Skip to main content

44 guru bimbingan  dan kaunseling sertai Program Profesor Turun Padang  Kursus Penggunaan Teknologi Biofeedback

GAMBANG, 26 Jun 2024 – Seramai 44 orang  guru bimbingan dan kaunseling seluruh negeri Pahang telah menyertai Program Program Profesor Turun Padang Kursus Penggunaan Teknologi Biofeedback yang dikendalikan oleh Profesor Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Ts. Dr. Muhammad Nubli Abdul Wahab.

Program itu dianjurkan oleh PSK UMPSA, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dan Majlis Guru Kaunseling Kebangsaan (MGKK) Negeri Pahang.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Dekan PSK, Dr. Mohamad Hilmi Mat Said. 

Profesor Ts. Dr. Muhammad Nubli telah berkongsi tentang hasil penyelidikannya iaitu Teknologi Biofeedback yang digunakan untuk mengukur status perubahan diri individu. 

Ia berupaya mengukur perubahan komponen psikologi melalui rangsangan fisiologi.

Program sehari itu dibahagikan kepada dua topik iaitu Asas Teknik Biofeedback dalam Program Perubahan Diri Murid dan Amali  Teknik Biofeedback dalam sesi bimbingan murid. 

Menurutnya, Bio Maklum Balas (Biofeedback) boleh diklasifikasikan sebagai teknik penggunaan alat yang boleh memberi maklumat secara langsung dan tepat tentang perubahan fungsi fisiologi yang dikawal sepenuhnya oleh sistem saraf.

44 guru bimbingan  dan kaunseling sertai Program Profesor Turun Padang  Kursus Penggunaan Teknologi Biofeedback

“Melalui penggunaan alat yang sesuai, maklumat tentang fungsi fisiologi tertentu dapat dipantau dengan mudah dan tepat. 

Misalnya, dengan berbantukan alat penderia seperti plethyplesmograph (PPG), ia boleh memberi ruang kepada para pengkaji untuk lebih memahami perubahan dalam kadar kebolehubahan jantung atau heart rate variability (HRV) yang sememangnya sukar untuk difahami melalui pemerhatian menggunakan mata kasar sahaja. 

“Ringkasnya, Bio Maklum Balas ialah teknik untuk merangsang dan meningkatkan kesedaran kendiri serta pengawalan minda, hati serta emosi berbantukan alat penderia elektronik yang boleh menterjemah isyarat fisiologi badan. 

“Sebagai sebuah universiti yang berteraskan Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET), teknologi ini dapat membantu memperkukuh pendidikan lestari dan menyokong pembangunan pedidikan yang mampan.

“Diharapkan, teknologi ini dapat membantu semua guru-guru dalam membantu program bimbingan dan kaunseling sekolah-sekolah di negeri Pahang,” katanya. 

44 guru bimbingan  dan kaunseling sertai Program Profesor Turun Padang  Kursus Penggunaan Teknologi Biofeedback

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohamad Idris, Pusat Komunikasi Korporat
 

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris