Skip to main content

Varian Delta akan terhapus sekiranya rantaian jangkitan dibendung

Proses evolusi bagi virus SARS-CoV-2 berlaku dengan amat pantas. Sejak tercetusnya pandemik pada tahun lalu, berbagai-bagai varian yang baharu telah muncul melalui proses mutasi. Terkini, seluruh dunia telah digemparkan dengan kemunculan varian Delta atau B.1.617.2 yang tidak pernah diundang. Sejak varian ini mula dikesan di India pada Disember 2020, ia telah tersebar ke seluruh pelosok dunia meliputi lebih 98 negara dalam tempoh hanya sebulan. Justeru, varian Delta menjadi jenis varian yang sangat dominan di seluruh India termasuk negara-negara lain seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Scotland, dan Israel dengan pertambahan yang amat mendadak di Malaysia.
 
Analisis penjujukan genom yang dibuat ke atas sampel-sampel dari negeri Pahang baru-baru ini telah menemukan dapatan yang amat memeranjatkan berkaitan varian Delta. Pada mulanya dijangkakan hanya Kluster Kamunting yang berkaitan dengan varian Delta. Untuk rekod, kluster ini menunjukkan jangkitan yang terbesar melibatkan jumlah jangkitan yang mencecah 1,300 orang pekerja pasar basah di Kuantan. Namun, sampel-sampel lain dari jangkitan sporadik di sekitar Pahang turut juga telah dikenal pasti berpunca melalui jangkitan Delta.

Varian Delta akan terhapus sekiranya rantaian jangkitan dibendung

Jangkitan sporadik adalah jangkitan yang tidak diketahui asal usul penyebab. Sampel pada kali ini kebanyakannya daripada pesakit yang datang ke hospital dengan pelbagai sebab kesakitan, namun setelah disaring melalui kaedah RT-PCR, mereka dikesan sebagai positif Covid-19. Perkembangan ini adalah sesuatu yang merisaukan semua pihak kerana varian yang digeruni ini telah sampai ke Malaysia dan merebak dalam kalangan masyarakat tanpa diketahui asal usul puncanya.
 
Sehingga kini, sudah hampir 296 varian telah direkodkan melanda Malaysia sejak awal tahun lalu, dengan 278 daripadanya adalah Variant of Concern (VOC) dan 18 adalah Variant of Interest (VOI). Antaranya adalah B.1.524 dan AU.2 yang dikelaskan sebagai varian tempatan oleh pangkalan data PANGO dan diikuti dengan varian Beta dari jalur B.1.351, B.1, B.617.2 dari jalur Delta, B.1.466.2 dari jalur Indonesia, B.1.36.16, B.6, B.1.470 dan lain-lain lagi. Walaupun ada di antara virus-virus ini sudah berjaya dibasmi, pertambahan angka jangkitan yang berpunca dari varian Delta kian membimbangkan saban hari.
 
Varian Delta menunjukkan kadar kebolehjangkitan yang lebih tinggi sebanyak dua kali ganda berbanding virus asal yang dijumpai di Wuhan, China pada 2019. Ini menjadikan ia lebih cepat merebak pada kadar 40 sehingga 60 peratus lebih tinggi berbanding varian Alfa. Rata-rata pesakit dengan jangkitan varian Delta telah dikesan mempunyai virus berbentuk butiran halus yang amat banyak dalam saluran pernafasan sehinggakan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengelar ia sebagai varian yang ‘paling cepat dan cergas’ berbanding varian yang lain.
 
Mengikut kajian klinikal yang dibuat, gejala yang ditunjukkan oleh varian ini amat berbeza berbanding varian-varian yang sebelumnya, malah varian ini juga tidak dikaitkan dengan tahap keparahan penyakit Covid-19. Mengikut laporan, gejala seperti demam, sakit kepala, sakit kerongkong, dan hidung berair adalah biasa, namun tidak menjadi penyebab kepada batuk dan hilang deria bau. Bagi kes-kes lain yang dilaporkan, terdapat juga gejala lain yang lebih serius seperti hilang pendengaran, masalah perut yang teruk serta pembekuan darah yang menyebabkan kematian tisu dan gangren. Walaupun begitu, kajian masih giat dijalankan bagi mengaitkan jangkitan ini dengan kadar kemasukan ke hospital dan kematian.
 
Walaupun kadar jangkitan yang ditunjukkan oleh varian Delta ini sangat tinggi, jika diamati, jumlah jangkitan ini menjadi amat ketara dalam kalangan individu yang masih belum divaksin, sehingga terpaksa dimasukkan ke hospital bagi mendapatkan bantuan pernafasan. Terlalu sukar untuk menentukan sama ada varian Delta benar-benar menjadi penyebab kepada keparahan penyakit Covid-19 yang lebih tinggi berbanding varian yang terdahulu. Namun, daripada satu kajian yang dilaporkan di Amerika telah membuktikan kadar pesakit yang dimasukkan ke hospital dan kematian yang disebabkan oleh Covid-19 lebih banyak melibatkan individu yang tidak menerima vaksin. Oleh itu, vaksin adalah langkah terbaik dalam menangani pandemik ini.
 
Ketika masyarakat dunia memberikan perhatian pada VOC terutamanya Delta, para pengkaji juga memberikan perhatian kepada VOI seperti Lambda. Ini kerana, perubahan kecil yang berlaku pada jujukan genom virus ini akan menyebabkan pemilihan semula jadi (natural selection) terjadi sehingga terhasilnya virus dengan keturunan yang baharu. Virus ini walaupun halus, ia juga seperti makhluk yang lain yang terus menerus terubah bagi beradaptasi dengan persekitaran. Ia partikel yang tidak hidup, sehingga ia bertemu sel perumah untuk terus bermandiri melalui proses jangkitan yang berterusan.
 
Sebenarnya kita pernah berjaya memerangi virus ini sehingga ia tidak muncul lagi. Misalnya, ketika Malaysia dilanda dengan jangkitan dari virus dari susur galur B.6 yang dikaitkan daripada perhimpunan keagamaan yang dihadiri peserta dari seluruh dunia, virus ini turut tersebar luas sehingga dikatakan wujudnya gelombang wabak kedua di negara kita. Ketika itu, kita benar-benar menjalani kuarantin kendiri dengan patuh dan mematuhi garis panduan dengan betul. Kes jangkitan menurun dengan mendadak dan menjadi terkawal sehingga B.6 tidak wujud lagi sehingga kini.
 
Kita harus menghentikan kitaran jangkitan ini dari terus berterusan. Jika jangkitan ini berlaku dengan lebih banyak, maka akan lebih tinggilah kebarangkalian proses mutasi yang akan berlaku bagi menghasilkan mutan virus yang sangat stabil dan kebal terhadap vaksin-vaksin yang dihasilkan. Sekiranya tidak, ia akan menjadi suatu permainan yang panjang dan melelahkan bagi setiap usaha yang dilakukan bagi membendung wabak ini.

Dr. Hajar Fauzan Ahmad e-mel: fauzanahmad@ump.edu.my
Dr. Hajar Fauzan Ahmad

Penulis adalah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI). Beliau giat menjalankan kajian penjujukan genom bagi mengenal pasti varian virus yang berlegar-legar terutamanya di negeri Pahang.

e-mel: fauzanahmad@ump.edu.my

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News