Semangat sukarelawan dukung konsep keluarga Malaysia sempena Hari Malaysia 2021
Semangat sukarelawan bukanlah satu perkara yang asing dan baharu dalam masyarakat kerana ia telah menjadi sebahagian daripada kebiasaan kehidupan masyarakat sejak zaman-berzaman.
Sukarela bermaksud bekerja atas kemahuan sendiri dan tanpa dipaksa. Pada hari ini, ia dapat dilihat ketika melaksanakan sesuatu kerja yang dilakukan secara bergotong-royong dan bekerjasama oleh ahli di dalam sesebuah komuniti.
Apabila Perdana Menteri Malaysia ke-9 Yang Amat Berhormat Datuk Seri Ismail Sabri mengetengahkan konsep Keluarga Malaysia, secara relatifnya ia merupakan suatu konotasi positif dan menarik, sementelah institusi kekeluargaan terus menjadi agenda penting dalam pembinaan sesebuah masyarakat.
Era kini tatkala negara masih bergelut dengan impak penularan pandemik COVID-9, pendekatan ini dilihat suatu yang tepat dalam konteks kesejahteraan negara dan rakyat demi memperkasakan nilai-nilai murni institusi kekeluargaan seperti kasih sayang, toleransi, empati dan pengorbanan.
Hal ini turut didukung menerusi agenda Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) yang beriltizam untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang terus membangun secara mampan menerusi pengukuhan kestabilan politik dan meningkatkan kemakmuran negara serta memastikan rakyat bersatu padu tanpa prasangka dengan meraikan kepelbagaian bangsa, agama dan budaya sebagai asas penyatuan negara bangsa.
Institusi keluarga dan komuniti amat penting dalam pembentukan sahsiah individu kerana ia merupakan perkara asas pembentukan sesebuah masyarakat yang bersatu padu, maju dan mampan.
Ia perlu dimantapkan bagi memastikan potensi setiap individu dapat dicapai sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan keluarga dan kemantapan komuniti.
Usaha untuk merapatkan jurang generasi perlu bermula dalam keluarga. Ibu bapa perlu memahami bahawa persekitaran sudah berubah dan pendekatan komunikasi serta mendidik perlu selaras dengan keadaan semasa.
Melalui pendekatan yang efektif dapat menerapkan nilai-nilai murni sepunya yang menjadi asas sepanjang aman seperti integriti, disiplin, menghormati sesama manusia dan empati.
Malahan, menjadi sesuatu yang rutin kepada masyarakat kini apabila sesuatu kerja itu dilaksanakan secara beramai-ramai dan sukarela dalam setiap kehidupan manusia.
Ia didorong oleh nilai-nilai budaya, ideologi, prinsip, tradisi dan memberi impak yang cukup besar dalam kehidupan bermasyarakat.
Umpamanya, antara aktiviti yang menjadi tumpuan dalam aktiviti sukarelawan ialah seperti aktiviti sukan, kemasyarakatan, kebajikan dan badan beruniform yang secara langsung dapat meningkatkan keupayaan sesebuah komuniti dalam memberi nilai kepada pembangunan insan khususnya golongan belia.
Di negara barat seperti di Amerika Syarikat, kesukarelawan menjadi intipati kepada integrasi sosial yang dapat digunakan untuk meningkatkan keupayaan komuniti yang bermasalah.
Kini, menerusi semangat kesukarelawan yang sentiasa menitikberatkan elemen ini sebagai wadah kepada pembangunan komuniti amnya.
Mengambil beberapa pendekatan semasa, setiap program yang dirangka perlu menekankan aspek kesukarelawan melalui penglibatan oleh masyarakat umum.
Contohnya, pendekatan yang digerakkan menerusi inisiatif MyVAC (Malaysia Vaccine Support Volunteers) iaitu sebuah inisiatif gabungan kerjasama strategik antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, inisiatif tersebut dapat membantu dalam pelancaran program imunisasi kerajaan dengan menempatkan individu yang bersedia berkhidmat dalam pasukan vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Melalui penglibatan rakyat Malaysia terutama kelompok belia dan mahasiswa universiti ini dilihat dapat membantu mengisi keperluan tenaga kerja bagi tugasan pelaksanaan di PPV.
KPT tidak terkecuali dalam menyumbang tenaga dan kemudahan fizikal terutama dalam membantu Pelan Pemulihan Negara (PPN) sebagai strategi peralihan keluar secara berfasa dari kemelut pandemik COVID-19.
Pelbagai sokongan diberikan melalui peningkatan kapasiti katil dan peralatan ICU untuk rawatan COVID-19 di tiga buah Hospital Pengajar Universiti (HPU) serta turut bergiat aktif membantu kerajaan menerusi perwujudan PPV Institusi Pendidikan Tinggi (PPV IPT) di hampir seluruh universiti awam (UA) bahkan jumlahnya semakin meningkat sejak akhir-akhir ini.
Sumbangan warga universiti terutama pelajar sudah semestinya bertugas sebagai sukarelawan di PPV selain ada dalam kalangan warga kerja universiti bertugas sebagai barisan hadapan di beberapa hospital dan pusat perubatan selain kawalan keselamatan di dalam kampus.
Melalui pendekatan ini, warga kampus terutama pelajar harus didedahkan dengan ilmu pengetahuan selain akademik seperti kemahiran kendiri yang menguji ketahanan mental dan emosi mereka.
Penglibatan pelajar dengan aktiviti sukarelawan bukan sahaja mampu meningkatkan tahap pencapaian mereka dari aspek kurikulum dan kokurikulum, malahan dapat menyemai rasa tanggungjawab yang tinggi untuk membantu komuniti sekeliling yang berada dalam keadaan yang memerlukan.
Budaya kesukarelawan dalam kalangan generasi muda perlu diperkasakan kerana ia mampu meningkatkan semangat cintakan negara, saling hormat menghormati dan toleransi antara kaum di negara ini.
KPT turut menekankan tiga elemen budaya untuk diserapkan dalam sistem pendidikan di negara iaitu kegembiraan, kasih sayang dan saling hormat menghormati.
Justeru, pihak pengurusan universiti sentiasa menyokong untuk meningkatkan aktiviti kesukarelawan dan khidmat bakti sejajar dengan teras kesukarelawanan serta khidmat komuniti dalam kalangan pelajar melalui kokukurilum berkredit.
Menyedari akan kepentingan aspek kesukarelawan ini, ia memberikan kesedaran akan kepentingan untuk berkhidmat secara sukarela kerana ia mampu melahirkan pelajar yang bertanggungjawab terhadap isu-isu sosial yang wujud dalam kalangan masyarakat.
Ini adalah kerana mereka perlu melibatkan diri secara langsung bagi membantu menyelesaikan masalah ketidakseimbangan yang wujud dalam sesebuah masyarakat berkenaan.
Apabila seseorang mahasiswa terlibat dengan aktiviti sukarela, pelajar tersebut dengan sendirinya akan membentuk rasa simpati dan sifat tolong-menolong sesama manusia.
Peningkatan keterlibatan kelompok belia khususnya dengan aktiviti kesukarelawanan dilihat sebagai petanda yang baik ke arah pembentukan pemikiran yang positif dan dapat membangunkan personaliti yang mantap dalam kalangan warga kampus.
Mereka perlu melengkapkan diri mereka dengan ilmu-ilmu personaliti unggul seperti kemahiran berkomunikasi, penyampaian berkesan, keupayaan menyesuaikan diri dalam pelbagai peringkat, mempunyai kekuatan jati diri dan rangkaian profesional serta kepimpinan.
Oleh yang demikian, pelbagai usaha dan inisiatif boleh dilakukan demi mencapai matlamat jangka panjang.
Jelas terbukti dalam merangka program-program kesukarelawanan pastinya sifat kasih sayang dan prihatin terhadap persekitaran, komuniti, organisasi dan individu dan disuburkan lagi.
Pembudayaan dan semangat kesukarelawanan ini perlu dilaksanakan seawal mungkin kepada golongan belia atau remaja kerana pada fasa umur tersebut akan berlaku perkembangan mental dan emosi yang drastik.
Golongan remaja pada hari ini perlu dipupuk budaya berfikir sebelum bertindak dan mampu berfikir dengan lebih luas sebelum membuat sesuatu keputusan.
Memetik kepada aspirasi ke-3 di dalam dokumen Rangka Tindakan Perpaduan Negara 2021-2023 iaitu memperkukuhkan ekosistem perpaduan, di bawah strategi 8 mengukuhkan tapak integrasi perpaduan telah menggariskan supaya menggalakkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti kesukarelawan agar semangat sukarelawan dipupuk dan dibudayakan dalam kalangan masyarakat di pelbagai peringkat.
Semangat ini dilihat mampu melahirkan rakyat yang cintakan negara, saling menghormati, prihatin dan bertoleransi.
Hakikatnya, aktiviti yang menggabungkan penyertaan masyarakat semua kaum tanpa mengira latar belakang keturunan dan agama wajar diperbanyak.
Kesimpulannya, sebagai pengakhiran, golongan pendidik perlu mengambil kesempatan untuk menyuntik semangat kesukarelawanan dalam kalangan belia.
Ilmu kesukarelawan perlu dibangunkan secara hoslitik agar para belia didedahkan dengan sifat dan falsafah kesukarelawanan secara berterusan kerana ia secara tidak langsung memupuk kepada keharmonian sejagat sejajar dengan semangat Hari Malaysia yang disambut pada setiap tahun.
Penulis ialah Presiden Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PPTI), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan merangkap Timbalan Presiden 1 (Bakat), Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI).
e-mel : hilmy@ump.edu.my
- 2575 views