Skip to main content

5 pensyarah kanan UMPSA naik pangkat ke jawatan Profesor Madya gred DS14

PEKAN, 14 Julai 2025 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh kecemerlangan akademik apabila seramai lima orang pensyarah kanan dinaikkan pangkat ke jawatan Profesor Madya Gred DS14 berkuat kuasa mulai 20 Jun 2025.

Sesi penyerahan surat kenaikan pangkat telah diadakan di Bilik Mesyuarat Lembaga Pengarah Universiti (LPU), Canseleri Tun Abdul Razak, Pekan oleh Naib Canselor, Profesor Dr. Yatimah Alias. 

Majlis turut dihadiri oleh Dekan-dekan Fakulti, Pengarah Kanan Jabatan Pendaftar serta pegawai-pegawai dari Pusat Pengurusan Bakat.

Pensyarah-pensyarah kanan yang dinaikkan pangkat ialah Profesor Madya Ir. Dr. Ayib Rosdi Zainun dan Profesor Madya Ts. Dr. Abdul Nasir Abd Ghafar dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE).

Manakala dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) pula ialah Profesor Madya Ts. Dr. Nasratun Masngut, Profesor Madya Ts. Dr. Nur Hidayah Mat Yasin dan Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Aizudin Abd Aziz.

Profesor Dr. Yatimah Alias dalam ucapannya turut mengucapkan tahniah kepada semua penerima dan menzahirkan harapan tinggi agar mereka dapat segera menyumbang secara aktif selari dengan tanggungjawab dan amanah baharu yang digalas.

5 pensyarah kanan UMPSA naik pangkat ke jawatan Profesor Madya gred DS14

“Kenaikan pangkat ke jawatan Profesor Madya bukan sekadar pencapaian peribadi, tetapi juga sebagai isyarat untuk bergerak lebih pantas dalam penyelidikan dan inovasi. 

"Tiada lagi alasan untuk tidak memperoleh geran, terutamanya geran luar.

"UMPSA mengharapkan lonjakan baharu daripada semua yang telah diberi kepercayaan ini,” tegas beliau.

Beliau turut menekankan mengenai keperluan untuk meningkatkan bilangan pelajar ijazah kedoktoran (PhD) dan kualiti pengajian pascasiswazah sebagai salah satu agenda penting dalam meningkatkan reputasi universiti serta memenuhi aspirasi negara dalam memperkukuh ekosistem akademik.

“Rekrut pelajar PhD secara lebih aktif. 

"Kita perlukan lebih banyak kolaborasi yang bermakna iaitu bukan sekadar menandatangani MoU, tetapi menjalin kerjasama yang menghasilkan impak sebenar. 

"Hasil penyelidikan perlu dibawa ke bilik kuliah agar pelajar mendapat pengalaman pembelajaran terbaik,” ujarnya lagi.

Beliau turut mengingatkan tentang perlunya perubahan paradigma terhadap penetapan Petunjuk Prestasi Utama (KPI).

“Jangan lihat KPI semata-mata sebagai beban kerja. 

"Betulkan niat, KPI adalah pemacu untuk kita menyumbang kepada universiti dan kepada diri sendiri. 

"Selagi mampu, kita berusaha untuk memberikan yang terbaik," katanya.

Para Pensyarah Universiti yang dinaikkan pangkat turut mengambil peluang tersebut untuk menyampaikan rasa penghargaan dan komitmen untuk terus menyumbang kepada pembangunan UMPSA. 

Menurut Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Aizudin, beliau ingin mengambil peluang ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada Dekan dan rakan-rakan atas sokongan sepanjang beliau bertugas hingga kini.

Manakala menurut Profesor Madya Ts. Dr. Nasratun, kenaikan pangkat ini bakal digalas dengan pertambahan akauntabiliti dan kebertanggungjawaban.

"Malah, saya telah bersedia untuk menggalas tanggungjawab tersebut. 

"Pertambahan KPI yang diterima menerusi kenaikan pangkat ini akan saya anggap sebagai titik tolak baharu dalam kerjaya akademik saya," katanya.

Profesor Madya Ts. Dr. Nur Hidayah berkata, beliau melihat kenaikan ini sebagai satu kejutan dan mengakui rasa berdebar terhadap amanah besar yang menanti.

"Namun, saya bertekad untuk melaksanakan tanggungjawab ini dengan sebaik mungkin," tambahnya.

Profesor Madya Ir. Dr. Ayib Rosdi pula melahirkan rasa teruja terhadap penekanan universiti dalam membina hubungan strategik dengan industri dan menyatakan komitmen untuk terus menyumbang walaupun beliau bakal menamatkan perkhidmatan tidak lama lagi.

Menurut Profesor Madya Ts. Dr. Abdul Nasir pula, beliau amat komited dan bersemangat untuk terus membawa nama UMPSA serta akan bersama-sama dengan pelajar dalam pelbagai platform akademik bagi mematikan mereka dapat memperoleh pengalaman terbaik sepanjang pengajian di UMPSA.

"Kenaikan pangkat ini, tiba pada masa yang tepat dan saya akan terus membawa nama baik UMPSA. 

"Saya juga ingin berkongsi bahawa saya telah dijemput sebagai keynote speaker pada bulan September ini dan saya berazam untuk membawa lebih ramai pelajar bersama untuk pendedahan akademik yang lebih meluas," ujarnya. 

UMPSA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada semua Profesor Madya baharu UMPSA dan berharap pelantikan ini akan menjadi pemangkin kepada budaya kecemerlangan akademik, penyelidikan dan kolaborasi yang berimpak tinggi, sejajar dengan aspirasi universiti sebagai peneraju teknologi bertaraf dunia.

Disediakan Oleh: Siti Sakinah Mohtar, Jabatan Pendaftar

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri