiti demi memaksimumkan impak penerbitan.
Sesuai dengan peranan perpustakaan dalam menyokong impak penghasilan penulisan akademik, perpustakaan turut membantu meningkatkan keterlihatan profil penyelidik dan hasil penyelidikan. Dengan menggunakan saluran media sosial, perpustakaan berkongsi profil penyelidik UMPSA sebagai instrumen untuk meningkatkan keterlihatan dan kebolehcapaian hasil penyelidikan dalam kalangan warga akademik, industri dan masyarakat. Inisiatif ini dapat membantu penyelidik memperluas jaringan kerjasama dan kolaborasi dengan rakan penyelidik lain dan industri. Sehingga Disember 2024, sebanyak 200 profil penyelidik telah berjaya dihebahkan kepada umum.
Perpustakaan menawarkan kelas pendidikan pengguna untuk meningkatkan kemahiran literasi maklumat penyelidik dalam mencari sumber ilmiah dengan lebih efisien. Kelas ini, yang dikendalikan oleh pustakawan, memberi tumpuan kepada kemahiran mengakses, menilai, dan menggunakan maklumat dengan berkesan. Selain itu, perpustakaan turut berkongsi panduan penggunaan alat pengurusan rujukan dan alat kecerdasan buatan bagi memudahkan proses penulisan akademik. Dengan pendekatan ini, penyelidik boleh menjadikan perpustakaan sebagai rujukan utama untuk konsultasi pencarian maklumat dan sokongan penyelidikan.
3) UMPSA-IR: Platform Memelihara dan Menyebarkan Hasil Penerbitan Penyelidik
Selepas sesuatu hasil penerbitan diterbitkan, perpustakaan memainkan peranan penting dalam memastikan ia dimanfaatkan sepenuhnya oleh komuniti akademik dan masyarakat umum. Dalam usaha menyokong dan mempromosikan karya penerbitan penyelidik UMPSA, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah Institutional Repository (UMPSA-IR) telah dibangunkan oleh Perpustakaan.
UMPSA-IR berfungsi sebagai platform digital untuk mengumpul, menyimpan, mengindeks, memelihara, dan menyebarkan hasil penerbitan universiti di dalam bentuk digital. Ia merupakan pangkalan data perkongsian ilmu dan sumber seperti artikel jurnal, artikel persidangan, buku dan bab buku dan lain-lain penerbitan. Platform repositori ini bagi memastikan akses dan keterlihatan penerbitan ilmiah serta mempromosikan penyebaran karya penyelidikan kepada komuniti akademik dan masyarakat umum dengan lebih terbuka.
4) Menilai dan Menganalisis Impak Penerbitan
Analisis bibliometrik merupakan satu pendekatan yang penting dalam memahami, menilai dan memantau penerbitan ilmiah sesebuah universiti. Perpustakaan sebagai pusat informasi dan penyelidikan, memainkan peranan yang signifikan dalam penaksiran prestasi penyelidikan melalui analisis bibliometrik yang holistik bagi mengukur impak serta keberkesanan penyelidikan, serta tahap keterlihatan dan kadar kolaborasi strategik pada peringkat nasional dan global. Peranan ini bukan sahaja menyokong usaha meningkatkan kualiti dan impak penyelidikan universiti, tetapi juga membantu membina reputasi universiti pada peringkat global. Dengan kerjasama di antara perpustakaan, penyelidik, dan pihak pengurusan universiti, analisis bibliometrik dapat dimanfaatkan secara maksimum untuk pembangunan akademik dan penyelidikan.
5) Rakan Kolaborasi Strategik - Penarafan Universiti
Perpustakaan turut berperanan sebagai rakan kolaborasi yang strategik dalam pengurusan penerbitan ilmiah yang memberi impak besar terhadap Kedudukan dan Penarafan universiti pada peringkat nasional dan global. Ini dapat dilihat dalam keterlibatan secara langsung perpustakaan dalam menyedia dan mengesahkan rekod penerbitan ini bagi memastikan kepatuhan kepada kriteria-kriteria yang ditetapkan dalam penilaian penarafan seperti Malaysia Research Assessment (MyRA), Sistem Penilaian Institusi Pengajian Tinggi (SETARA), MyMOHES, Ui GreenMetric dan lain-lain.
6) Pengurusan Penerbitan Ilmiah dan Pengiktirafan Penyelidik
Selain itu, pengurusan penerbitan ilmiah juga menjadi kriteria penting dalam penilaian untuk penganugerahan kepada penyelidik. Pengurusan penerbitan yang tersusun membolehkan perpustakaan mengemukakan senarai penyelidik dengan penerbitan yang berimpak untuk dipertimbangkan dalam program insentif universiti seperti Anugerah Cendekia Bitara (ACB). Dengan data yang lengkap, penyelidik yang mencapai sasaran penerbitan akan lebih mudah dikenal pasti dan diberi insentif sebagai dorongan untuk terus menghasilkan penyelidikan berkualiti.
Setiap inisiatif di atas menunjukkan Perpustakaan menyokong matlamat SDG4: Pendidikan berkualiti dan pembelajaran sepanjang hayat, di samping menjadi rakan kolaborasi dalam penerbitan ilmiah yang berimpak tinggi dan meningkatkan visibiliti universiti pada peringkat global.
Penulis adalah Pustakawan, Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
E-mel: amelia@umpsa.edu.my, affida@umpsa.edu.my, haida@umpsa.edu.my
- 16 views