Skip to main content

Universiti Lestari: Mengejar Penarafan atau Memaknakan Kelestarian?

Dalam landskap pendidikan tinggi hari ini, istilah universiti lestari semakin mendapat perhatian dan tidak lagi di pandang ringan oleh pentadbiran universiti. Kelestarian pada hari ini telah menjadi indikator penting bagi menilai peranan universiti terhadap 17 rangka kerja global dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). Matlamat global yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ini adalah bagi memastikan keseimbangan pembangunan dunia meliputi aspek sosial, ekonomi dan alam sekitar. Bagi membolehkan universiti bergerak sejajar dengan matlamat tersebut, SDG berfungsi sebagai pemangkin strategi lestari dalam tadbir urus yang bermula dari merangka pendidikan, penyelidikan, pengurusan kampus dan program jangkauan komuniti yang menyokong kesejahteraan sosial secara holistik.

Berpandukan SDG sebagai kompas pembangunan lestari, universiti kini berada di persimpangan antara mengejar penarafan dan menzahirkan kelestarian yang sebenar. Penarafan kelestarian seperti UI GreenMetric World University Rankings (UI GreenMetric), Times Higher Education (THE) Sustainability Impact Ratings dan QS World University Rankings: Sustainability (QS WUR Sustainability) merupakan antara instrumen strategik yang membantu universiti menterjemah SDG ke dalam bentuk dasar, inisiatif dan pengukuran yang lebih tersusun. Namun, fokus semata-mata pada angka dan kedudukan boleh membawa risiko yang menimbulkan persoalan kritikal yang perlu diteliti, adakah universiti benar-benar memaknakan kelestarian atau sekadar mengejar kedudukan dalam penarafan?

Setiap penarafan kelestarian hadir bersama indikator yang berbeza. UI GreenMetric yang diperkenalkan oleh Universitas Indonesia memfokuskan penilaian prestasi operasi universiti dalam menguruskan sumber serta mengintegrasikan kelestarian dalam pendidikan dan penyelidikan melalui enam kriteria utama (persekitaran dan infrastruktur, tenaga dan perubahan iklim, sisa, air, pengangkutan serta pendidikan dan penyelidikan). Seterusnya, THE Sustainability Impact Ratings pula dinilai melalui sumbangan universiti terhadap SDG secara lebih menyeluruh dan strategik. Penarafan ini memberi peluang kepada universiti untuk meningkatkan keterlihatan impak konkrit dan berkesan terhadap sosial, ekonomi dan alam sekitar melalui pelbagai aktiviti. Selain itu, QS WUR Sustainability merupakan penarafan yang menilai sejauh mana universiti menyokong SDG global melalui data kuantitatif dan kualitatif, bukan sekadar prestasi akademik atau penyelidikan. 

Bagaimanapun, peningkatan perhatian terhadap penarafan turut membawa cabaran tersendiri. Mengejar penarafan tanpa landasan kukuh boleh mengheret masa depan universiti ke dalam labirin cabaran yang halus tetapi kritikal. Risiko ranking-driven boleh mendorong inisiatif dan projek kelestarian yang bersifat simbolik, sementara dan hanya memenuhi indikator penarafan. Tekanan untuk mengejar penarafan tinggi boleh mengaburkan objektif sebenar SDG sekiranya jentera penggerak universiti tidak berada di landasan yang kukuh. Impak yang nyata dan berpanjangan kepada masyarakat, alam sekitar dan pembangunan lestari merupakan elemen penting bagi keseimbangan reputasi global dan tanggungjawab sosial yang autentik. Memaknakan kelestarian bukan hanya menilai prestasi universiti berdasarkan angka dan penarafan tetapi menekankan impak nyata terhadap masyarakat, alam sekitar dan generasi akan datang. 

Dalam konteks Malaysia kini, universiti awam (UA) dan swasta sentiasa berdepan dengan cabaran unik seperti kekangan sumber kewangan, keperluan pematuhan terhadap pelbagai pelaporan serta tuntutan untuk kekal relevan dengan agenda nasional dan global. Namun, cabaran ini secara tidak langsung mencetuskan gelombang inovasi dan memacu penambahbaikan berterusan. Cabaran ini dimanfaatkan oleh universiti dengan menggunakan penarafan sebagai cermin refleksi untuk penambahbaikan. Data yang dikumpul bukan sekadar dihantar kepada agensi penarafan tetapi dianalisis secara kritikal untuk mengenal pasti jurang, menilai keberkesanan inisiatif sedia ada serta merancang tindakan yang lebih berimpak. 

UMPSA memanfaatkan penyertaan penarafan kelestarian sebagai instrumen strategik yang menyokong matlamat universiti dan negara sepertimana yang digariskan dalam SDG. Pendekatan ini bagi memastikan penarafan berfungsi sebagai alat penilaian dan penambahbaikan bukan sekadar sasaran kedudukan. Kerangka penarafan kelestarian telah digunakan sebagai panduan diagnostik untuk mengenal pasti jurang prestasi dalam aspek tadbir urus, alam sekitar, sosial dan ekonomi. Selain itu, penyertaan dalam penarafan juga disepadukan dengan perancangan strategik universiti termasuk pembangunan kampus lestari, pengukuhan penyelidikan berteraskan SDG, pemerkasaan pendidikan serta jangkauan komuniti yang selari dengan aspirasi nasional. Usaha UMPSA terhadap kelestarian dilakukan melalui pengurusan sumber yang efisien, pengurangan sumber sisa, pengguna tenaga lestari serta pembangunan modal insan. 

Melalui pemerkasaan yang dilaksanakan oleh UMPSA, dapat dilihat bahawa SDG bukan hanya alat pengukur kedudukan di mata dunia tetapi sebagai kompas pembangunan lestari yang menuntun setiap strategi, inisiatif dan projek universiti. Penarafan pula merupakan mekanisme kepada usaha kelestarian dan kerangka pengukuran yang berguna serta diiktiraf di pentas antarabangsa. Inisiatif kelestarian akan kekal retorik sekiranya tidak memberi kesan kepada sosial, ekonomi atau alam sekitar yang sebenar. Akhirulkalam, persoalan ‘mengejar penarafan atau memaknakan kelestarian’ tidak seharusnya dilihat sebagai pilihan yang bertentangan. Penarafan dan kelestarian dapat bergerak seiring jika digerakkan dengan perancangan yang strategik serta komitmen berterusan daripada kumpulan jentera penggerak yang berada di medan ini. Apabila SDG dijadikan sebagai panduan utama dalam perancangan institusi, penarafan akan hadir sebagai hasil sampingan kepada usaha yang tulen, bersepadu dan berlandaskan nilai sejagat.

Oleh: Norliza Mohd Salleh
E-mel: lizasalleh@umpsa.edu.my
Penulis adalah Penolong Pegawai Tadbir, Pusat Penarafan dan Data, Jabatan Canseleri, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah.
Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri