Skip to main content

UMPSA Sehati Sejiwa: Bersama Mencapai Kegemilangan

Universiti merupakan satu institusi yang amat penting dalam melahirkan modal insan yang berdaya saing,memiliki tahap keilmuan yang tinggi serta mempunyai budi pekerti yang baik. Penguasaan ilmu dan pembinaan sahsiah diri yang berlaku di universiti akan memacu negara menjadi sebuah negara yang maju dan disegani. 

Secara umumnya, di Malaysia terdapat 20 universiti awam (UA) dan salah satu daripadanya adalah Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). Dari segi sejarahnya, UMPSA telah ditubuhkan pada tahun 2002 dengan nama Kolej Universiti Kejuruteraan dan Teknologi Malaysia (KUKTEM) dan kemudiannya dikenali sebagai Universiti Malaysia Pahang (UMP) bermula pada tahun 2007. Selepas 21 tahun penubuhannya, UMP kini dijenamakan semula sebagai UMPSA.
 

UMPSA Sehati Sejiwa: Bersama Mencapai Kegemilangan

Dalam menelusuri perjalanan untuk menjadi sebuah universiti yang cemerlang, pelbagai usaha dan inisiatif harus digembleng sebaiknya. Terdapat beberapa faktor utama yang dikenal pasti mampu melonjakkan UMPSA untuk menjadi sebuah universiti yang cemerlang pada masa hadapan. Pertama, kemampuan untuk menyediakan fasiliti yang baik dan berdaya saing bagi warga universiti. Penyediaan fasiliti yang baik adalah penting untuk mewujudkan universiti cemerlang yang memupuk budaya pembelajaran, penyelidikan dan inovasi. Selain itu, dengan adanya fasiliti bertaraf dunia juga mampu untuk menarik minat bakat terbaik untuk menjadi sebahagian daripada warga UMPSA. Dengan adanya bakat terbaik ini ia secara tidak langsung akan menyumbang kepada kemajuan ilmu dan juga membantu mewujudkan reputasi institusi sebagai pusat kecemerlangan dalam pendidikan dan penyelidikan. Sehingga kini, inisiatif yang dimainkan oleh pihak pengurusan UMPSA dalam menyediakan fasiliti terbaik wajar diberi pujian. Penubuhan Kilang Pengajaran (Teaching Factory) di UMPSA adalah salah satu contoh komitmen pihak pengurusan UMPSA dalam menyediakan fasiliti bertaraf global bagi menjayakan konsep pengajaran dan pembelajaran yang berasaskan situasi sebenar di industri. 

UMPSA Sehati Sejiwa: Bersama Mencapai Kegemilangan

Kecemerlangan sesebuah universiti turut dinilai dari segi kecemerlangan dalam bidang penyelidikan dan inovasi. Sesebuah universiti adalah penyumbang penting kepada penerokaan dan kemajuan ilmu baharu daripada pelbagai bidang. Bermula dari zaman KUKTEM hinggalah kepada UMPSA, penglibatan dalam bidang penyelidikan adalah bertambah baik. Buktinya, pada tahun 2022, seramai 22 orang penyelidik UMPSA telah diiktiraf dalam kalangan 2 peratus saintis terbaik dunia. 

Dalam amanat Naib Canselor 2023, Yang Hormat Profesor Dato’ Ts. Dr. Yusserrie Zainuddin Naib Canselor UMPSA turut menyeru warga UMPSA agar memainkan peranan yang lebih efektif dalam bidang penyelidikan berasaskan teknologi kepada masyarakat. Sedar dengan kepentingan penyelidikan berimpak tinggi kepada masyarakat, pihak pengurusan UMPSA juga mengambil langkah dan inisiatif proaktif dalam menggiatkan lagi kegiatan penyelidikan di UMPSA menerusi penawaran geran penyelidikan. Antaranya ialah projek menaik taraf keupayaan teknologi komuniti menerusi inisiatif Geran Pembangunan Produk (PDU), Geran Padanan Industri, Geran First In The World bagi penghasilan penemuan atau teknologi pertama di dunia. 

UMPSA Sehati Sejiwa: Bersama Mencapai Kegemilangan

Universiti terunggul lazimnya mempunyai ikatan kerjasama strategik yang sangat erat di antara unversiti terkemuka, pemain industri dan juga pihak komuniti setempat. Jalinan kerjasama dengan pelbagai pihak ini akan memberi impak langsung dan juga tidak langsung kepada kemajuan akademik, perkongsian sumber kepakaran bagi tujuan penyelidikan serta dapat meningkatkan imej universiti di mata dunia. Mengambil contoh Universiti Malaya (UM) sebagai universiti tertua di Malaysia, mempunyai hubungan kerjasama dalam bidang akademik dengan institut penyelidikan dan universiti terkemuka dunia di 74 buah negara seperti Universiti Kyoto, Universiti Cambridge, Universiti Kebangsaan Seoul dan lain–lain. 

Bagi UMPSA pula, aspek jalinan kerjasama akademik dengan universiti terkemuka sentiasa di pertingkatkan. Untuk rekod, UMPSA mempunyai usaha sama yang erat dengan universiti dari Jerman seperti Karlsruhe University of Applied Sciences (HKA) dan Mannheim University of Applied Sciences (HMA). Selain itu, turut diadakan kerjasama baharu melibatkan beberapa universiti dari negara China seperti Jiatong University (BJTU), Universiti Tianjin (TJU) dan Universiti Ningxia (NXU). UMPSA juga turut mengambil pendekatan proaktif dalam menjalin hubungan baik dengan pemain industri. Kerjasama dengan pemain industri ini penting bagi membolehkan warga UMPSA terutamanya staf akademik dan pelajar dapat didedahkan dengan teknologi terkini, meningkatkan kemahiran serta menimba pengalaman secara lansung dengan pihak industri. Antara pemain industri yang mempunyai hubungan kerjasama dengan UMPSA adalah seperti Bosch Rexroth Sdn. Bhd., BI Technologies Corporation Sdn. Bhd., Kaneka (Malaysia) Sdn. Bhd. dan lain-lain. 

Pandemik COVID-19 telah menyaksikan perubahan drastik dalam dalam aspek pengajaran dan pembelajaran di universiti. Justeru, satu langkah berani harus digerakkan dalam melakukan transformasi pengajian secara digital di peringkat universiti. Pengajian secara digital boleh ditakrifkan sebagai satu proses pengajaran dan pembelajaran tanpa melibatkan aktiviti bersemuka secara langsung dan menggunakan kemajuan teknologi dan internet dalam menyampaikan maklumat,bahan pembelajaran dan juga proses komunikasi antara pengajar dan pelajar. Lazimnya pengajian secara digital melibatkan penggunaan platform e-learning, webinar, dan juga meda social dalam menggerakkan proses pengajaran dan pembelajaran. 

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menerusi Pelan Tindakan Pendidikan Tinggi Malaysia 2022 – 2025 telah menggariskan beberapa strategi bagi mencapai objektif pembelajaran dalam talian tahap global. Antaranya adalah dengan membangunkan Pembelajaran Dalam Talian Tahap Global (GOL) dan Kursus Dalam Talian Terbuka Leluasa (MOOCs). Seiring dengan saranan pihak KPT dalam memperkasakan pengajian secara digital, UMPSA turut kedepan dalam menggerakkan program pendigitalan UMP yang terkandung dalam perancangan Kampus Pintar. Antara inisiatif yang dilaksanakan oleh UMPSA dalam menyokong pembelajaran secara digital adalah seperti pelaksanaan fasa kedua Persekitaran Pembelajaran Maya (Virtualized Learning Environment), meningkatkan Connectivity di kampus dengan projek Network Refresh Phase 2 dan lain–lain. Pengajaran dan pembelajaran dalam talian di UMPSA juga diperkasakan melalui pembudayaan Pembelajaran Teradun Gantian (PTG). Kaedah PTG ini diterapkan dalam kurikulum fleksibel bagi pembangunan dan penawaran kursus Modular dan Micro-Credential.

Aspek keusahawanan adalah elemen penting dalam menjana pertumbuhan ekonomi dan inovasi sesebuah institusi. Oleh itu, aspek keusahawanan ini tidak harus dikesampingkan dalam memangkin universiti untuk menjadi satu institusi yang gemilang. Menyedari kepentingan aspek keusahawanan ini, UMPSA telah menggariskan pelan terperinci berkaitan keusahawanan yang bukan hanya melibatkan pelajar malahan juga staf dalam Pelan Strategik UMP 2021–2025 melalui agenda pembangunan keusahawanan graduan dan pengkomersialan produk dan perkhidmatan teknikal. Bagi menyokong agenda pembangunan keusahawanan graduan, UMPSA aktif dalam memberi bantuan kepada graduan dalam bentuk menyediakan kiosk untuk perniagaan, membekalkan kursus keusahawanan dan membantu graduan untuk membina jaringan (networking) dengan pihak luar. Strategi ini membuahkan hasil positif apabila seramai 20 orang pelajar UMPSA menerima dana perniagaan Bank Rakyat UNIpreneur berjumlah RM66,000 pada 17 Ogos 2023 yang lalu. Melalui dana ini, pelajar UMPSA akan dapat mengembangkan lagi perniagaan mereka ke tahap yang lebih baik. Bagi memupuk kemahiran keusahawanan dalam kalangan staf pula, UMPSA meningkatkan usaha dari segi pengkomersialan produk dan perkhidmatan teknikal melalui penubuhan syarikat keusahawanan staf akademik yang membina dan memasarkan produk buatan UMPSA serta menawarkan perkhidmatan kepakaran kepada industri. Sehingga hari ini, terdapat beberapa Syarikat Terbitan (Spin-Off) telah ditubuhkan melalui pengkomersialan teknologi atau produk UMPSA iaitu UMP Green Technology Sdn. Bhd., UMP Keraglow Sdn. Bhd., UMP Renal Care Sdn. Bhd., UMP Ecopest Sdn. Bhd. dan Synbion Sdn. Bhd.

Proses menjadikan universiti ke tahap yang cemerlang biasanya tidak akan berlaku dalam sekelip mata. Ia merupakan satu perjalanan yang panjang. Sehubungan itu, persiapan dalam melahirkan modal insan dan pemimpin pelapis amatlah penting. Universiti yang cemerlang bukan sahaja melahirkan golongan cerdik pandai, tetapi juga melahirkan pemimpin yang berwawasan tinggi yang mampu melakar sejarah dalam pelbagai bidang. 

Dalam konteks UMPSA, pemimpin pelapis boleh dipecahkan kepada dua bahagian iaitu pimpinan pelajar dan staf universiti. Bagi menyemai bakat kepimpinan dalam kalangan pelajar, pihak universiti boleh memainkan peranan aktif dengan menyediakan pelbagai inisiatif merangkumi aktiviti seperti program khidmat masyarakat, kebebasan kepada mahasiswa untuk berpersatuan, meningkatkan lagi program pertukaran pelajar dan lain-lain. Selain itu, pemimpin pelapis dalam kalangan staf amat kritikal bagi memastikan kelestarian universiti terus kekah utuh pada masa hadapan. Hal ini adalah selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) yang menekankan keperluan untuk membangun dan memperkasakan bakat kepemimpinan dalam kalangan pensyarah dan pentadbir yang berupaya melakukan transformasi pendidikan tinggi negara. Mengambil serius dengan kepentingan pembangunan bakat pelapis dalam kalangan staf, UMPSA menerusi Jabatan Pendaftar telah membentuk satu task force untuk membangunkan Model Pembangunan Bakat UMPSA. Objektif Model Pembangunan Bakat adalah untuk mengenal pasti kelompok bakat pemimpin dalam perancangan penggantian, menyediakan pentadbir terlatih yang berprinsipkan 3R (Relevan, Dihormati, Dirujuk) dan menghasilkan DNA warga kerja UMP yang berasaskan nilai teras UMP.

Sejarah telah membuktikan universiti yang cemerlang dan terunggul mempunyai keupayaan untuk melakar sejarah gemilang melalui komitmen tinggi dalam bidang akademik, penyelidikan, keusahawanan, melahirkan pemimpin yang hebat serta mampu memberi impak sosial kepada komuniti. Oleh yang demikian, seluruh warga UMPSA perlu seia sekata sehati sejiwa untuk memberikan komitmen terbaik bagi memastikan UMPSA dapat menggapai visi universiti ke arah sebuah universiti teknologi terunggul.

Abd Rahman Fahmi Bin Mat Hasan
Abd Rahman Fahmi Bin Mat Hasan

Penulis adalah Pegawai Latihan Vokasional Pusat TVET Termaju, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). 
E-mel: arfahmi@umpsa.edu.my

Reports by:
Admin UMP News