Skip to main content

16 peserta AEF2025 selamat tiba di Malaysia untuk menjalani Program Mobiliti UMPSA

GAMBANG, 19 Februari 2025 – Seramai 16 peserta antarabangsa dari Indonesia, Vietnam, Filipina, Kemboja dan Thailand selamat tiba di Malaysia bagi menyertai program ASEAN Student Mobility Programme sempena ASEAN Universities Exhibition and Forum 2025 (AEF2025). 

AEF2025 merupakan program anjuran Education Malaysia Global Service (EMGS) dengan kerjasama Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Hal Ehwal dan Kerjasama Antarabangsa (CIAC) sempena kepengerusian Malaysia dalam ASEAN 2025.

Program yang dilaksanakan secara hibrid itu berlangsung pada 11 hingga 17 Februari secara atas talian, dan pada 19 hingga 25 Februari pula secara bersemuka di universiti hos masing-masing. 

Antara aktiviti-aktiviti yang telah disusun sepanjang AEF 2025 adalah Young Speaker Contest, Young Innovators Challenge, Familiarization Visit dan ASEAN Exhibition and Forum 2025.

UMPSA bersama-sama 12 universiti awam dan swasta yang lain telah dipilih sebagai universiti hos bagi program Familiarization Visit dan juga Young Innovators Challenge yang berlangsung pada 19 hingga 23 Februari 2025. 

Objektif penganjuran program Young Innovators Challenge ini adalah untuk menggalakkan peserta berkongsi pandangan dan buah fikiran berkaitan isu-isu Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals - SDG) di negara masing-masing.

Selain itu, ia juga diadakan bertujuan untuk mencadangkan penyelesaian inovatif dan berimpak yang mampu menyelesaikan isu-isu yang diutarakan.  

Program Young Innovators Challenge dimulakan dengan taklimat perjalanan program oleh Timbalan Pengarah Pusat Pembangunan Kelestarian, Ts. Dr. Mohammad Adam Adman. 

16 peserta AEF2025 selamat tiba di Malaysia untuk menjalani Program Mobiliti UMPSA

Slot berikutnya diteruskan dengan ucapan oleh Felo Penyelidik Utama, Pusat Penyelidikan Bendalir & Proses Termaju - Pusat Bendalir (CoE), UMPSA, Profesor Ts. Dr. Julius Gimbun, yang menerangkan secara terperinci hasil usaha UMPSA yang menyokong kepada inisiatif kelestarian kampus iaitu SDG 13. 

Para peserta kemudiannya dibahagikan kepada kumpulan kecil yang turut disertai oleh pelajar UMPSA serta dibantu oleh beberapa fasilitator daripada Fakulti Pengurusan Industri serta Pusat Pembangunan Kelestarian, UMPSA.

UMPSA sebagai universiti hos telah memilih Tema 3: ASEAN Climate Action: Pathways to Sustainability and Resilience sebagai topik perbincangan untuk para peserta. 

Setiap kumpulan perlu membentangkan hasil perbincangan mereka yang berkaitan dengan tema yang telah ditetapkan dalam bentuk rakaman video yang berdurasi tiga hingga lima minit. 

Pemenang dipilih berdasarkan beberapa kriteria yang telah ditetapkan, antaranya inovasi dan kreativiti, kualiti persembahan serta impak dan kebolehlaksanaan. 

Selain program Young Innovatiors Challenge, pelbagai aktiviti dan program lawatan turut disusun bagi memberikan pengalaman kepada para peserta merasai sendiri adat, budaya serta cara hidup masyarakat berbilang kaum di Malaysia. 

Antaranya, lawatan ke Menara 188, Streets Art, Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah dan menghadiri majlis kenduri.
 
Program ini menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan antara universiti di rantau ASEAN, memacu jaringan akademik, dan menggalakkan pemahaman budaya antara negara-negara peserta.  

Disediakan Oleh: Nadira Hana Abd Hamid, Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni

Reports by:
Nadira Hana binti Ab Hamid