Sorotan 2025: UMPSA Institusi Holistik Mendukung Agenda MADANI Negara
Agenda MADANI yang digagaskan Kerajaan MADANI menuntut pendekatan pembangunan negara yang menyeluruh, berteraskan nilai, kesejahteraan rakyat, kemampanan ekonomi serta integriti institusi. Dalam landskap ini, institusi pendidikan tinggi (IPT) memainkan peranan strategik sebagai pemangkin pembangunan modal insan dan pembentukan masyarakat berilmu serta beretika. Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) tampil sebagai sebuah institusi holistik yang menyokong aspirasi tersebut melalui pendekatan bersepadu berasaskan lima bidang tujahan utama, iaitu Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), aktiviti kesukarelawanan, kecemerlangan sebagai MTUN terbaik negara, penyelidikan berimpak tinggi serta tadbir urus yang menitikberatkan tatakelola dan integriti berteraskan pendekatan SPIROS.
Pemerkasaan TVET sebagai Teras Pembangunan Modal Insan MADANI
Agenda TVET menjadi teras kekuatan UMPSA, mengukuhkan identiti universiti dalam menyokong pembangunan negara. UMPSA konsisten menawarkan program berorientasikan industri melalui kurikulum berasaskan amali, pembelajaran autentik, dan penglibatan strategik dengan rakan industri. Pendekatan ini juga menekankan kesiapsiagaan masa depan, termasuk Revolusi Industri 4.0, kecerdasan buatan (AI), dan teknologi hijau, sejajar dengan keperluan ekonomi rendah karbon serta transformasi digital negara. Program dalam teknologi kejuruteraan, pembuatan pintar, dan kejuruteraan lestari membuktikan keupayaan UMPSA menyesuaikan latihan kemahiran dengan kehendak industri semasa dan masa hadapan.
Selain menghasilkan graduan berkemahiran tinggi, TVET berperanan sebagai wahana mobiliti sosial, membuka akses pendidikan berkualiti kepada pelajar pelbagai latar belakang, selaras prinsip keadilan sosial dalam MADANI. Penglibatan pelajar dalam aktiviti kesukarelawanan berasaskan kemahiran membolehkan kepakaran teknikal dimanfaatkan untuk kesejahteraan komuniti dan pembangunan setempat. Kejayaan kebolehpasaran graduan dan pengiktirafan program profesional serta teknikal menegaskan keberkesanan ekosistem TVET UMPSA dalam melahirkan graduan berdaya saing, beretika, dan relevan.
Komitmen ini dizahirkan melalui penganjuran Hari Terbuka UMPSA 2025 bersempena dengan Sambutan Hari TVET Negara di Kompleks Sukan UMPSA Kampus Gambang, yang bukan sahaja mengangkat martabat TVET, tetapi juga menjadi platform pembentukan pemimpin masa depan yang berwawasan, berdaya saing, dan berjiwa MADANI.
Kesukarelawanan Berimpak dan Pembentukan Insan MADANI
Di samping kecemerlangan akademik dan latihan berasaskan kemahiran, UMPSA meletakkan pembentukan nilai kemanusiaan sebagai komponen teras pendidikan universiti melalui budaya kesukarelawanan yang berstruktur dan berterusan. Pendekatan ini berpaksikan prinsip pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) yang mengintegrasikan penglibatan komuniti dengan pembangunan sahsiah, kepimpinan dan tanggungjawab sosial mahasiswa.
Agenda kesukarelawanan ini diperkukuh melalui penubuhan Sukarelawan KILAU, platform institusi yang menyelaras, merancang, dan melaksanakan aktiviti khidmat masyarakat secara sistematik. Mahasiswa terlibat dalam pelbagai inisiatif bersama komuniti setempat, sekolah, institusi awam, serta kumpulan rentan. Terkini, kira-kira 200 Sukarelawan KILAU terlibat dalam Program Gotong-royong Pascabanjir di Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) dan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang melibatkan Sekolah Kebangsaan Mat Kilau dan Sekolah Kebangsaan Jaya Gading.
Pendekatan kesukarelawanan UMPSA selari dengan Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) yang digariskan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), melalui integrasi aktiviti khidmat komuniti dalam kursus akademik berasaskan disiplin. Inisiatif ini membolehkan mahasiswa mengaplikasikan ilmu dan kemahiran secara kontekstual untuk menangani isu sebenar masyarakat, memperkukuh pembelajaran bermakna dan berimpak. Demi kelestarian SULAM, UMPSA pada tahun 2025 turut menganjurkan Training of Trainers (TOT) bagi pengajar yang konsisten melaksanakan projek SULAM, memastikan pengalaman mereka memberi manfaat kembali kepada institusi.
Kesinambungan antara kesukarelawanan berstruktur, SULAM dan Sukarelawan KILAU menyokong aspirasi Agenda MADANI yang menekankan nilai ihsan, keadilan sosial serta kesejahteraan komuniti, sekaligus mengukuhkan UMPSA sebagai institusi holistik yang melahirkan graduan berkompetensi tinggi, beretika, dan berjiwa Madani.
Kecemerlangan UMPSA sebagai MTUN Terbaik Negara Menyokong Aspirasi MADANI
UMPSA terus mengukuhkan kedudukannya sebagai universiti teknikal terkemuka apabila kekal menjadi Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN) terbaik negara dan diiktiraf dalam Times Higher Education Asia University Rankings 2025 serta penarafan tinggi di peringkat Asia. Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan terhadap kecemerlangan akademik, penyelidikan berimpak tinggi, dan kerjasama antarabangsa dalam lima penunjuk prestasi utama: pengajaran, penyelidikan, industri, perspektif antarabangsa, dan inovasi.
Keupayaan UMPSA menawarkan program teknikal yang responsif kepada keperluan industri sejajar pendigitalan, teknologi hijau dan pembangunan lestari, menguatkan peranannya dalam menyokong agenda nasional dan memenuhi kehendak pasaran kerja masa depan. Misalnya, karnival International on Inclusive Technology and Ecosystem (iNCLUSIVE) 2025 memupuk teknologi dan pendidikan inklusif dengan penglibatan pelbagai pihak termasuk komuniti, sejajar dengan nilai keadilan sosial, kemakmuran bersama, dan kesejahteraan rakyat dalam MADANI.
Sebagai MTUN terbaik, UMPSA turut menyumbang kepada pengurusan masa hadapan yang kompleks. Keserentakan, kerumitan, percanggahan dan kekacauan menjadikan kerangka MADANI panduan penting, khususnya dalam aspek pendidikan. Tindakan ini penting untuk melahirkan graduan yang berdaya tahan, berfikiran kritis, dan mampu menyumbang secara beretika kepada pembangunan negara.
Penyelidikan Berimpak Tinggi Pemangkin Inovasi dan Nilai Madani
Penyelidikan berimpak menjadi tonggak utama UMPSA dalam menyumbang kepada pembangunan masyarakat, industri, dan negara. Melalui penyelidikan berorientasikan inovasi dan keperluan sebenar, universiti ini mempraktikkan nilai MADANI dengan menekankan kesejahteraan rakyat, keadilan sosial, dan pembangunan lestari.
Sepanjang tahun 2025, UMPSA mencatat pelabagi kejayaan cemerlang, termasuk enam projek penyelidikan diiktiraf dengan tiga pingat emas dan tiga pingat perak di International Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX) 2025, melibatkan inovasi sistem automasi pintar, infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik, dan penyelesaian ternakan lestari. Penyelidik UMPSA juga meraih pengiktirafan berganda dalam Project Management Conference (PROMAC) 2025, melalui projek simulasi risiko dan alat visual yang menunjukkan penyelesaian berstruktur terhadap cabaran kompleks, meningkatkan kebolehpasaran graduan. Terkini pasukan inovasi UMPSA RIPFIGHTER sedang berentap sebagai finalis di dalam program Innovathon Musim ke 3 di saluran Astro.
Kejayaan demi kejayaan saban tahun ini mengukuhkan peranan UMPSA dalam menghasilkan penyelesaian praktikal yang menjawab isu industri dan masyarakat, serta menyokong keupayaan negara menghadapi transformasi masa depan melalui teknologi dan inovasi. Pendekatan ini memperkukuh UMPSA sebagai pusat penjanaan ilmu yang menyokong pembangunan ekonomi berasaskan inovasi dan teknologi, selari dengan aspirasi MADANI dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat, keadilan sosial, dan kemakmuran bersama.
Tadbir Urus Berintegriti UMPSA Menyokong Aspirasi MADANI
Aspek tadbir urus menjadi asas utama dalam memastikan kecemerlangan dan kelestarian sebuah universiti. Dengan sistem pengurusan yang berintegriti, telus, dan berkesan, universiti dapat merancang, melaksanakan, dan menilai semua inisiatif akademik, penyelidikan, serta pembangunan komuniti secara berstruktur. Pendekatan tadbir urus yang kukuh bukan sahaja meningkatkan kecekapan operasi, malah memperkukuh kepercayaan pihak berkepentingan dan menyokong aspirasi Agenda MADANI untuk institusi terus berdaya saing, beretika, dan mampan.
Naib Canselor UMPSA Profesor Dr. Yatimah Alias telah memperkenalkan prinsip tadbir urus SPIROS iaitu Skills (Kemahiran), Perfection (Kesempurnaan), Impact (Impak), Resilience (Daya Tahan), Optimization (Pengoptimuman), dan Sustainability (Kelestarian) merupakan satu bentuk tadbir urus dan tatakelola yang menekankan integriti, ketelusan, dan akauntabiliti dalam pengurusan sumber, perolehan, dan pelaksanaan dasar. Penambahbaikan berterusan dalam sistem pengurusan dan pemerkasaan budaya kerja berintegriti mencerminkan komitmen universiti terhadap reformasi institusi, selari dengan aspirasi Agenda MADANI yang menuntut kecekapan dan kepercayaan awam.
Tuntasnya, tadbir urus berintegriti melalui prinsip SPIROS telah membolehkan UMPSA melaksanakan operasi akademik, penyelidikan, dan pembangunan komuniti secara berstruktur dan berkesan. Pendekatan ini bukan sahaja memastikan kelestarian dan keberkesanan universiti, malah memperkukuh reputasi UMPSA sebagai institusi yang berdaya saing, beretika, dan telus. Melalui komitmen berterusan terhadap ketelusan, akauntabiliti, dan penambahbaikan sistematik, UMPSA menyokong aspirasi Agenda MADANI, menjadikan institusi ini sebagai model tadbir urus berintegriti yang menyumbang kepada kesejahteraan rakyat, pembangunan berterusan, dan kepercayaan awam terhadap institusi pendidikan tinggi.
Kelima-lima bidang tujahan UMPSA berfungsi secara sinergi, membentuk ekosistem pendidikan tinggi yang holistik dan berimpak. TVET menyediakan asas kemahiran graduan, disokong oleh program kesukarelawanan yang menanam nilai kemanusiaan dan tanggungjawab sosial. Kecemerlangan sebagai MTUN terbaik menyepadukan keperluan industri dengan kekuatan akademik, manakala tadbir urus berteraskan prinsip SPIROS memastikan setiap inisiatif dilaksanakan dengan integriti, ketelusan, dan keberkesanan. Penyelidikan berimpak pula menjadi pemangkin, menghubungkan kepakaran universiti dengan keperluan industri dan masyarakat, sekaligus menjadikan UMPSA institusi yang seimbang, mampan, dan relevan.
Secara keseluruhan, pendekatan holistik UMPSA melalui lima bidang tujahan ini sepanjang 2025 yang dibincangkan secara ringkas ini selaras dengan aspirasi Agenda MADANI. Pencapaian konsisten dalam TVET, kesukarelawanan, kecemerlangan MTUN, penyelidikan berimpak dan tadbir urus berintegriti memperkukuh peranan universiti sebagai rakan strategik negara dalam pembangunan modal insan berilmu, berkemahiran, dan beretika. Dengan elemen rentas seperti kelestarian, pendigitalan, dan pemerkasaan mahasiswa, UMPSA memastikan setiap inisiatif kekal relevan, inklusif, dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran masa hadapan.

Oleh: Jamilah Bebe Mohamad
E-mel: jamilahbebe@umpsa.edu.my
Penulis adalah Guru Bahasa Kanan, Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
- 31 views
Reports by: