Skip to main content

Tanjak Melayu Lambang Kejuruteraan Budaya dan Jati Diri Mahasiswa

Dalam landskap peradaban Melayu, tanjak bukan sekadar kain yang dilipat dan diletakkan di kepala, tetapi sebuah sistem tanda yang sarat dengan makna sejarah, falsafah dan struktur sosial. Ia berfungsi sebagai simbol maruah lelaki Melayu, lambang kebijaksanaan, serta penzahiran adab dan hierarki. Sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15, tanjak telah menjadi sebahagian penting daripada busana rasmi istana, dipakai oleh raja, pembesar dan hulubalang sebagai manifestasi kedaulatan dan tanggungjawab moral. Catatan dalam Sejarah Melayu dan rekod tradisi Johor-Riau memperlihatkan bahawa tanjak bukan aksesori bebas, sebaliknya terikat dengan aturan adat dan makna sosial yang jelas.

Asbab penciptaan tanjak berpunca daripada keperluan alam dan struktur masyarakat Melayu. Dalam iklim tropika, penutup kepala melindungi pemakai daripada panas dan hujan, namun fungsi fizikal ini segera berkembang menjadi simbolik. Masyarakat Melayu yang halus budinya mentransformasikan kain menjadi lambang kepimpinan dan keperibadian. Lipatan tanjak yang bertingkat melambangkan lapisan ilmu dan pengalaman hidup, manakala arah dan ketinggian soleknya mencerminkan adab, kesetiaan dan amanah.

Keunikan tanjak Melayu terserlah melalui kepelbagaian jenis dan kegunaannya. Setiap bentuk bukan dicipta secara estetika semata-mata, tetapi berakar pada fungsi sosial dan adat. Antaranya ialah Tanjak Pucuk Rebung, yang paling meluas digunakan, melambangkan sifat merendah diri namun berpotensi tinggi seperti rebung yang tumbuh perlahan sebelum menjadi buluh yang kukuh. Tanjak ini sering dipakai dalam majlis rasmi dan istiadat, sesuai untuk pemimpin dan individu yang memikul tanggungjawab besar.

Tanjak Helang Menyusur Angin pula mencerminkan kebijaksanaan dan kewaspadaan, diinspirasikan daripada sifat helang yang terbang tinggi tetapi peka terhadap persekitaran. Ia lazim dikaitkan dengan golongan pembesar dan pahlawan, melambangkan kepimpinan strategik dan keupayaan membuat keputusan dalam situasi genting. Tanjak Dendam Tak Sudah, dengan lipatan yang lebih tegas dan menonjol, membawa makna keberanian dan ketegasan mempertahankan maruah, namun tetap terikat dengan nilai kesederhanaan dan kawalan diri.

Selain itu, terdapat Tanjak Sekebun Bunga, yang lebih lembut soleknya dan sering dikaitkan dengan majlis keraian dan adat perkahwinan, melambangkan keharmonian, kesantunan dan kebahagiaan. Kepelbagaian jenis tanjak ini menunjukkan bahawa masyarakat Melayu telah lama memahami konsep fungsi mengikut konteks dan juga merupakan satu prinsip yang sangat dekat dengan pemikiran kejuruteraan moden.

Apabila tanjak dibaca dari sudut pelajar kejuruteraan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), ia tampil sebagai simbol kejuruteraan budaya. Proses melipat tanjak memerlukan ketepatan sudut, keseimbangan struktur dan pemahaman sifat bahan, selari dengan prinsip asas kejuruteraan seperti analisis, reka bentuk dan kecekapan. Setiap lipatan mempunyai tujuan, sebagaimana setiap komponen dalam sistem kejuruteraan mempunyai fungsi khusus. Dalam hal ini, tanjak mengajar bahawa keindahan lahir daripada ketertiban dan disiplin berfikir.

Bagi mahasiswa yang hidup dalam dunia digital dan global, tanjak sering dianggap sebagai simbol tradisi yang terpinggir. Namun, tanggapan ini wajar dinilai semula. Generasi kini merupakan generasi yang mencari identiti tulen di tengah-tengah kepantasan teknologi. Tanjak menawarkan naratif bahawa kemodenan tidak menuntut pemutusan daripada akar budaya. Apabila mahasiswa UMPSA mengenakan tanjak dalam majlis rasmi, ia menjadi pernyataan jati diri dngan menunjukkan bahawa seorang jurutera boleh berfikiran futuristik tanpa kehilangan nilai tradisional.

Kepentingan tanjak dalam sejarah Melayu terletak pada peranannya membentuk disiplin sosial dan kesedaran etika. Ia mengingatkan bahawa kepimpinan bukan soal kuasa semata-mata, tetapi amanah. Dalam konteks pendidikan kejuruteraan, amanah ini diterjemahkan melalui integriti akademik, etika profesional dan tanggungjawab sosial. Mahasiswa yang memahami falsafah tanjak akan melihat ilmunya sebagai alat membina masyarakat, bukan sekadar memenuhi pasaran pekerjaan.

Kesimpulannya, tanjak Melayu ialah warisan yang berfungsi sebagai sistem makna, kejuruteraan simbol dan cerminan jati diri. Kepelbagaian jenis tanjak dan kegunaannya membuktikan kecanggihan pemikiran Melayu dalam memahami konteks, peranan dan tanggungjawab. Di tangan mahasiswa, khususnya pelajar kejuruteraan UMPSA, tanjak berpotensi menjadi jambatan antara tradisi dan inovasi yang melahirkan generasi yang bukan sahaja cekap teknologi, tetapi berakar, beradab dan bermaruah dalam membina masa depan bangsa.

BAIHAQI

Oleh: MOHAMMAD BAIHAQI HASNI 
E-mel: baihaqi@umpsa.edu.my

Penulis adalah Guru Bahasa Kanan, Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim