Skip to main content

142 `LO’ UMP jayakan misi hantar pulang pelajar

Kuantan, 20 Mei 2020 – Kelibat petugas yang memeriksa pelajar agar mereka yang sihat sahaja dibenarkan menaiki bas dan sentiasa memeriksa dokumen perjalanan serta kerap berhubung dengan pihak anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menimbulkan tanda tanya siapakah mereka ini?.

Mereka ini adalah antara 142 orang Pegawai Perhubungan atau Liaison Officer (LO) yang dilantik dalam kalangan staf Universiti Malaysia Pahang (UMP) daripada pelbagai lapisan gred dan jawatan.

Mereka ini memainkan peranan yang besar bagi menjayakan operasi penghantaran pulang pelajar ke kampung halaman baru-baru ini.

Kecekapan mereka ini telah berjaya dalam memastikan misi penghantaran pulang pelajar IPT Zon Timur berjalan lancar dan mendapat pujian daripada pihak berkuasa. 

Selain syarat yang ditetapkan bagi setiap perkhidmatan pengangkutan mestilah diiringi oleh seorang LO bagi mengiringi pelajar, mereka juga perlu menyediakan laporan mengenai sesuatu penghantaran itu.

Penyelaras Program Penghantaran Pulang Pelajar UMP yang juga merupakan Eksekutif Kanan Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA), Abd Rahman Ahmad berkata, dalam memastikan kelancaran program ini, UMP sentiasa memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dipatuhi. 

“Proses penghantaran pelajar ini merangkumi beberapa fasa yang melibatkan  Zon Timur ke Zon Timur, Zon Tengah, Zon Selatan, Zon Utara, pergerakan ke Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) dan Lapangan Terbang Kuala Terengganu.

"Ketika bertugas, mereka yang dilantik sebagai LO perlu mendapatkan maklumat mengenai pergerakan dan senarai pelajar yang terlibat. 

“Selain itu, mereka perlu melakukan pemeriksaan kesihatan untuk diri dan semua penumpang bas untuk setiap trip. 

“Ini termasuklah memastikan bas yang akan digunakan telah disanitasi oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia termasuklah barangan dan bagasi," katanya.

Dalam pada itu, jelas beliau lagi, kebiasaannya LO turut mewujudkan kumpulan sementara dalam aplikasi WhatsApp bagi memudahkan penyaluran maklumat kepada pelajar yang terlibat dalam trip tersebut. 

“Pelajar juga perlu memaklumkan kepada ibu bapa atau penjaga tentang pergerakan pulang mereka. 

“Namun, yang lebih penting petugas LO ini juga perlu mengemas kini maklumat dan membuat laporan pergerakan kepada anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkenaan dan petugas di bilik gerakan UMP dari semasa ke semasa. 

“Saya mewakili pihak JHEPA amat menghargai komitmen petugas LO dalam menjayakan misi kali ini,” katanya.  

Bagi petugas yang dilantik, Mohd Saipun Manshor daripada Jabatan Bendahari UMP berkata, beliau berkhidmat sebagai LO sebanyak tiga kali iaitu melibatkan trip ke Kota Bharu, trip ke Kuala Kangsar / Gerik dan trip ke KLIA, bagi pelajar ke negeri  Sabah. 

“Tidak dapat dinafikan wujud kerisauan dengan situasi semasa terhadap penularan penyakit COVID 19 ini, namun semua langkah keselamatan dipatuhi dan lebih berhati-hati dalam melaksanakan tugas ini,” katanya. 

Beliau mengakui perjalanan merentas negeri dan tempoh masa perjalanan yang melebihi lapan jam adalah sesuatu yang agak meletihkan, ditambah pula dalam bulan Ramadan serta banyak sekatan jalan raya oleh pihak berkuasa di sepanjang jalan. 

Namun, semangat ingin membantu dan sabar diiringi doa memberikannya semangat untuk menjadi sukarelawan dalam menjayakan operasi ini.

Begitu juga dengan Shamsul Harbi, Guru Bahasa dari Pusat Bahasa Moden UMP, beliau turut bertugas sebagai LO untuk trip ke Kuala Terengganu pada 30 April 2020. 

Berkongsi pengalaman, beliau perlu sentiasa berhubung dengan pegawai polis yang terlibat untuk urusan ketibaan pelajar di drop point termasuklah menyediakan maklumat lengkap pelajar sebagai rujukan.
 
Manakala bagi Pensyarah Kanan daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses, Dr. Rozaimi Abu Samah, perjalanan menghantar pelajar ke Seremban berjalan lancar. 

"Walaupun agak keletihan namun puas hati kerana berjaya membantu menyumbang dalam urusan penghantaran pelajar ini,” katanya. 
 
Begitu juga dengan Timbalan Pendaftar Kanan, Jabatan Penyelidikan dan Inovasi, Hazmin Aris berpendapat banyak pengalaman ditimba sepanjang mengiringi pelajar pulang ke kampung dari Kuantan ke Johor Bahru dan berurusan dengan pegawai polis di IPD Pasir Gudang. 

Selain itu juga beliau turut membawa pelajar dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai pulang ke kampung halaman mereka di Bera, Pahang.
 
Bagi Pembantu Belia dan Sukan, Pusat Sukan dan Kebudayaan UMP, Siti Aminah Mohd Yatim pula, pengalamannya sebagai LO adalah bagi dua trip iaitu trip Zon Timur – Lapangan Terbang Sultan Mizan Kuala Terengganu pada 10 Mei 2020 dan trip Zon Timur ke KLIA pada hari berikutnya, 11 Mei 2020. 

Oleh kerana mereka tidak dibenarkan berhenti makan di mana-mana premis sepanjang perjalanan, Siti Aminah perlu memastikan setiap mahasiswa telah mendapat bekalan makanan untuk bersahur.
 
Walaupun agak penat, beliau turut mengakui tugas sebagai LO adalah tugas yang agak berat, namun berbangga dapat membantu pelajar. 

“Kepenatan yang dirasai terbalas apabila pelajar memaklumkan mereka sudah selamat tiba ke destinasi masing-masing dan sangat menghargai kerjasama yang diterima daripada pelajar dan pihak penguatkuasa,” katanya. 
 
Pergerakan pelajar dilakukan secara berperingkat mengikut jadual yang diatur pihak Institusi Pengajian Tinggi (IPT) masing-masing dan pergerakan dibenarkan ke kawasan zon hijau sahaja. 

Selain pelajar UMP, turut terlibat merupakan pelajar Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Kolej Universiti WIDAD, Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP) dan Institut Pendidikan & Latihan Ranaco.

Lain-lain adalah Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS), Kolej PACIFIC, Kolej SMART, Kolej Ketengah, Politeknik Metro Kuantan, Pahang Skills Development Centre, Universiti Automotif DRB Hicom, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan, Politeknik Muadzam Shah, Kolej Komuniti Rompin, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Raub.

Disediakan Oleh : Nur Sa’adatul Afzan Jusoh, Pejabat Naib Canselor 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News