Festival Seni Tari hasilkan karya seni terbaik
PEKAN, 11 April 2021 – Festival Seni Tari (FESERI), Universiti Malaysia Pahang (UMP) akhirnya melabuhkan tirainya dalam penganjuran yang dilaksanakan secara dalam talian baru-baru ini selepas ditangguhkan beberapa kali akibat pandemik Covid-19.
Program itu dikelolakan oleh Sekretariat Kebudayaan dan Kesenian UMP dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Pusat Sukan dan Kebudayaan, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Orkestra Universiti Malaysia Pahang (UMPO) dan Sekretariat Mahasiswa Anak Pahang (SEMAMPAN).
FESERI merupakan salah satu program yang berimpak tinggi bagi memupuk semangat patriotisme dan jati diri dalam kalangan pelajar.
FESERI dilihat dapat menghasilkan karya seni terbaik melalui persaingan secara sihat oleh pelbagai lapisan pendidikan di Malaysia iaitu di peringkat sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi (IPT).
Program ini diadakan berkonsepkan pertandingan di peringkat negeri dan kebangsaan secara maya melalui platform siaran langsung Facebook Pusat Kebudayaan UMP dan YouTube UMP Malaysia.
Setiap peserta perlu menghantar video tarian kumpulan masing-masing pada tarikh yang ditetapkan.
Video setiap peserta ditayangkan secara tiga peringkat bermula dari sekolah rendah, sekolah menengah dan IPT.
Dalam pertandingan ini Pengarah Artisitik Choreoarts Studio, Khairul Anuar Zainudin dan pensyarah sambilan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Al Jabar Laura telah dilantik selaku juri untuk membuat penilaian yang dilaksanakan secara dalam talian.
Sementara itu, guru pembimbing Sekolah Kebangsaan Pekan Jaya, Rozaidah A. Rahman berbesar hati kerana para pelajar sekolah diberi peluang beraksi di platform yang berprestij seperti FESERI ini.
Ujarnya antara cabaran paling tinggi adalah dari segi masa latihan dan mengasah bakat pelajar baharu setelah program ditunda sebanyak tiga kali akibat pandemik dan pelajar yang telah bersedia pada tahun lepas telah memasuki sekolah menengah.
“Saya sangat menyokong dan bersyukur atas inisiatif UMP menganjurkan festival seperti ini dalam menyemarakkan lagi seni tari di pelbagai peringkat.
“Walaupun penganjuran FESERI dalam kekangan situasi semasa negara hari ini, namun UMP mampu melaksanakannya dengan begitu baik dan profesional,” katanya yang mengharapkan FESERI dapat dianjurkan pada tahun hadapan.
Pengarah Program, Agha Khilfi Suarno, mahasiswa tahun dua Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM), merakamkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dapat mengharungi pelbagai cabaran sepanjang program yang disesuaikan dengan norma baharu.
Berkongsi kegembiraan, pihaknya seronok apabila melihat usaha dan kerja keras mereka di peringkat ahli jawatankuasa FESERI UMP mendapat komitmen yang sangat baik.
Baginya, cabaran yang paling tinggi sepanjang mengurus dan mengendalikan program ini adalah menguruskan masa antara belajar, persiapan program serta komitmen MPP.
Beliau mengharapkan UMP dapat menandingi dan menjadi sebuah universiti yang mempunyai penganjuran program berteraskan aktiviti seni dan budaya yang terbaik sebaris dengan universiti unggul di Malaysia.
Selain itu, FESERI akan menjadi satu penjenamaan yang baik kepada identiti UMP itu sendiri kerana pihaknya merancang agar FESERI dijadikan program tahunan kerana mendapat sambutan yang tinggi daripada peserta dan sekolah-sekolah negeri lain.
FESERI diharapkan dapat menjadi batu loncatan kepada mahasiswa UMP supaya lebih berani dalam menjalankan program terutamanya dalam norma baharu di samping dapat membawa nama baik UMP ke satu tahap yang lebih cemerlang.
Pertandingan menyaksikan Sekolah Kebangsaan Pekan Jaya, Pekan diumumkan sebagai johan kategori sekolah rendah dan mendapat Anugerah Koreografi Terbaik.
Naib Johan pula dimenangi oleh Sekolah Kebangsaan Bukit Setongkol, Kuantan dan merangkul Anugerah Busana dan Tatarias Terbaik diikuti Sekolah Kebangsaan Seri Biram, Pekan di tempat ke-3.
Bagi kategori sekolah menengah, johan dan Anugerah Koreografi Terbaik menjadi milik Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Afzan, Kuantan.
Naib johan dan Anugerah Busana dan Tatarias Terbaik memihak kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Beserah, Kuantan manakala Sekolah Menengah Kebangsaan Lepar mendapat tempat ketiga.
Tempat pertama dan Anugerah Koreografi Terbaik di peringkat IPT dimenangi oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dan UMP memperoleh naib johan dan Anugerah Busana dan Tatarias Terbaik.
Malam Gemilang FESERI turut dimeriahkan dengan persembahan artis terkenal, Haqiem Rusli yang mendendangkan empat buah lagu.
Disediakan Oleh: Siti Nurfarmy Ibrahim, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC) dan Noor Afiza Mohd Asmi, Pusat Sukan dan Kebudayaan.
- 201 views